SHAH ALAM – Seakan-akan tahu ajalnya semakin menghampiri, seorang imam telah memuat naik status memberi pesanan terakhir tentang kematian di media sosial sebelum maut dalam kemalangan jalan raya, Khamis lalu.
Menerusi status di Facebook pada 17 Disember tahun lalu, Allahyarham Mohd Allamah Mohd Ali, 32, menulis, “Hari ini kita hidup di atas tanah. Mungkin esok kita akan mati dan dikuburkan di bawah tanah.”
Allahyarham turut memuat naik status di Instagramnya pada 27 Disember lalu dengan menulis, “Buatlah status yang baik saja, siapa tahu itu status terakhirmu kerana sepeninggalanmu, biasanya status terakhirmu menjadi perbincangan.”
Dilaporkan, Mohd Allamah maut dipercayai selepas motosikal ditunggangnya terlanggar tiang lampu di Nilai, Negeri Sembilan kira-kira jam 4.30 pagi, Khamis lalu ketika dalam perjalanan pulang dari Johor ke rumahnya di Shah Alam.
Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga cahaya mata.
Mohd Allamah yang merupakan imam Surau Al-Hijrah di Kota Kemuning di sini juga adalah sahabat pendakwah bebas dan Pencetus Ummah (PU) Amin atau nama penuhnya, Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim ketika belajar di Universiti Al-Azhar, Mesir.
PU Amin turut berkongsi kisah bersama Mohd Allamah di laman Instagram miliknya yang memberitahu mempunyai hubungan yang akrab seperti adik-beradik dan Allahyarham merupakan seorang yang mempunyai ilmu al-Quran yang tinggi.
“Selamat berehat duhai sahabat. ALLAH janjikan rehat dalam kubur dan akhirat bagi penghafal al-Quran. Instagram story dia ada nasihat untuk selalu post benda yang baik di media sosial kerana bila meninggal nanti status-status akhir itu akan dibincangkan.
“Betul kata kau Allamah, kini semua status dia di Facebook dan Instagram dilihat dan diangkat semula. Semua status kau ajak orang ingat mati. Muhasabah buat kita semua. Pelihara media sosial kita.
“Bila kita meninggal dunia nanti media sosial ini juga sebagai saksi atas hidup kita di dunia. Jumpa nanti Allamah, Al-Fatihah,” tulis PU Amin di Instagramnya.
Sementara itu, Naib Presiden Ikatan Muslim Malaysia (Isma), Profesor Dr Zainur Rashid Zainuddin melalui hantarannya di Facebook menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang hebat dan sentiasa memperingatkan dirinya dan orang ramai mengenai persiapan sebelum pergi menghadap Ilahi.
“Bagai terhidu dan diilhamkan kembaliannya untuk pergi bertemu Ilahi, Allahyarham seorang yang gigih memperingatkan diri dan teman agar membuat persiapan untuk ke destinasi yang hakiki.
“Mohd Allamah adalah seorang anak muda yang hebat yang dilahirkan daripada keluarga yang hebat serta dikelilingi persekitaran yang hebat,” tulisnya. -Sinar Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)