SOALAN:
Salam, saya inginkan pencerahan tentang lafaz “madad ya Rasulullah”, adakah boleh amalkan dan apakah hukumnya?
JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt,
Isu ucapan ‘Madad Ya Rasulullah’ ini sudah menjadi polemik dalam masyarakat kita hari ini. Sekali pun ada golongan yang membenarkan ucapan sebegini, namun kami cenderung untuk meneliti ucapan ini dengan teliti.
Pertama: Adakah ucapan madad kepada Rasulullah SAW ini terdapat suruhan dalam nas-nas Syarak atau tidak? Jika tiada, maka di situ sudah diketahui bahawa ia tidak disyariatkan untuk diamalkan.
Kedua: Apakah maksud madad itu sendiri? Madad bererti meminta bantuan. Jika disebut madad itu dituju kepada Rasulullah SAW, maka di sini perlu dilihat daripada dua sudut.
• Ini tidak menjadi masalah jika Baginda SAW masih hidup kita meminta pertolongan beliau seperti mana yang dilakukan oleh para sahabat.
• Meminta tolong daripada Baginda SAW setelah wafat.
Sudut yang kedua ini kita dapati para ulama telah berbeza pandangan. Sebahagian mengharuskan dan sebahagian lagi mengharamkan.
Tanpa menafikan hakikat syafaat, keharusan bertawassul dengan kedudukan dan selawat kepada Baginda SAW ketika berdoa, kami syorkan agar diubah sebutannya kepada:
مدَد يا ربَّ رسولِ الله
Ertinya: Berilah kami bantuan wahai Tuhan kepada Rasulullah.
Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Fatihah ayat keenam:
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
Maksudnya: Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
Juga sabda Rasulullah SAW sendiri:
إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللَّهَ، وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ
Maksudnya: Jika kamu meminta, maka mintalah kepada Allah. Jika kamu meminta pertolongan, mintalah pertolongan daripada Allah.
Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi (2516) dalam Sunan-nya.
Semoga Allah SWT meletakkan dalam hati kita tauhid yang sofi dan bersih.
Wallahua’lam.
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Sumber: https://telegram.me/drzulalbakri