Soalan :
Assalamualaikum wbt. Selamat menyambut Ramadhan. Saya nak tanya. Apakah hukum orang yang tidak bangun untuk bersahur. Ada yang berkata kalau tidak bersahur pun tetap boleh puasa. Mohon pencerahan ustaz.
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Di antara sunnah yang besar ketika puasa di bulan Ramadhan adalah melambatkan sahur dan menyegerakan berbuka. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Sahl Bin Sa’ad. Sabda Nabi SAW :
لَا يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ
Maksudnya :”Manusia sentiasa berada dalam kebaikan selagi mana mereka menyegerakan berbuka.”
Riwayat Al-Bukhari (1957) & Muslim (2608)
Imam Al-Nawawi menyatakan bahawa hadis ini menjadi galakan untuk menyegerakan berbuka selepas terbenamnya matahari. Dan yang dimaksudkan dengan hadis ini ialah urusan umat ini akan sentiasa tersusun dan berada di dalam keadaan selagi mana mereka tidak meninggalkan sunnah ini. Jika mereka melewatkannya maka ia adalah tanda keburukan dan kerosakan akan berlaku. (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sohih Muslim, 7/28)
Begitu juga dengan sahur, ia adalah sunnah yang paling besar dan antara amalan yang tidak pernah ditinggalkan. Ia juga merupakan pemisah di antara puasa kita dengan puasa yang dilakukan oleh penganut agama-agama lain. Perkara ini dapat dilihat menerusi hadis yang diriwayatkan oleh Sahl Bin Sa’ad. Nabi SAW bersabda :
إِنَّ فَصْلَ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ أَكْلَةُ السَّحَرِ
Maksudnya :” Pemisah (perbezaan) di antara puasa kita dengan puasa ahli kitab adalah bersahur.”
Riwayat Abu Daud (2343)
Bahkan bersahur menyebabkan kita memperoleh keberkatan daripada Allah SWT. Daripada Anas Bin Malik bahawasanya Nabi SAW bersabda :
تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً
Maksudnya :” Bersahurlah kerana di dalam sahur itu adalah berkat.”
Riwayat Al-Bukhari (1923)
Di antara sebab keberkatan adalah kerana sahur membekalkan tenaga dan membantu seseorang menjalani hari-hari puasa dengan mudah dengan ibadah dan amalan-amalan ketaatan.
Lebih daripada itu, Nabi SAW memerintahkan agar jangan meninggalkan sahur. Perkara ini dapat diketahui melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id Al-Khudri bahawa Nabi SAW bersabda :
السَّحُورُ أَكْلُهُ بَرَكَةٌ ، فَلاَ تَدَعُوهُ ، وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ ، فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ
Maksudnya :” Makan pada waktu sahur adalah satu keberkatan. Jangan pernah kalian meninggalkannya walaupun hanya dengan satu tegukan air. Sesungguhnya Allah memberikan rahmat dan para malaikat pula mendoakan ke atas orang yang bersahur.”
Riwayat Imam Ahmad (11102) di dalam Musnadnya
Oleh itu, boleh kita simpulkan bahawa bersahur adalah sunnah yang paling besar dan tidak pernah ditinggalkan oleh Nabi SAW dan para sahabat Baginda. Tidak bersahur bermakna dia telah meninggalkan sunnah yang paling besar dan boleh menyebabkan seseorang itu tidak mendapatkan. Ya, memang puasanya sah akan tetapi berpuasa bukan hanya melibatkan sah atau tidak sah. Apa yang kita mahukan adalah keberkatan di dalam ibadah puasa yang kita lakukan. Ambil peluang pada waktu sahur ini untuk beristighfar dan memohon keampunan daripada Allah SWT. Inilah di antara sifat orang mukmin seperti mana yang Allah SWT khabarkan di dalam Al-Quran :
وَبِٱلْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ
Maksudnya :” Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).”
(Surah Al-Dzariyat : 18)
Semoga Allah memberikan kita taufiq dan hidayah untuk memanfaatkan Ramadhan dengan sebaiknya. Wallahu’alam. -muftiwp
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM