KUALA LUMPUR: Ibadah sunat sempena Aidilfitri yang akan disambut minggu depan perlu diteruskan tanpa mengehadkannya di masjid atau surau seperti sebelum ini.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, berkata 1 Syawal perlu disambut selaras tuntutan agama dengan tidak meninggalkan ibadah seperti solat sunat Aidilfitri dan memuji kebesaran Allah.
“Kita mengagungkan Allah, bertakbir dan bertahmid seperti biasa. Jika boleh lakukan solat sunat Aidilfitri di rumah, lakukanlah di rumah bersama keluarga dan jangan terkilan kerana tidak dapat menunaikannya di masjid.
“Jika tidak mampu berkhutbah, tidak mengapa kerana solat itu masih sah tanpa khutbah. Dalam situasi tidak mengizinkan, afdal jika solat itu dilakukan di rumah,” katanya kepada BH, hari ini.
Menyentuh ibadah sunat lain pada 1 Syawal, Mohamad Shukri berkata, berhias dengan pakaian yang cantik dan bersih juga perlu diteruskan walaupun mungkin hanya meraikannya dengan ahli keluarga di rumah kerana hukumnya sunat.
“Pakaian itu tidak semestinya baharu. Tidak mengapa memakai pakaian lama, asalkan bersih kerana dalam Islam, takwa itu yang akan dinilai,” katanya.
Mohamad Shukri berkata, umat Islam perlu memahami Aidilfitri tahun ini disambut dalam keadaan darurat, yang memerlukan peraturan tertentu dikuatkuasakan supaya wabak COVID-19 mampu dibendung.
Katanya, musibah yang menimpa negara dan seluruh dunia itu adalah realiti yang perlu diterima, justeru masyarakat termasuk umat Islam perlu menyesuaikan diri dengan peraturan dan norma baharu walaupun dalam sambutan perayaan.
“Saya lihat peningkatan kes setiap hari ini adalah disebabkan kealpaan masyarakat untuk patuh kepada SOP, seolah-olah kita sudah bebas daripada COVID-19.
“Justeru, menjelang sambutan Aidilfitri, umat Islam perlu ingat yang kita bukan lagi menyambutnya dalam keadaan aman seperti dulu, kita kini dalam darurat disebabkan wabak. Ini perlu diingat supaya tidak timbul kekeliruan,” katanya.
Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, berkata mematuhi arahan pihak berkuasa adalah wajib terutama ketika kerajaan sedang bertungkus-lumus mengawal penularan wabak COVID-19.
“Ketika Aidilfitri, kita memang disuruh bergembira dan saling menziarahi, namun pada masa sama, kita perlu sedar, SOP yang ditetapkan untuk mengawal pergerakan itu bertujuan untuk menyelamatkan nyawa orang ramai.
“Jadi, sebagai manusia, kita wajib untuk menjaga nyawa yang diamanahkan kepada diri kita ini, selain beribadah,” katanya.
Beliau turut menasihatkan mereka yang tidak dapat merentas daerah untuk pulang ke kampung supaya menghubungi ibu bapa mereka sempena Aidilfitri.
“Jika kita tidak menziarahi, yang menyebabkan ibu bapa berasa marah dan sedih, maka hukumnya haram bagi kita. Bagaimanapun, dalam keadaan sekarang, ibu bapa juga faham kekangan yang dialami, jadi hubungilah mereka menggunakan teknologi yang ada.
“Jika ada ibu bapa yang sakit atau kecemasan, buatlah permohonan untuk pulang kerana pihak berkuasa sudah memaklumkan tiada halangan untuk tujuan itu,” katanya.
Sementara itu, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, berkata wajib ke atas umat Islam menyambut Aidilfitri dengan menjaga SOP.
Katanya, matlamat syariat Islam adalah untuk memelihara lima perkara penting iaitu agama, nyawa, akal, nasab dan harta.
“SOP yang ditetapkan pemerintah ketika wabak COVID-19 adalah ikhtiar untuk mencegah penularan wabak berkenaan melalui sentuhan dan cecair, yang mungkin menyebabkan kematian.
“Hal ini bertepatan dengan matlamat syariat untuk memelihara nyawa. Justeru, beraya dengan menjaga SOP adalah wajib,” katanya.
Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) untuk sambutan Aidilfitri berdasarkan perintah yang dikenakan di kawasan yang terbabit, sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Diperketatkan (PKPD), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).
Antara lain, solat sunat Aidilftri di masjid dan surau dibenarkan kecuali di kawasan PKPD, namun tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa agama negeri bagi menentukan had jemaah yang dibenarkan supaya tidak timbul kesesakan serta mengekalkan penjarakan sosial.
Selain itu, aktiviti kunjung-mengunjung juga dibenarkan di semua kawasan kecuali yang dikenakan PKPD, namun perlu mematuhi SOP termasuk tempoh dan had jumlah tetamu yang ditetapkan. – Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)