Ibrah Nabi Ibrahim AS dan keluarga

 

Setiap tahun Aidil Adha, atau dikenali juga dengan Hari Raya Korban disambut di negara kita Malaysia, kisah Nabi Ibrahim a.s tidak akan pernah luput dari bibir para pentazkirah dan pak khatib seluruh negara, memperingati sejarah agung baginda a.s. Masakan tidak, kerana sejarah baginda Nabi Ibrahim penuh dengan pengorbanan demi pengorbanan, perjuangan demi perjuangan, ujian demi ujian dari Allah sebagai iktibar buat kita semua.

Bermula dari seawal mujahadahnya berdepan dengan cabaran menentang kekufuran ayah baginda sendiri, cabaran menentang seluruh kaumnya, dihumban ke dalam api yang menyala, oleh rajanya yang kejam, si Namrud laknatullah. Ujian diperintah membawa isteri dan anak tercinta jauh ke padang pasir yang tiada berpenghuni, bukanlah suatu ujian yang mudah bagi seorang suami dan ayah yang baru dikurniakan cahaya mata setelah sekian lama, di usia 80 an. Tidak cukup dengan itu, ujian paling hebat buat baginda Nabi Ibrahim a.s adalah bila mana diperintahkan untuk menyembelih, mengorbankan anakanda yang baru ditemui semula setelah sekian lama berpisah.

Tidak akan pernah tergambar seorang ayah sanggup mengorbankan anaknya sendiri, semata-mata kerana satu perintah, kecuali kerana kuatnya tawakkal baginda pada Tuhan yang memberi perintah tersebut. Nabi Ibrahim a.s lulus setiap ujian demi ujian, kerana kuatnya keimanan dan tawakkal baginda terhadap Allah swt. Itulah pengajaran paling besar yang mesti kita hayati setiap kali kita mengerjakan haji, bercerita tentang ibadah haji, setiap kali kita sambut aidil adha, hari raya korban saban tahun. KEIMANAN dan TAWAKKAL Nabi Ibrahim a.s.

Malah, ibadah haji itu sendiri adalah lambang dari ketaatan dan pengorbanan Nabi Ibrahim a.s bersama isteri baginda Siti Hajar dan anakanda tercinta Nabi Ismail a.s. Setiap kali ibadah haji dilaksanakan, setiap manasik haji itu sendiri, pasti ada kaitannya dengan sejarah hidup , perjuangan dan pengorbanan Khalil Allah, Nabi Ibrahim a.s serta keluarga baginda. Bermula dari tawaf keliling kaabah, yang dibina sendiri oleh baginda Nabi Ibrahim bersama anakandanya Nabi Ismail a.s dengan tulang empat kerat mereka,kemudian ibadah saie antara bukit Safa dan Marwah yang mengingatkan kita tentang perjuangan dan pengorbanan isterinya Siti Hajar, ibu kepada Nabi Ismail a.s yang sedang menangis kehausan.

Ibadah penyembelihan binatang ternakan sebagai simbol ketaatan dan pengorbanan kedua-dua ayah dan anak dalam mentaati perintah Allah swt, tanpa rasa ragu dalam jiwa masing-masing, adalah merupakan pengajaran yang cukup besar buat kita dalam mengharungi setiap ujian kehidupan di dunia ini. Perlu kepada KETAATAN dan perlu pada PENGORBANAN.

Apa lagi yang dikhuatirkan oleh Nabi Ibrahim a.s, yang perlu dan mesti kita teladani dalam kehidupan kita sebagai hamba Allah, selain dari bicara yang diatas?

Kisah Nabi Ibrahim a.s termaktub berulang kali dalam Al Quran, untuk kita kaji secara halus dan tepat, sesuai dengan sifat Al Quran itu sendiri, sebagai pedoman dan sumber hukum hakam kehidupan manusia seluruhnya. Salah satu ayat yang wajar kita beri focus kali ini, adalah pada  Surah Al Baqarah : 124, yang mafhumnya:

“Dan ingatlah, ketika Ibrahim diuji tuhannya dengan beberapa kalimah, lalu dia melaksanakannya dengan sempurna. Dan Allah berfirman, “Sesungguhnya Aku menjadikan engkau sebagai imam (pemimpin) bagi seluruh manusia” dan Ibrahim berkata “Dan juga DARIPADA zuriat (anak cucu) ku?” Allah berfirman, “Benar, tetapi janjiKu tidak berlaku bagi orang-orang yang zalim.”

Apabila Nabi Ibrahim a.s dipilih dan diangkat oleh Allah swt sebagai Imam buat manusia, perkara pertama yang dibimbangi baginda, adalah nasib zuriatnya sendiri. Anak cucu keturunannya. Adakah zuriatnya nanti juga akan diangkat dan dipilih sebagai imam yang memimpin manusia? Humum baginda adalah terhadap nasib zuriatnya akan datang.

Baginda mengharapkan satu jaminan dari Allah buat zuriat, keturunannya, untuk sama-sama memperoleh redha Allah, menuju syurga Allah swt…. Dan ini tidak lain dan tidak bukan, adalah agenda baginda Nabi Ibrahim a.s terhadap zuriat, keturunannya.  Itu agenda baginda dalam memastikan keselamatan hala tuju zuriat baginda bertemu Allah swt. Kalau baginda sendiri sudah dilantik sebagai imam, begitu jugalah harapannya terhadap zuriatnya akan dating, menjadi imam, memimpin manusia menuju keredhaan Allah.

Ini adalah contoh seorang nabi yang siap berAGENDA untuk zuriat, keturunannya akan datang, bagaimana pula dengan kita dan zuriat kita? Bukankah kita juga mesti beragenda dalam segala hal, dalam memastikan kita sampai kepada hala tuju seperti mana hala tuju Nabi Ibrahim a.s. Maka kita juga mesti punya AGENDA untuk menjadikan diri kita dan zuriat kita, agar menjadi imam buat manusia, memimpin menuju redha dan syurga Allah swt.

Maka marilah kita mencontohi Nabi Allah Ibrahim a.s, menAGENDAkan diri dan keluarga kita, agar sama-sama menjadi imam, sama-sama memimpin dan menyeru  manusia lain, kepada Allah swt. Janganlah kita termasuk dalam kalangan yang Allah maksudkan dalam ayat di atas sebagai ‘orang-orang yang zalim’, yang tidak diberi jaminan olehNya.

Renungilah Ayat 129 dari surah yang sama, mafhumnya:

“Ya Tuhan kami (Ketika itu Nabi Ibrahim berdiri bersama anakandanya Nabi Ismail,selepas selesai pembinaan kaabah),utuslah di tengah-tengah mereka (zuriatnya) seorang rasul dari kalangan mereka sendiri yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayatMu dan mengajarkan kitab dan Hikmah kepada mereka dan menyucikan mereka. Sungguh, Engkaulah yang Maha Perkasa, Maha Bijaksana.”

Maka Nabi Muhammad saw pernah bersabda,

“Aku adalah doa dari ayahku Ibrahim a.s, dan berita gembira yang disampaikan oleh saudaraku Isa a.s”

BERAGENDALAH KITA DALAM BERKELUARGA

Datin Noorzaimen Bte A Kadir
Pengerusi Biro Keluarga dan Masyarakat
Ikatan Muslimin Malaysia

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
1 comment
  1. Melalui artikel ini, kita akan kupaskan dengan lebih mendalam tentang kisah-kisah Nabi Ibrahim dan iktibar yang dapat diambil daripadanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts