SOALAN
Assalamualaikum.
Adakah saya perlu membayar zakat fitrah anak saya yang hilang?
Terima kasih.
JAWAPAN RINGKAS
Kesimpulannya, anak yang hilang jika diketahui status hidupnya dan diragui status hidupnya maka diwajibkan zakat fitrah baginya. Bapa wajib membayar zakat fitrah anaknya apabila tenggelam matahari pada hari terakhir ramadan atau pada malam hari raya aidilfitri.
HUJAH DAN ANALISIS
Zakat fitrah merupakan satu kefarduan ke atas semua umat islam yang mencukupi syaratnya. Zakat fitrah merupakan satu zakat yang wajib dibayar dalam tempoh ditetapkan sahaja.
Secara asasnya, kewajipan membayar zakat fitrah bagi kanak-kanak adalah jatuh kepada walinya atau sesiapa yang menanggung nafkah bagi kanak-kanak tersebut. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa zakat fitrah wajib ke atas wali yang menanggung nafkah seseorang itu. Perkara ini dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitabnya:
وَمَنْ وَجَبَتْ عَلَيْهِ فِطْرَتُهُ وَجَبَتْ عَلَيْهِ فِطْرَة مِنْ تَلْزَمُهُ نَفَقَتُهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang diwajibkan ke atasnya zakat fitrah maka diwajibkan juga keatasnya zakat fitrah bagi mereka yang di dalam tanggungannya”
(Rujuk al-Majmu’Syarh al-Muhazzab 6/113)
Kewajipan mengeluarkan zakat bagi mereka yang menanggung nafkah seseorang itu termasuklah disebabkan perkahwinan, saudara mara atau orang yang berkhidmat. Perkara ini dinyatakan oleh Dr. Muhammad al-Zuhaili di dalam kitabnya:
كما يجب عليه أن يخرجها عمَّن تلزمه نفقته بسبب النكاح أو القرابة أو الخدمة
Maksudnya: “Diwajibkan ke atasnya untuk mengeluarkan zakat ke atas mereka yang diwajibkan nafkah keatasnya disebabkan pernikahan, hubungan persaudaraan atau perkhidmatan (hamba sahaya)”.
(Rujuk al-Mu’tamad FI Al-Fiqh al-Shafie 2/99)
Justeru itu, bapa akan menanggung zakat fitrah anaknya sehingga baligh. Jika anak yang baligh mampu untuk membayarnya sendiri maka tidak menjadi tanggungjawab bapa untuk membayar zakat baginya.
Berbalik kepada persoalan di atas, kewajipan zakat fitrah bagi anak yang hilang bergantung kepada status anak sama ada hidup atau mati. Jika seseorang itu diketahui masih hidup maka hukum zakat fitrah wajib dibayar. Manakala, jika seseorang itu diragui hidupnya maka pendapat paling sahih di sisi Mazhab al-Syafie adalah diwajibkan membayar zakat fitrah baginya. Hal ini kerana pada asalnya orang yang hilang itu hidup. Pendapat ini dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitabnya:
الْعَبْدُ الْغَائِبُ فَإِنْ عَلِمَ حَيَاتَهُ وكان في طاعة سيده رحبت فِطْرَتُهُ بِلَا خِلَافٍ
Maksudnya: “Hamba yang hilang jika diketahui dia masih hidup. Kehilangan dia itu adalah kerana urusan kerja dikenakan fitrah baginya tanpa khilaf”
(Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 6/11)
Imam al-Nawawi menerangkan lagi berkenaan status hamba yang hilang dan tidak diketahui hidupnya:
وَإِنْ لَمْ يَعْلَمْ وَانْقَطَعَ خَبَرُهُ مَعَ تَوَاصُلِ الرِّفَاقِ فَطَرِيقَانِ (أَصَحُّهُمَا) وَهُوَ الْمَنْصُوصُ وُجُوبُهَا لِأَنَّ الْأَصْلَ حَيَاتُهُ
Maksudnya: “Jika tidak diketahui dan terputus khabar berita mengenainya walaupun dari orang yang terdekat maka ada dua pendapat . Pendapat yang sahih adalah diwajibkan kerana pada asalnya hamba yang hilang itu hidup”.
(Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 6/11)
KESIMPULAN
Kesimpulannya, anak yang hilang jika diketahui status hidupnya dan diragui status hidupnya maka diwajibkan zakat fitrah baginya. Bapa wajib membayar zakat fitrah anaknya apabila tenggelam matahari pada hari terakhir ramadan atau pada malam hari raya aidilfitri. Wallahuallam.
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM