- Secara asasnya pengambilan vaksin adalah harus secara asal sama seperti hukum berubat. Ulama tidak mewajibkan seseorang berubat (pada pandangan Syafieyah) kerana ia merupakan salah satu ikhtiar dalam menanggapi takdir Allah SWT.
- Namun pada pelbagai sudut lain, pengambilannya boleh membawa kepada hukum wajib apabila ia terkait dengan perkara lain, seperti arahan pemerintah (kerana pemerintah berhak menetapkan polisi demi maslahat umum), atau tidak ambilnya vaksin akan membawa kepada mudarat awam seperti menyusahkan pihak lain seperti KKM dan pihak keluarga, menjadi pembawa virus kepada pihak lain dan seumpamanya serta membantutkan usaha kerajaan dalam membentuk imuniti kelompok.
- Bagi menerangkan kaedah ini, kita sebutkan bahawa : “Pandangan pemimpin itu terpakai dalam perkara yang tiada nas terhadapnya, atau nas itu wujud dengan pelbagai penafsiran, atau dalam perkara maslahah mursalah (maslahah yang tidak disebut secara nas), adalah terpakai (yakni diamalkan dan dipatuhi), selagimana ia tidak bertentangan dengan kaedah syarak”.
- Dalam keadaan no. 2, pemerintah berhak mengambil tindakan kepada siapa yang enggan mengambilnya, berkadaran kepada mudarat yang dibawanya kepada peringkat awam.
- Jika dia tidak mahu mengambilnya atas kecenderungan peribadi, maka wajarlah dia terikat dengan apa-apa SOP yang terkait dengannya, seperti tidak boleh pergi ke premis tertentu, dine-in, sesetengah majikan pula mewajibkan pekerjanya untuk mengambil dos vaksin lalu orang yang tidak ambil akan terikat dengan polisi tersebut, dan seumpamanya.
- Tindakannya melawan polisi tersebut samada secara helah dan tipu boleh membawanya kepada dosa menipu dan mengakibatkan kerosakan kepada orang lain. Dia sewajarnya menjamin segala kerosakan atau mudarat yang timbul kerana apa yang dilakukan.
- Adapun jika dia mempromosi keengganannya terhadap polisi kerajaan dan SOP secara terang-terangan, serta mengajak orang lain untuk tidak mengambil vaksin atas sebab-sebab yang tertentu, ia boleh dianggap melanggar polisi kerajaan secara umum, dikhuatiri ia boleh dianggap melakukan jenayah ‘pemberontakan’ kerana ia menimbulkan kekacauan awam dan huru-hara dalam masyarakat.
- Untuk golongan yang mempromosi pendapatnya itu, wajarlah tindakan yang keras dikenakan, berkadaran dengan kerosakan yang dilakukan terhadap peringkat masyarakat awam.
- Ini kerana apabila sesuatu perkara itu makin besar, makin besarlah juga ketentuan syarak terhadapnya, dan makin besarlah pertanggungjawaban terpikul ke atasnya.
- Pengambilan vaksin adalah harus dari sudut ikhtiar asal, tetapi ia boleh jadi wajib sebagai seorang warganegara yang duduk dalam satu sistem masyarakat yang mempunyai pelbagai lapisan autoriti, dan pelbagai lapisan masyarakat.
Wallahua’lam bissawaab.
Ustaz Syamil Esa
Pengarah Sekretariat
Majlis Ulama ISMA (MUIS)
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)