Hukuman berat, tegas kepada pemandu mabuk

 

Isu ‘Pemandu Mabuk’ atau bahasa mudahnya mereka yang memandu kenderaan di bawah pengaruh minuman yang memabukkan yang boleh mengancam nyawa.

Boleh dikatakan setiap tahun ada laporan mengenai pemandu mabuk yang melanggar orang lain dan terbaru melibatkan anggota keselamatan hingga menyebabkan kematian. Isu ini sedang hangat diperkatakan orang ramai tanpa mengira bangsa dan agama.

2. Dalam Islam, hukum arak ini sudah jelas dan tidak perlu kepada perbincangan ilmiah sehingga terdorong kepada pembentangan kertas kerja berkajang-kajang. Dan umat Islam tanpa ragu akan menjawab apabila ditanya mengenai arak ini dengan merujuk kepada Surah al-Baqarah (2): ayat 219, yang berbunyi:

Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya …

3. Dan penetapan terus kepada pengharaman arak termaktub dalam Surah al-Maidah (5): ayat 90, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

4. Dalam hadis pula terdapat beberapa yang menyebut mengenainya, antaranya:

Rasulullah bersabda: “Barangsiapa meminum minuman keras hingga masuk ke dalam perutnya maka tidak diterima solatnya selama tujuh hari, apabila meminum minuman keras sampai hilang akalnya (mabuk) maka tidak diterima solatnya selama 40 hari, apabila ia mati (dalam keadaan sedang mabuk), matinya dalam keadaan kafir, apabila ia bertaubat maka Allah akan menerimanya, apabila ia mengulanginya lagi maka hak Allah nanti akan memberikan minuman dari darah bercampur nanah.”
(Hadis Sunan al-Nasai)

Dari Anas bin Malik r.a. katanya: “Rasulullah menghukum peminum arak dengan hukuman dera yang dilakukan beliau dengan pelepah kurma dan terompah (sebanyak 40 kali). Kemudian, Khalifah Abu Bakar juga melakukan hukuman dera sebanyak 40 kali. Maka ketika pemerintahan Umar, orang bertambah ramai tinggal di pelosok-pelosok dan desa-desa. Kerana itu Umar bertanya (musyawarah), “Bagaimana pendapat tuan-tuan mengenai hukuman dera bagi peminum arak?” Jawab Abdurrahman bin Auf: “Aku berpendapat supaya disamakan dengan hukuman (seperti nas dalam al-Qur’an) yang paling ringan (ialah 80 kali). Lalu Umar melaksanakan hukuman dera bagi peminum khamar 80 kali.” (Hadis Sahih Muslim)

5. Dari dalil-dalil di atas, MUAFAKAT tegas mengatakan arak itu haram dan yang meminumnya berdosa dan harus dihukum. Betapa lagi jika kesannya mengakibatkan kematian kepada mereka yang tidak bersalah seperti yang telah pun berlaku kelmarin iaitu kemalangan kereta di Kuantan apabila pemandu mabuk menyebabkan kemalangan tersebut hingga mati pemandu lain.

6. Siapa yang akan bertanggungjawab kepada keluarga mangsa yang terpaksa menanggung kehilangan punca pencarian rezeki dan menjaga keluarga mangsa? Pada diri pemandu, hukuman mungkin hanya minimum tiga tahun penjara dan maksimum 10 tahun beserta denda beberapa ribu ringgit, tetapi bagaimana mangsa yang kehilangan nyawa dan keluarga mangsa kehilangan tempat bergantung? Apakah ini masih dikategorikan sebagai isu remeh?

7. Dikatakan juga bahawa kebanyakan agama di dunia seperti Buddha, Hindu, Kristian dan Sikh juga mengharamkan arak di dalam kitab-kitab mereka kerana kesan-kesan dan akibat-akibatnya lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan. Orang yang minum arak didapati apabila mabuk, mereka mudah melakukan kejahatan dan maksiat berterusan tanpa rasa bersalah di samping pelbagai masalah kesihatan yang dihadapinya.

8. Melihat kepada kesan dan akibat serta sejarah panjang mengenai kemudaratan pengaruh arak ini yang memabukkan, MUAFAKAT mendesak pihak kerajaan mengambil tindakan bukan hanya drastik secara holistik bagi membendung gejala yang tidak diingini ini melalui tindakan perundangan tetapi pesalah harus dikenakan hukuman yang berat sehingga mendatangkan keserikkan kepada yang lain untuk melakukannya.

9. Hukuman mesti setimpal agar setara dengan apa yang termaktub pada Perkara 3(1) Perlembagaan, jika tidak ia sangat mendukacitakan. MUAFAKAT amat bersetuju dengan saranan-saranan yang digariskan oleh PEMBELA iaitu:

1. Mengawal premis penjualan minuman memabukkan secara ketat dan lesen penjualan tersebut hanya diberikan dengan jumlah yang tertentu sahaja berdasarkan bilangan penduduk dewasa bukan Islam di sesuatu tempat.

2. Meminda undang-undang dan peraturan bagi:

a) Menyebabkan premis yang menyediakan minuman memabukkan seperti kelab malam, hotel, restoran dan lain-lain bertanggungjawab memastikan pelanggan mereka tidak keluar dari premis mereka dalam keadaan mabuk.

Jika pelanggan mabuk, mereka bertanggungjawab untuk menghantar atau menyediakan kenderaan pulang bagi memastikan tiada kemalangan berlaku. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan perniagaan mereka ditutup;

b) Menggubal hukuman yang lebih berat termasuk hukuman restoratif bagi pemandu mabuk tanpa mengira sama ada mereka terlibat di dalam kemalangan atau tidak;

c) Menggubal peraturan khusus bagi pemandu mabuk yang menyebabkan kerosakan awam, kecederaan atau kematian dikenakan tindakan gantirugi bagi membaiki kerosakan awam, membayar mangsa yang cedera dan keluarga mangsa yang maut;

d) Membatalkan lesen memandu pemandu yang didapati mabuk ketika memandu sama ada terlibat di dalam kemalangan atau tidak;

e) Menghadkan meminum minuman keras di premis persendirian sahaja bagi bukan Islam dan dilarang secara keras kepada umat Islam;

f) Mengadakan program wajib bagi pemandu mabuk dilarang meminum minuman keras dalam tempoh waktu yang panjang dan diuji secara berkala.

10. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah meletakkan Malaysia sebagai negara ke-10 tertinggi di dunia dalam jumlah pengambilan atau minum arak oleh rakyatnya. Rakyat negara ini membelanjakan RM1.5 bilion untuk arak setahun. Ini adalah perkara yang amat serius tetapi tidak diambil berat oleh banyak pihak untuk membendungnya.

11. Pernah dikatakan bahawa Kerajaan Persekutuan menerima pendapatan sebanyak RM 1.75 billion bagi tahun 2010 daripada penjualan arak iaitu satu sumber pendapatan yang amat tinggi bagi negara tetapi ianya tidak bermakna kerana pendapatan tersebut dijana dengan kos kepada kesihatan dan nyawa manusia. Peruntukan undang-undang mengklasifikasikan arak sebagai minuman dengan kandungan alkoholnya melebihi dua peratus (2.0 peratus) sahaja sementara yang di bawah peratusan itu bukan arak.

12. Masalah sosial akibat penjualan arak amat ketara seperti pergaduhan, gangguan seksual, penderaan anak dan isteri, gangsterisme, kemalangan, dan pelbagai masalah sentiasa menular di kalangan masyarakat di Malaysia.

Statistik kerajaan membuktikan bahawa hampir 45 peratus manusia yang minum arak murah di Malaysia adalah golongan belia bawah umur 18 tahun.

13. Kini di pasaran terdapat lebih dari 300 jenis arak buatan tempatan dengan lesen dijual di paras bawah RM30 dengan kandungan 40 peratus alkohol dengan isi padu 750ml, manakala yang paling murah dijual ialah RM1.70 sebotol isi padu 125ml dengan kandungan 38 peratus alkohol, ia sangat murah dibandingkan dengan air bergas seperti 100 Plus atau sebungkus Milo ais. Pelbagai jenama yang menarik perhatian remaja bawah umur 18 tahun untuk mencuba arak-arak murah ini.

14. Pengambilan alkohol jelas mendatangkan kesengsaraan dan penderitaan kepada peminumnya, keluarganya, masyarakat sekeliling dan mampu menjejaskan pembangunan dan ekonomi negara jika yang terlibat adalah belia-belia yang merupakan tunggak dan pewaris bangsa dan ummah.

15. MUAFAKAT mendesak pihak kerajaan ‘membuat apa yang dikatakan’ iaitu mengharamkan arak atau alkohol dalam apa jua bentuk atau keadaan dan menolak sebarang aktiviti berkaitan arak seperti penganjuran pesta arak dan yang seumpamanya demi kebaikan semua rakyat Malaysia.

Haji Rashidi Haris
Ketua Media MUAFAKAT

www.indahnyaislam.my

—-—

Setkan ‘See First’ fb page Indahnya Islam atau ikuti telegram Indahnya Islam agar anda sentiasa dapat mengikuti pelbagai bahan-bahan menarik berkaitan kesyumulan Islam.

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts