Alhamdulillah, pada kali ini saya suka membincangkan isu yang sudah pasti akan dibahaskan dengan meluas oleh para ulama, asatizah dan cendekiawan Islam dengan merujuk kepada nas, dalil dan pendapat ulama silam serta mutaakhirin. Boleh jadi pada tahun ini hari raya jatuh pada hari Jumaat berdasarkan imkan al-ru’yah atau sebaliknya mengikut apa yang akan diumumkan secara rasminya oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Justeru, Bayan Linnas pada Siri Ke-32 ini merasa terpanggil untuk menekuni isu Hukum Solat Jumaat Jika Hari Raya Idil Fitri Berlaku Pada Hari Jumaat dan memperhalusinya berdasarkan kaedah yang digunapakai oleh para ulama terdahulu. Yang pentingnya dalam kehidupan kita mencari keredhaan Allah agar landasan perjalanan hidup benar-benar menepati syariah dan agama Islam yang kita anuti ini.
Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya semoga Allah menerima amalan ibadat puasa dan qiam yang kita lakukan pada bulan Ramadhan sehingga layak kita menjadi golongan yang bertaqwa yang akhirnya menatijahkan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Hukum Solat Jumaat
Sepertimana yang dimaklumi, solat Jumaat adalah wajib bagi mereka yang mencukupi segala syaratnya.
Dalil disyariatkan dan diwajibkan solat Jumaat berdasarkan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).[1]
(Surah al-Jumu’ah: 9)
Antara dalil wajib solat daripada hadith pula ialah, daripada Toriq bin Syihab RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ
Maksudnya: “Solat Jumaat adalah tanggungjawab yang wajib atas setiap lelaki Muslim.”
Riwayat Abu Daud (1067)
Hadith seterusnya, daripada Abu Hurairah RA dan Ibn Umar R.Anhuma, mereka berdua mendengar Rasulullah SAW bersabda ketika Baginda berada di atas mimbarnya:
لَيَنْتَهِيَنَّ أَقْوَامٌ عَنْ وَدْعِهِمُ الْجُمُعَاتِ أَوْ لَيَخْتِمَنَّ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ ثُمَّ لَيَكُونُنَّ مِنَ الْغَافِلِينَ
Maksudnya: “Hendaklah sesuatu kaum itu daripada meninggalkan solat Jumaat atau Allah akan menutup hati-hati mereka, akibatnya mereka akan menjadi golongan yang lalai.”
Riwayat Muslim (865) dan yang lainnya
Hukum Solat Hari Raya
Solat hari raya ialah sunat muakkad. Ini kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya sejak mula disyariatkan sehinggalah Baginda wafat. Begitu juga para sahabat Baginda terus melakukannya selepas itu.
Berdasarkan hadith daripada Abu Sa’id al-Khudri yang terdahulu, solat hari raya disyariatkan secara berjemaah namun sah dilakukan secara bersendirian. Begitu juga ia disyariatkan berjemaah kepada semua mukallaf sama ada lelaki, perempuan, bermukim, musafir, orang bebas atau hamba kecuali perempuan yang berhias atau yang memungkinkan fitnah. Mereka hendaklah bersolat di rumah sahaja.
Solat hari raya tidak wajib berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda kepada seorang yang bertanya tentang solat yang difardhukan:
خَمْسُ صَلَوَاتٍ فِى الْيَوْمِ وَاللَّيْلَةِ. قَالَ: هَلْ عَلَىَّ غَيْرُهُا؟ قَالَ: لاَ، إِلاَّ أَنْ تَطَّوَّعَ
Maksudnya: “Lima solat sehari semalam. Baginda ditanya lagi: Adakah wajib atasku selain daripada itu? Baginda menjawab: Tidak, kecuali engkau ingin mengerjakan solat sunat.”
Riwayat al-Bukhari (46) dan Muslim (11)
Begitu juga hadith:
خَمْسُ صَلَوَاتٍ كَتَبَهُنَّ اللَّهُ عَلَى الْعِبَادِ فَمَنْ جَاءَ بِهِنَّ لَمْ يُضَيِّعْ مِنْهُنَّ شَيْئًا اسْتِخْفَافًا بِحَقِّهِنَّ كَانَ لَهُ عِنْدَ اللَّهِ عَهْدٌ أَنْ يُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ وَمَنْ لَمْ يَأْتِ بِهِنَّ فَلَيْسَ لَهُ عِنْدَ اللَّهِ عَهْدٌ إِنْ شَاءَ عَذَّبَهُ وَإِنْ شَاءَ أَدْخَلَهُ الْجَنَّةَ
Maksudnya: “Allah SWT mewajibkan lima solat atas hamba-Nya. Sesiapa yang melakukannya tanpa meninggalkan sedikit pun kerana meringan-ringankannya, Allah SWT menjanjikannya masuk syurga, manakala sesiapa yang tidak melakukannya, Allah tidak menjanjikan apa-apa kepadanya. Allah akan mengazabkannya atau memasukkannya ke dalam syurga menurut kehendak-Nya.”
Riwayat Abu Daud (1420)
Hadith seterusnya, daripada Ummu ‘Atiyyah al-Ansariyah R.Anha:
كُنَّا نُؤْمَرُ أَنْ نَخْرُجَ يَوْمَ الْعِيدِ، حَتَّى نُخْرِجَ الْبِكْرَ مِنْ خِدْرِهَا، حَتَّى نُخْرِجَ الْحُيَّضَ فَيَكُنَّ خَلْفَ النَّاسِ، فَيُكَبِّرْنَ بِتَكْبِيرِهِمْ، وَيَدْعُونَ بِدُعَائِهِمْ يَرْجُونَ بَرَكَةَ ذَلِكَ الْيَوْمِ وَطُهْرَتَهُ. وَفِي رِوَايَةٍ قَالَتْ امْرَأَةٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِحْدَانَا لَيْسَ لَهَا جِلْبَابٌ؟ فَقَالَ: لِتُلْبِسْهَا صَاحِبَتُهَا مِنْ جِلْبَابِهَا
Maksudnya: “Kami disuruh keluar pada hari raya dan membawa gadis-gadis keluar dari bilik-bilik pingitan mereka bersama-sama yang haidh, kesemuanya berada di belakang jemaah lelaki. Mereka bertakbir dan berdoa bersama-sama memohon keberkatan dan kesucian hari tersebut. Sementara dalam riwayat yang lain pula, seorang perempuan berkata: Wahai Rasulullah, seorang daripada kami tidak mempunyai baju labuh (jilbab). Baginda menjawab: Rakannya hendaklah meminjamkan kepadanya.”
Riwayat al-Bukhari (928) dan Muslim (890)
Hukum Solat Jumaat Jika Hari Raya Idil Fitri Berlaku Pada Hari Jumaat
Dalam hal ini, para ulama telah khilaf kepada beberapa pendapat. Mereka masing-masing mengemukakan hujah.
Pertama: Solat Jumaat tetap wajib sekalipun telah dilakukan Solat Hari Raya. Ini kerana solat Jumaat asalnya adalah wajib berdasarkan nas di atas. Justeru, sekalipun sudah dilakukan solat Hari Raya, solat Jumaat tetap wajib. Inilah pendapa jumhur ulama termasuk Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan sebahagian daripada Hanabilah. Dalilnya seperti berikut:
- Umum ayat yang memerintahkan supaya melaksanakan solat Jumaat dan banyak khabar atau hadith yang menunjukkan kewajipannya. Begitu juga dengan solat Jumaat adalah wajib yang tidak mungkin gugur salah satu dengan yang lain sama seperti Zohor bersama solat Hari Raya. Lihat al-Mughni oleh Ibn Qudamah (2/358).
- Daripada Abu Hurairah R.A bahawa nabi SAW bersabda bermaksud:
قَدِ اجْتَمَعَ فِى يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنَ الْجُمُعَةِ وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ
Maksudnya: “Telah berhimpun pada hari ini dua hari raya, barangsiapa yang ingin maka ia (solat sunat hari raya) adalah cukup baginya daripada (solat) Jumaat, adapun kami, menghimpunkan (lakukan kedua-duanya).”
Riwayat Abu Daud (1073) dan Ibn Majah
Wajah dalalahnya adalah bahawa Nabi SAW tetap melakukan solat Jumaat.
- Daripada Abu ‘Ubaid maula Ibn Azhar menyatakan bahawa: “Aku menyaksikan dua hari raya bersama Uthman bin Affan, hari itu ialah hari Jumaat, dia pun solat sebelum khutbah, kemudian dia berkhutbah, katanya: Hai manusia, sesungguhnya pada hari ini telah berhimpun bagi kamu dua hari raya, barangsiapa daripada penduduk kawasan tinggi (jauh) yang ingin menunggu Jumaat maka tunggulah, dan barangsiapa yang ingin balik maka aku izinkan.”
Riwayat al-Bukhari
Kedua: Hukumnya sunat Solat Jumaat bagi mereka yang telah melaksanakan Solat Hari Raya. Pendapat ini adalah pendapat mazhab Hanbali.
Antara dalilnya ialah:
- Daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW
قَدِ اجْتَمَعَ فِى يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنَ الْجُمُعَةِ وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ
Maksudnya: “Telah berkumpul pada hari kamu ini dua hariraya, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hariraya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi s.a.w) akan menunaikan Jumaat”
Riwayat Abu Daud, Ahmad, Ibn Majah. Dinilai sahih oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi. Al-Albani juga menyatakan sahih
Hadith ini ditafsirkan dengan keharusan meninggalkan Jumaat bagi yang telah melakukan solat Hari Raya terutamanya bagi mereka yang ingin pulang ke pedalaman atau desa. Ini berdasarkan nas Rasulullah SAW yang menyebut (فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنَ الْجُمُعَةِ) yang memberi maksud sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hariraya bagi solat Jumaat.
Daripada Zaid bin Arqam RA katanya:
صَلَّى النَّبِيُّ – صلى الله عليه وسلم – الْعِيدَ, ثُمَّ رَخَّصَ فِي الْجُمُعَةِ, فَقَالَ: مَنْ شَاءَ أَنْ يُصَلِّيَ فَلْيُصَلِّ
Maksudnya: “Nabi SAW telah melakukan solat Hari Raya kemudian memberi keringanan kepada solat Jumaat seraya bersabda: ‘Siapa yang mahu solat maka solatlah.”
Riwayat Ahmad (18831), Abu Daud (1070), al-Nasaie (1591), Ibn Majah (1310) dan Ibn Khuzaimah (2/359) dan beliau mensahihkannya.
Hadith ini menunjukkan memadai bagi sesiapa yang solat Hari Raya untuk tidak solat Jumaat tetapi hanya solat Zohor.
Antara alasan kenapa memadai salah satunya kerana kuatnya penyamaan antara dua solat iaitu solat Hari Raya dan solat Jumaat kerana kedua-dua dilakukan dua rakaat dengan bacaan yang jahar atau nyaring. Begitu juga terdapat dua khutbah. Disamping perhimpunan yang besar.
Perkataan rukhsah menunjukkan hadir untuk solat Jumaat adalah sunat semata-mata.
- Daripada Iyas bin Abi Ramlah al-Syami, katanya:
أن معاوية بن أبي سفيان رضي الله عنه سأله: هل شهدت مع رسول الله صلى الله عليه وسلم عيدين اجتمعا في يوم واحد؟ قال: نعم، قال: كيف صنع؟ قال: صلى العيد ثم رخص في الجمعة، فقال: (من شاء أن يصلي فليصل)ل
Maksudnya: “Mu’awiyah bin Abi Sufiyan bertanya Zaid bin Arqam RA: ‘Adakah engkau menyaksikan bersama Nabi SAW dua perayaan yang berhimpun pada satu hari? Jawabnya: Ya. Dia bertanya lagi: Bagaimana Nabi SAW lakukan? Jawabnya: Baginda SAW solat hari raya kemudian memberikan kelonggaran dalam solat Jumaat, sabda Nabi SAW: Barangsiapa yang mahu solat maka solatlah.”
Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Nasa’ie, Ibn Majah, al-Darimi dan al-Hakim dalam al-Mustadrak dengan katanya: Hadith sahih sanadnya dan dia mengikut syarat Muslim serta dipersetujui oleh al-Zahabi. Imam Nawawi dalam al-Majmu’ berkata: “Sanadnya baik.”
Dr. Wahbah al-Zuhaily dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh menyebut: “Ini kerana telah tertahqiq maksud untuk mendengar khutbah Hari Raya justeru memadai daripada mendengarnya buat kali kedua. Ini keran waktunya satu pada pandangan mereka iaitu pada masa yang keenam. Justeru, gugurlah salah satu daripada dengan yang lain seperti solat Jumaat bersama solat Zohor.” Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh 2/1420.
- Daripada Ibn Umar R.Anhuma berkata:
اجتمع عيدان على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم فصلى بالناس ثم قال: (من شاء أن يأتي الجمعة فليأتها ، ومن شاء أن يتخلف فليتخلف
Maksudnya: “Telah berhimpun dua hari raya (Jumaat dan Hari Raya) pada zaman Rasulullah SAW lantas Nabi sembahyang bersama orang ramai kemudian bersabda: ‘Siapa yang mahu datang berJumaat maka silalah, dan siapa yang mahu pulang maka silalah.”
Riwayat Ibn Majah dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir
- Daripada ‘Atha’ Rahimahullah katanya: “Ibn al-Zubair solat hari raya bersama kami pada awal pagi hari Jumaat, kemudian kami pergi menunaikan Jumaat sedangkan dia (Ibn al-Zubair) tidak keluar dengan kami, maka kami pun solat sesama kami. Ketika itu Ibn Abbas R.Anhuma berada di Ta’if, apabila kembali kami menceritakan perkara itu kepadanya, lalu dia berkata: dia menepati sunnah.”
Riwayat Abu Daud
- Daripada Wahab bin Kisan katanya: “Telah berhimpun dua hari raya pada zaman Ibn al-Zubair, dia lewat keluar sehingga hari sudah tinggi, kemudian dia keluar dan berkhutbah, panjang khutbahnya, kemudian dia turun dan solat, dan dia tidak solat bersama orang ramai pada hari Jumaat.”
Riwayat al-Nasaa’ie
Tarjih
Kami lebih cenderung kepada pendapat jumhur yang mewajibkan solat Jumaat sekalipun terdapat dalil yang sebaliknya. Ini kerana
- Dalil yang menggugurkannya tidak kuat. Seperti hadith Zaid bin Arqam dianggap sebagai dhaif. Ini kerana pada sanadnya terdapat Iyas bin Abi Ramlah yang dianggap sebagai majhul.
- Rasulullah SAW sendiri melaksanakannya dengan menyebut (وإنا مجمّعون) dan sedangkan kami tetap melaksanakan solat Jumaat.
- Rukhsah diberi kepada golongan yang jauh dan pedalaman. Hal ini perlu difahami realiti dan waqie ketika itu solat Jumaat hanya dilakukan di masjid utama sahaja seperti di Madinah. Justeru, bagi mereka yang jauh jarak perjalanan akan menyukarkan bagi mereka.
- Sebaliknya, hampir disetiap kampung dan kawasan mempunyai masjid yang memungkinkan seseorang itu pergi dengan mudah dan senang.
- Solat Jumaat adalah salah satu daripada syiar Islam yang apabila ditegakkannya sudah barang tentu menampakkan gahnya Islam itu sendiri.
- Berdasarkan kaedah “الخروج من الخلاف مستحب” (keluar dari perkara khilaf adalah digalakkan). Kaedah seperti ini juga terdapat dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah: ” والأفضل له حضورها خروجا من الخلاف” (Dan yang lebih afdal baginya adalah menghadiri Jumaat kerana keluar daripada khilaf).
Cadangan dan Saranan
Saya mengambil kesempatan di sini untuk mencadangkan kepada imam yang bertugas pada hari Jumaat jika berbetulan pada Hari Raya hendaklah memendekkan khutbah Jumaat dan meringkaskannya dengan meraikan segala rukun. Ini kerana, khutbah fungsinya memberi nasihat dan peringatan sedangkan di waktu pagi ketika solat Hari Raya sudah dikhutbahkan dengan panjang lebar. Justeru, meringkaskan khutbah akan menenangkan jiwa para jemaah solat Jumaat sepertimana yang dimaklumi pada Hari Raya masing-masing mempunyai banyak agenda ziarah menziarahi dan menerima tetamu. Ini juga menandakan kefaqihan seseorang imam.
Penutup
Suka dinyatakan di sini jika sekiranya masalah khilaf alangkah lebih baik kita bersifat terbuka dan berlapang dada. Kami tidak menafikan betapa terdapatnya pandangan Imam Syafie yang menyatakan gugur solat Jumaat kepada ahli bawadi dan awali iaitu golongan yang tinggal jauh di pedalaman dariapada kota Madinah sepertimana yang telah difatwakan oleh Saidina Uthaman dan dinyatakannya oleh Imam al-Bukhari. Kami telah huraikan asas tarjih kami berkenaan golongan awali dan bawadi yang berada nun jauh di pedalaman dan menyukarkan mereka untuk kembali semula melaksanakan solat Jumaat.
Tetapi pada saat yang sama hendaklah kita mencari pendapat yang lebih ahwat serta meraikan juga pendapat mazhab setempat seperti mazhab Imam Syafie di Malaysia ini. Dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin oleh Syeikh Abd al-Rahman bin Muhammad bin Husain al-Masyhur yang juga dikenali degan Ba’alwi menyebut:
فمذهبنا أنه إذا حضر أهل القرى والبوادي العيد وخرجوا من البلاد قبل الزوال لم تلزمهم الجمعة وأما أهل البلد فتلزمهم
Maksudnya: “Maka mazhab kita, kalau bagi orang perdalaman yang jauh dari masjid Jami’ maka mereka dapat keringanan untuk meninggalkan Jumaat, sedangkan bagi yg tinggal di bandar atau dekat dengan masjid Jami’ maka solat Jumaat tetap diwajibkan kerana tidak susah baginya untuk melakukan perjalanan ke masjid untuk menunaikan kedua solat tersebut.”
Seperti yang kami jelaskan sebelum ini kerana ‘illahnya kesukaran dan kejauhan untuk berulang-alik buat kali kedua ke masjid tatkala sudah menunaikan solat sunat Hari Raya.Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman dalam melaksanakan syariat Islam dan ibadahnya benar-benar menepati kehendak Allah dan Rasul.
Marilah sama-sama kita merayakan Hari Raya Idil Fitri ini dengan penuh kesyukuran dan ketaatan kepada Allah dengan meninggikan segala syiar di samping saling ziarah menziarahi dan bermaafan serta mempertautkan keampuhan ukhuwwah Islamiyyah sebagaimana yang telah ditaklifkan oleh agama kita.
Akhukum fillah
Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
22 Ramadan 1436H Bersamaan 09 Julai 2015
1] Al-Qurtubi berkata: Ayat ini menjadi dalil bahawa Allah fardhukan Jumaat kepada setiap orang Islam dan menolak pendapat yang menyatakan bahawa solat Jumaat hukumnya fardhu kifayahsedangkan Jumhur al-Ummah berpendapat hukumnya adalah fardhu ain.
Sumber: http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/bayan-linnas/606-hukum-solat-jumaat-jika-hari-raya-idil-fitri-berlaku-pada-hari-jumaat
www.indahnyaislam.my