Hukum zakat fitrah bagi orang yang meninggal dunia

Soalan:

Assalamualaikum wbt. Di sini saya ingin bertanya berkenaan dengan zakat fitrah. Bagaimanakah hukum zakat fitrah ke atas orang yang telah meninggal dunia ketika bulan Ramadan? Sekiranya wajib, tanggungjawab siapakah yang perlu membayar zakat bagi pihak si mati? Mohon pencerahan dan terima kasih.

Ringkasan Jawapan:

Hukum zakat fitrah bagi umat Islam yang meninggal dunia perlu dilihat kepada beberapa situasi. Jika seseorang itu meninggal dunia setelah terbenamnya matahari pada akhir Ramadan, maka kewajipan zakat fitrah pada si mati tidak gugur, namun pelaksanaannya wajib diuruskan oleh warisnya. Manakala bagi umat Islam yang meninggal sebelum terbenamnya matahari pada akhir Ramadan maka tidak diwajibkan zakat fitrah.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT, tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW, para sahabat serta mereka yang mengikut jejak langkah baginda hingga hari kiamat.

Kewajipan membayar zakat fitrah ke atas umat Islam telah termaktub dalam nas syarak iaitu melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar RA:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْرِ مِنْ رَمَضَانَ عَلَى النَّاسِ، صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ، عَلَى كُلِّ حُرٍّ أَوْ عَبْدٍ، ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى، مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan ke atas umat Islam dengan satu gantang tamar, satu gantang tepung barli sama ada orang yang merdeka atau hamba sahaya, lelaki atau perempuan dalam kalangan umat Islam.

(Riwayat Muslim: 984)

Imam al-Nawawi menjelaskan diwajibkan mengeluarkan zakat setelah tebenamnya matahari dan masuknya sebahagian malam aidilfitri.[1] Dengan kata lain, antara syarat diwajibkan bagi umat Islam membayar zakat apabila seseorang itu hidup pada bulan Ramadan dan sempat melalui malam satu syawal..

Oleh yang demikian, dalam permasalahan hukum zakat fitrah ke atas orang yang telah meninggal dunia, hal ini perlu dilihat kepada beberapa keadaan iaitu waktu individu tersebut meninggal dunia. Jika seseorang itu meninggal setelah terbenamnya matahari pada akhir bulan Ramadan dan telah masuk hari pertama bulan Syawal maka diwajibkan zakat ke atas si mati. Perkara ini dinyatakan oleh al-Qadhi Abu Syuja’:  

فتُخرَج زكاة الفطر عمن مات بعد الغروب دون من وُلد بعده

Maksudnya: “Zakat fitrah wajib dikeluarkan ke atas sesiapa yang mati selepas terbenamnya matahari, namun tidak wajib ke atas yang lahir selepas itu

(Rujuk Fath al-Qarib al-Mujib: 131)

Kesimpulan:

Hukum zakat fitrah bagi umat Islam yang meninggal dunia perlu dilihat kepada beberapa situasi. Jika seseorang itu meninggal dunia setelah terbenamnya matahari pada akhir Ramadan, maka kewajipan zakat fitrah pada si mati tidak gugur, namun pelaksanaannya wajib diuruskan oleh warisnya. Manakala bagi umat Islam yang meninggal sebelum terbenamnya matahari pada akhir Ramadan maka tidak diwajibkan zakat fitrah.

Wallahu A’lam.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts