Dalam perjalanan Isra’ dan Mi’raj, Rasulullah SAW telah melewati satu kawasan berbau sungguh harum dengan bau-bauan kasturi. Lalu baginda SAW bertanya kepada Jibril AS, kawasan apakah yang sedang mereka lalui. Jibril menjawab: “Wahai Jibril, apakah bau yang sangat wangi ini? Jibril menjawab, ia adalah bau tukang sikat (Mashitah) anak perempuan kepada Firaun dan anak-anaknya (Masyitah)” (Hadis Riwayat Ahmad)
Masyitah adalah hamba dan pengasuh anak Firaun, pemerintah kejam di Mesir yang mengaku dirinya Tuhan. Tatkala orang sekeliling memperakui Firaun sebagai tuhan, Masyitah pula teguh beriman dengan Allah.
Walau bagaimanpun, keimanannya dirahsiakan. Keimanan Masyitah akhirnya tersingkap tatkala beliau menyikat rambut puteri Firaun. Tiba-tiba sikat terjatuh dan dengan tidak sengaja, beliau menyebut Bismillah. Bermula dari situlah rahsianya terbongkar. Walau Masyitah dipaksa Firaun memperakui dirinya (Firaun) sebagai Tuhan, tetapi dengan penuh keberanian beliau berkata: “Tuhan aku dan Tuhan kamu adalah Allah.”
Insiden itu menimbulkan kemarahan Firaun yang menganggap dirinya Tuhan dan serta merta memerintahkan supaya Mashitah dipanggang, manakala anak-anaknya pula dicampak ke dalam minyak yang mendidih.
Bagaimanapun, Mashitah yang istiqamah, thabat dan cekal dengan hukuman itu akhirnya mentitiskan air mata apabila tiba giliran anaknya yang sedang menyusu dan dikendong untuk diperlakukan sedemikian rupa. Lalu dengan kehendak Allah, berlaku kejadian luar biasa apabila bayinya dengan fasih berkata:
“Wahai ibuku! Teruskanlah dan jangan menyerah kalah, sesungguhnya engkau di atas (jalan) kebenaran.”
Masyitah akhirnya syahid dibunuh Firaun dengan mempertahankan keimanannya dan ketauhidannya. Demikianlah keberanian seorang wanita bernama Masyitah. Istiqamah dan thabatnya atas keimanan menjadi asbab Masyitah diangkat mulia sebegitu rupa. Sabda baginda SAW:
“Dan seandainya seorang perempuan penduduk syurga muncul di tengah penduduk bumi nescaya ia akan menerangi apa yang ada diantara keduanya (cakerawala langit dan bumi) dan aroma wanginya akan memenuhi cakerawala itu” (Hadis Riwayat Bukhari)
GENGGAMLAH AGAMA UMPAMA MENGGENGAM BARA
Walaupun Firaun sudah tidak ada lagi, namun zaman yang sedang kita lalui ini sama mencabar seperti di zaman Firaun. Maka kita perlu menjadi seperti Masyitah. Kita sedang hidup dalam zaman yang tersangat banyak dan tersangat mudah berlakunya kejahatan dan kezaliman.
Satu zaman yang fitnah yang menyesatkan berleluasa. Satu zaman yang berlakunya penyelewengan dan syubhat terhadap agama. Satu zaman yang berleluasanya nafsu dan shahwat terhadap dunia. Satu zaman yang sangat menguji iman seorang hamba.
Tiada yang tinggal pada seorang muslim melainkan Islam yang hanyalah pada nama. Tiada yang tinggal pada al Quran melainkan hanya pada mashafnya. Persekitaran dan suasana yang ada di sekeliling lebih mendorong untuk melakukan maksiat dan perkara-perkara yang boleh meruntuhkan keimanan. Di kala iman manusia makin lemah, kekuasaan orang Islam terpecah-pecah. Musuh yang sentiasa bekerja keras untuk melawan Islam secara terang mahupun tersembunyi giat menyerang dari depan dan belakang semata-mata untuk menjatuhkan Islam dan umatnya.
Bagi mengharungi zaman yang mencabar ini, kita hendaklah tetap berpegang teguh dengan agama. Tetap berjalan di atas sunnah baginda SAW walau dalam kepayahan dan keperitan. Tetap berhadapan kepayahan, kesulitan dan keperitan itu dengan hati dan jiwa yang kental. Tidak takut dengan bencinya manusia. Tidak gentar dengan ancaman dunia. Tidak tertipu dengan janji-janji manis yang bersifat sementara. Maka jadilah seperti Masyitah yang menggenggam agama umpama menggenggam bara.
Sebagaimana sabda baginda SAW..
“Akan datang kepada manusia satu zaman di mana orang yang sabar daripada kalangan manusia yang berpegang dengan agamanya seperti seorang yang menggenggam bara api” (Riwayat al-Tirmizi).
Hadith ini menggambarkan akan perihal dan keadaan manusia di akhir zaman yang penuh dengan cabaran dan ujian bagi orang-orang yang ingin berpegang dengan agama.
Pada waktu itu, umat Islam perlulah menjaga agama mereka dan dalam masa yang sama perlu meninggalkan nikmat dunia yang sementara ini. Disebabkan itu, Nabi SAW mengumpamakan orang yang hidup di zaman itu seperti seorang yang memegang bara api dalam melaksanakan tuntutan agama. Tidak mungkin seseorang itu boleh memegang atau menggenggam bara api melainkan ia memerlukan kesabaran yang tinggi dan perlu menanggung kesusahannya.
Mereka yang sabar ini sanggup menggenggam bara walaupun ianya panas membakar. Mereka sanggup menggenggam bara walaupun tangan mereka terbakar hangus. Mereka sanggup menggenggam bara walau ia menyakitkan dan mencederakan. Mereka sanggup mempertahankan Islam walau diri tersiksa. Mereka sanggup mempertahankan Islam walau diri dihina.
JADILAH SEPERTI MASYITAH
Jadilah Masyitah pada zaman ini. Yang tetap hati dan jiwanya kepada kebenaran agama. Yang yakin akan janji Tuhannya. Maka, dalam mendepani cabaran akidah pada masa kini, kita perlu memasakkan dua perkara penting dalam diri.
- a) Mempunyai tasawur dan pandangan yang jelas tentang Islam.
Untuk mendapat tasawur serta pandangan yang jelas ini kita perlulah mengisi diri kita dengan ilmu-ilmu Islam yang betul dan benar-benar menepati al-Quran dan sunnah. Ilmu yang berdasarkan kepada ayat al Quran dan hadis yang diterima. Bukan yang berpaksikan pemikiran logik aka semata-matal. Kita juga perlu kenal apakah itu ajaran-ajaran yang bertentangan dengan Islam agar tidak tergelincir tatkala kita mencari ilmu. Pada saat dan ketika ini, pada pandangan saya, kita sangat perlu mengenali apakah itu ajaran Syiah serta apakah itu Liberal dan Islam Liberal. Dua arus pemikiran ini sangat berleluasa di negara kita dan sangat mengancam umat Islam di Malaysia khususnya.
- b) Mempunyai keimanan dan keyakinan yang tinggi terhadap agama.
Iman adalah hati dan jantung kepada kehidupan seorang muslim. Iman yang sejahtera akan membuatkan seorang muslim taat kepada Allah dan Rasul melebihi segala-galanya. Yakin kepada janji Allah melangkaui yakinnya kepada janji manusia. Yakin bahawa Allah akan mengurniakan syurgaNya buat yang mentaatinya dan menjanjikan azab nerakaNya buat yang mengengkari. Keyakinan ini akan mendorongnya melakukan suruhan Allah samada dalam suka ataupun tidak. Samada mendapat ganjaran dunia atau pun dicerca. Baginya reda Allah paling utama. Kebahagiaan akhirat adalah cita-cita.
Jesteru, wanita yang mempunyai tasawur jelas tentang Islam tidak akan mudah untuk mencairkan prinsip agama. Wanita yang beriman dan berkorban demi mempertahankan keimanannya akan diangkat darjatnya sebagaimana Masyitah.
Inilah pengajaran berharga yang perlu kita ambil dari kisah Masyitah. Maka, wanita mestilah melengkapkan diri dengan tasawur dan keimanan yang tinggi seperti Masyitah. Berpeganglah kepada akidah Islam dengan sekuat-kuatnya, umpama menggenggam bara api.
Ustazah Dr. Suriani Sudi
Ketua Wanita Isma
——
www.indahnyaislam.my
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)
▪️ telegram.me/indahnyaislam
▪️ instagram.com/indahnya.islam
▪️ twitter.com/IndahnyaIslam