Hukum tersilap berbuka puasa lebih awal dari waktu sebenar

 

Terdapat kes orang yang berbuka puasa Ramadan lebih awal dari waktu sebenar kerana menyangka waktu berbuka telah masuk. Termasuklah juga di dalam isu ini, orang berbuka puasa lebih awal kerana kesilapan bilal yang melaungkan azan lebih awal.

Disebutkan dalam kitab al Raudhah:

وَلَوْ أَكَلَ ظَانًّا غُرُوبَ الشَّمْسِ، فَبَانَتْ طَالِعَةً، أَوْ ظَنَّ أَنَّ الْفَجْرَ لَمْ يَطْلُعْ، فَبَانَ طَالِعًا، أَفْطَرَ عَلَى الصَّحِيحِ

Maksud: “Jika seseorang itu makan kerana menyangka telah tenggelam matahari, tetapi ternyata belum tenggelam atau menyangka fajar belum timbul, ternyata telah timbul, dikira batal puasanya atau pandangan yang sahih. “

Pandangan ini diluahkan juga oleh para ulama mazhab Hanafi dan Maliki bahkan ia adalah pandangan jumhur seperti yang disebut kitab al Mughni:

…. او أفطر يظن أن الشمس قد غابت ولم تغب فعليه القضاء،هذا قول أكثر أهل العلم من الفقهاء

Ertinya:

“… atau seseorang itu berbuka dengan sangkaan matahari telah tenggelam sedangkan belum tenggelam, maka wajib atasnya qadhak (batal puasa) dan itulah pandangan kebanyakan ulama.”

Pandangan kedua yang disebutkan dalam kitab-kitab fiqh mazhab Hambali mengatakan, ianya tidak batal. Ia adalah pandangan Urwah, Mujahid, Hasan dan Ishaq. Di dalam kitab al Mughni dinyatakan:

وحكي عن عروة ومجاهد والحسن واسحاق لا قضاء عليهم

Ertinya:

“Diriwayatkan dari Urwah, Mujahid, al Hasan dan Ishaq, tidak wajib qadhak (tidak batal puasa orang tersebut). “

Dalam kitab al Insaf:

وإن أكل يظن الغروب، ثم شك ودام شكهلم يقض

Maksudnya: “Dan jika seseorang makan dengan menyangkakan telah tenggelam matahari, kemudian syak dan sentiasa dalam syaknya, maka tidaklah perlu dia qada’ puasa tersebut.”

Pandangan yang terpakai adalah pandangan yang pertama yang mengatakan yang ianya batal.

Ini berdasarkan kaedah fiqh yang dinyatakan dalam kitab al Wajiz Fi idhah Qawaid al Fiqh:

لَا عِبْرَةَ بِالظّنّ البَيّن خَطَؤُهُ

Maksudnya: Tidak diambil kira dengan sangkaan yang sudah jelas kesalahannya.

Walau bagaimanapun, yang batal puasa itu kepada orang yang tahu kemudiannya sahaja. Bagi orang yang tidak tahu tentang kesilapan berbuka lebih awal dari waktu berbuka itu, puasanya tetap sah.

Ini berdasarkan kefahaman saya tentang qaedah yang terdapat dalam kitab Ighathah al Lahfan.

Jadi, tidak wajib orang tahu tentang waktu sebenar memberitahu kepada orang yang tidak tahu mengenainya. Biarkanlah ia berbuka dan tiada dosa baginya serta sah puasanya.

Hukum ini diistinbatkan dari perbuatan Umar r.a yang tidak membenarkan orang yang tahu status air sama ada najis atau tidak kepada orang tidak tahu supaya tidak menyusahkannya untuk membersihkannya sekiranya benar-benar najis.

Dalam kes bilal tersilap azan sebelum waktu Maghrib, adalah tidak wajib ia memberitahu kepada orang ramai tentang kesilapannya dan puasa orang yang tidak tahu dianggap sah.

Adapun orang tahu kemudiannya kerana ada juga orang memberitahunya atau kerana melihat waktu sebenar, puasa mereka batal dan wajib qada’.

Ini adalah pandangan peribadi saya semata-mata, tidak dikaitkan dengan mana-mana pihak atau jabatan.

Mantan Mufti Terengganu
Datuk Dr Zulkifly Muda

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts