Kebelakangan ini, berlaku kepelbagaian inovasi terhadap susu ibu untuk dijadikan produk-produk seperti perhiasan, kosmetik, sabun serta produk makanan yang mengandungi komponen daripada susu ibu. Contohnya, sumber kultur probiotik daripada susu ibu untuk dijadikan sebagai salah satu bahan dalam produk makanan. Mohon pencerahan SS Datuk Mufti tentang penggunaan susu ibu secara meluas dalam produk-produk seperti ini.
Ringkasan Jawapan:
Penggunaan komponen atau kandungan daripada susu ibu sebagai bahan dalam makanan seperti sumber probiotik, bagi setiap peringkat umur adalah dilarang berdasarkan faktor- faktor berikut :
- Susu ibu tidak boleh diperlakukan seperti harta untuk diperdagangkan dan dieksploitasi memandangkan pensyariatannya hanya untuk bayi serta kebaikannya secara langsung untuk bayi.
- Lebihan susu ibu yang diambil lebih penting untuk diberikan kepada bayi susuan secara langsung (breastfeeding) kerana keperluannya yang sangat getir bagi proses tumbesaran bayi berbanding dengan kegunaaan produk yang bakal dikomersialkan.
- Langkah berjaga-jaga terhadap kekeliruan percampuran nasab. Produk berasaskan susu ibu untuk kategori bayi berkemungkinan boleh berlaku pensabitan nasab bayi apabila produk diberikan secara berkala. Ia berdasarkan maqasid al-syar’iyyah iaitu hifz al-nasl (menjaga keturunan).
- Keperluan kepada produk yang bersumberkan probiotik susu ibu bukan pada tahap daruriyyat (keperluan mendesak). Ia hanya bersifat alternatif dan kategori tahsiniyyat (pelengkap) .
- Memilih pandangan yang tidak membenarkan menjual apa-apa juzuk anggota manusia termasuk susu ibu.
Sehubungan itu, pandangan yang tidak membenarkan penjualan susu adalah lebih sesuai pada zaman kini dan dianggap sebagai langkah berjaga-jaga agar manfaat susu ibu tidak dieksploitasi untuk tujuan pemasaran. Malahan, sekiranya berlaku lebihan susu ibu untuk keperluan bayi, maka sebaiknya diberikan kepada bayi lain yang memerlukan untuk dijadikan bayi susuan.
HURAIAN JAWAPAN
Susu ibu sememangnya kaya dengan pelbagai khasiat dan nutrien, dan sedang dalam usaha untuk dikomersialkan untuk kepelbagaian produk seperti produk daripada sumber probiotik susu ibu. Persoalannya, adakah syarak membenarkan penggunaan susu ibu diperluaskan dalam produk-produk bagi setiap peringkat umur ?
PENSABITAN ANAK SUSUAN DAN KEBAIKANNYA KEPADA BAYI
Allah SWT mensyariatkan hukum penyusuan kepada bayi dalam tempoh masa dua tahun, sepertimana firman-Nya:
وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ
Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu;
Surah al-Baqarah (233)
Ibn Kathir mensyarahkan ayat ini bahawa, majoriti ulama berpandangan hukum penyusuan bagi tempoh selepas bayi berusia lebih daripada dua tahun hijri tidak termasuk dalam hukum penyusuan menjadi mahram[1].
Keperluan susu pada bayi adalah sangat getir ketika mana syarak membenarkan bayi mendapatkan susu daripada wanita lain . Sebagai contoh, apabila ibu kepada bayi tersebut meninggal dunia atau menghidap penyakit yang menghalang penyusuan, maka perempuan lain harus menyusuinya demi kelangsungan hidup anak tersebut. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَإِنْ أَرَدتُّمْ أَن تَسْتَرْضِعُوا أَوْلَادَكُمْ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ
Maksudnya: Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu.
Surah al-Baqarah (233)
Jelas menerusi dalil di atas bahawa pensabitan anak susuan hanya bagi bayi yang menyusu bawah dua tahun. Tidak dapat disangkal lagi akan kepentingan penyusuan melalui firman Allah SWT yang menggalakkan para ibu untuk menyusukan anak-anak mereka. Namun, kebaikan, nutrien dan khasiat ini hanya tertumpu kepada bayi berumur dua tahun dan ke bawah kerana ia dapat memberi kesan yang positif terhadap perkembangan dan tumbesarannya.
HUKUM SUSU YANG BERCAMPUR BENDASING LAIN
Pensabitan anak susuan berlaku disebabkan terjadinya tumbesaran pada bayi. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud, Rasulullah SAW bersabda:
لاَ رِضَاعَ إِلاَّ مَا شَدَّ الْعَظْمَ وَأَنْبَتَ اللَّحْمَ
Maksudnya: “Tidak berlaku hukum penyusuan melainkan dengan apa yang menguatkan tulang dan menumbuhkan daging.”
(Riwayat Abu Daud)
Para ulama berselisih pandangan berkenaan hukum susu ibu yang dicampurkan dengan bendasing lain. Susu ibu yang bercampur dengan bendasing lain akan memberi kesan pada pensabitan anak susuan apabila peratusan kandungan susu melebihi bendasing lain. Jika peratusan kandungan susu kurang daripada bendasing lain, maka ia tidak memberi kesan kepada pensabitan nasab. Ini merupakan pandangan jumhur ulama mazhab Syafi’i, Maliki dan Hanbali. Sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi[2]:
وَلَوْ خُلِطَ بِمَائِعٍ إِمَّا دَوَاءٍ، وَإِمَّا غَيْرِهِ، حَلَالٍ كَالْمَاءِ وَلَبَنِ الشَّاةِ، أَوْ حَرَامٍ كَالْخَمْرِ، نُظِرَ إِنْ كَانَ اللَّبَنُ غَالِبًا تَعَلَّقَتِ الْحُرْمَةُ بِالْمَخْلُوطِ، فَلَوْ شَرِبَ الصَّبِيُّ مِنْهُ خَمْسَ مَرَّاتٍ ثَبَتَ التَّحْرِيمُ
Maksudnya: “Sekiranya susu ibu bercampur dengan suatu cairan seperti ubat atau sebagainya daripada benda yang halal seperti air atau susu kambing atau benda yang haram seperti arak, sekiranya susu ibu itu lebih banyak daripada campuran tersebut, maka sabit pengharaman anak susuan apabila bayi minum daripadanya sehingga cukup lima kali susuan (kenyang)”.
Syeikh Khatib al-Syirbini menjelaskan lagi bahawa air susu yang mendominasi bendasing lain itu mestilah zahir salah satu daripada sifat susu sama ada dari sudut rasa, warna atau bau. Hal ini kerana, sesuatu yang tidak mendominasi hukumnya adalah seperti tiada.
Apabila berlaku percampuran susu ibu dengan bendasing lain, maka perlu dipastikan sampai keseluruhan campuran tersebut ke dalam perut bayi bagi memastikan sabit hukum susuan. Sebaliknya, jika hanya separuh yang diminum oleh bayi maka tidak sabit hukum susuan menurut pendapat muktamad disebabkan tidak yakin air susu sampai ke dalam perut bayi.
Manakala, al-Dasuqi menyatakan bahawa tidak semestinya susu ibu itu mesti melebihi bendasing lain jika mahu disabitkan hukum susuan, bahkan jika nisbahnya sama antara kedua-dua bahan maka hukum susuan juga boleh disabitkan. Akan tetapi, jika sifat susu ibu dari segi rasa itu sudah tiada, maka tidak sabit hukum penyusuan.
Begitu juga disebutkan oleh Ibn Qudamah bahawa penentuan suatu hukum adalah berdasarkan apa yang mendominasi, dan apabila hilangnya nama serta maksud yang dikehendaki oleh sesuatu itu maka tiadalah hukum baginya.
HUKUM JUAL BELI SUSU IBU
Asasnya, fuqaha bersepakat bahawa apa-apa anggota badan manusia bukanlah harta yang boleh dijual beli, maka tidak sah menjual apa-apa juzuk badan manusia. Akan tetapi ulama berselisih pendapat tentang hukum penjualan susu ibu yang diperah berdasarkan perbahasan berikut :
1. Pendapat yang tidak membenarkan
Imam al-Nawawi menyatakan bahawa pendapat yang tidak mengharuskan jual beli susu ibu adalah pendapat Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan salah satu riwayat fatwa Ahmad.
Mereka yang berpegang dengan pendapat ini berhujjah bahawasanya susu ibu tidak dijual menurut kebiasaannya sebagaimana tidak dijual air mata, peluh dan hingus. Hal ini kerana, ia dianggap seperti lebihan cecair yang keluar daripada tubuh manusia. Selain itu, bahagian badan manusia yang tidak harus dijual sama ada keadaan bersambung atau berpisah seperti rambut manusia. Hukum memakan daging manusia juga adalah haram, maka begitu juga dengan hukum membeli susu manusia adalah haram seperti hukum keldai betina.
Fuqaha mazhab Hanafi berhujah bahawa larangan tersebut kerana susu ibu adalah sebahagian daripada juzuk anggota manusia yang perlu dihormati dan dimuliakan, serta tidak boleh sewenang-wenangnya diperdagangkan tanpa ada nilai maruah kehormatan.
2. Pendapat yang membenarkan
Imam al-Nawawi menyatakan harus menjual susu menurut pendapat fuqaha mazhab Syafi’i. Susu ibu adalah suci dan boleh diambil manfaat dengannya. Bahkan ia merupakan makanan manusia yang boleh dijual seperti susu kambing dan roti. Hujah ini menolak pandangan yang menyatakan tidak boleh menjual susu ibu kerana dianggap bukan kebiasaan. Pandangan tersebut tidak boleh diterima kerana tidak semestinya susu ibu tidak sah dijual. Bahkan mengqiyaskan susu ibu dengan peluh, hingus atau air mata adalah sesuatu yang kurang tepat kerana susu ibu kaya dengan manfaat, berbeza pula dengan peluh, hingus atau air mata yang tidak bermanfaat.
Berhubung persoalan di atas, hukum asal penggunaan komponen susu ibu sebagai salah satu bahan dalam produk makanan adalah harus kerana di sana masih terdapat ruang-ruang bagi perbahasan para ulama. Ini juga bertepatan dengan kaedah fiqh:
الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: “hukum asal bagi sesuatu perkara itu adalah harus sehingga terdapat dalil yang menunjukkan pengharamannya”.
Akan tetapi sebagai langkah berhati-hati, hukum penggunaan produk makanan yang bersumberkan komponen susu ibu adalah dilarang kerana berkemungkinan boleh mensabitkan nasab anak susuan sekiranya diberikan kepada bayi secara berkala. Begitu juga perlu dilihat pada kadar peratusan susu ibu dalam jadual fakta nutrisi produk tersebut. Apabila kadar peratusannya tinggi melebihi kadar kandungan lain, maka akan sabit hukum anak susuan. Atas alasan berikut, memperluaskan penggunaan susu ibu dalam makanan untuk semua peringkat adalah dilarang. Hal ini bersesuaian dengan kaedah fiqh berikut :
سد الذرائع
Maksudnya: “Menutup pintu yang membawa kepada kerosakan”.
Setiap perbuatan yang asal hukumnya adalah harus tetapi ketika mana jelas membawa kepada kerosakan, maka syarak perlu mencegah kerosakan tersebut dan menutup pintu-pintu yang membawa kerosakan. Justeru, perbuatan ini adalah tertegah dan dilarang oleh syarak terutamanya apabila kerosakan itu bersifat lebih dominan daripada maslahatnya.
Begitu juga pandangan yang tidak membenarkan penjualan susu adalah lebih sesuai pada zaman kini dan dianggap sebagai langkah berjaga-jaga agar manfaat susu ibu tidak dieksploitasi untuk tujuan pemasaran, sehingga mengakibatkan kekurangan susu bagi bayi yang sememangnya amat memerlukan kepadanya. Sedangkan, susu ibu merupakan keperluan asas bagi proses tumbesaran bayi dan juga merupakan sumber nutrisi utama.
Seterusnya, sumber probiotik yang diambil daripada susu ibu hanyalah bersifat alternatif kerana masih terdapat sumber probiotik lain walaupun ia tidak menunjukkan kesan yang sama. Begitu juga, masih belum ada penemuan penyakit-penyakit berbahaya (tahap daruriyyat) yang perlu kepada khasiat khusus daripada probiotik susu ibu.
KESIMPULAN
Penggunaan komponen atau kandungan daripada susu ibu sebagai bahan dalam makanan seperti sumber probiotik, bagi setiap peringkat umur adalah dilarang sebagai langkah berhati-hati terhadap kekeliruan pensabitan nasab bayi apabila produk diberikan secara berkala. Hal ini selari dengan maqasid al-syar’iyyah iaitu hifz al-nasl (menjaga keturunan). Bahkan, susu ibu tidak boleh diperlakukan seperti harta yang diperdagangkan dan dieksploitasi memandangkan pensyariatan serta kebaikannya hanya untuk bayi. Keperluan susu kepada bayi adalah sangat getir bagi proses tumbesarannya berbanding dengan keperluan kegunaaan produk yang bakal dikomersialkan.
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM