KUALA LUMPUR: Imam Masjid Negara, Ustaz Khisamudin Ismail, 53, meninggal dunia di rumahnya di Kota Puteri, Batu Arang, Rawang, sekitar jam 4 pagi tadi.
Beliau yang dilahirkan pada 14 Ogos 1968, meninggal dunia pada hari ulang tahun kelahirannya ke-53 hari ini.
Imam Besar Masjid Negara, Ustaz Ehsan Mohd Hosni, berkata pegawai kanannya itu sebelum ini menghadapi masalah kesihatan berkaitan jantung.
“Sebelum ini beliau menghadapi masalah kesihatan iaitu injap jantungnya sempit dan mula mendapatkan rawatan sejak tahun 2018.
“Khisamudin juga mendapatkan rawatan di Hospital UiTM Sungai Buloh sejak seminggu lalu sebelum meminta untuk pulang ke rumahnya di Kota Puteri semalam, sebelum meninggal dunia awal pagi tadi,” katanya ketika dihubungi BH sebentar tadi.
Ehsan berkata, beliau sempat menghubungi Khisamudin tiga hari lalu ketika sedang mendapatkan rawatan dan memaklumkan keadaannya sedikit kritikal dan masih ditempatkan di wad hospital berkenaan.
“Khisamudin adalah seorang imam yang dedikasi, dan kehilangannya sangat dirasai oleh kami.
“Dia juga meninggal pada hari ulang tahun kelahirannya iaitu 14 Ogos 1968,” katanya.
Khisamudin meninggalkan seorang isteri dan tiga anak.-Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam