Impian muslim Malaysia daulatkan Islam: Timbalan Mufti

 

SETIAP manusia mempunyai impian masing-masing. Ia berbeza-beza di antara satu sama lain. Pesakit sentiasa mengimpikan kesembuhan, seorang yang miskin mengimpikan kekayaan, seorang pelajar mengimpikan kejayaan di dalam pelajaran dan mampu meraih segulung ijazah serta berkerjaya dengan kerja yang baik.

Dengan mengimpikan sesuatu, jiwa boleh terhibur, menambahkan kesungguhan, gerak kerja lebih berfokus, menggandakan usaha untuk mencapai cita-cita dan meningkatkan motivasi kerja.

Bagi orang-orang yang berjiwa besar, impiannya juga adalah hebat. Saidina Umar r.a pernah menggunakan kesempatan berkumpul dengan para sahabat r.a untuk bertukar-tukar impian. Salah seorang daripada mereka melahirkan impian agar tempat mereka berkumpul itu dipenuhi dengan emas agar semuanya dapat dibelanjakan di jalan Allah SWT.

Seorang lagi mempunyai impian agar tempat mereka berkumpul itu dipenuhi dengan permata berlian agar dapat dibelanjakan di jalan Allah tetapi Saidina Umar mempunyai impian agar bilik tempat mereka berkumpul itu dipenuhi tokoh hebat seperti Abu Ubaidah al Jarrah, Mu’az bin Jabal dan Salim Mawla Abi Huzaifah yang baginda r.a boleh mengguna khibmat mereka meraih ketaatan Allah.

 

 

KetigA-tiga tokoh ini merupakan tokoh gemilang yang berjuang menegakkan sistem Allah. Abu Ubaidah adalah pemegang amanah dan ketua perang umat ini menentang kuasa Rum di Syam. Mu’az adalah seorang qadhi yang adil di Yaman manakala Salim adalah salah seorang yang menghafal dan mahir dalam pembacaan al Quran. Mereka adalah tokoh-tokoh hebat yang membina impian mereka dengan aqal dan iman mereka bukan membina impian mereka dengan dorongan nafsu syahwat mereka.

Bagi seorang muslim yang taat kepada Allah , sudah tentu mengimpikan syurga tempat tinggal terakhirnya. Namun sebelum berjaya memasuki syurga ia perlu menempuh kehidupan di dunia ini terlebih dahulu. Tiket masuk syurga tidak cukup dengan impian setiap individu secara berasingan , tetapi setiap individu mesti mempunyai impian yang satu terlebih dahulu, iaitu bumi ini mesti diurus tadbir mengikut ketetapan hukum hakam Allah SWT, kerana ia adalah terjemahan kepada pematuhan kita kepada arahan Allah untuk mendaulatkan agamaNya di atas muka bumi ini.

Sistem tadbir urus yang patuh syariah akan lebih memudahkan perjalanan kita menuju syurga kerana kepatuhan kita secara individu disokong oleh sistem urus tadbir yang sudah sedia patuh kepada arahan Allah. Patuh kepada Allah bukan sahaja arahan kepada setiap individu muslim bahkan ia juga merangkumi arahan kepada umat Islam.

Al Qadhi Ibnu Syidad menceritakan betapa impian Solahuddin al Ayyubi terhadap pembebasan al Aqsa tidak dapat dikawal-kawal lagi. Baginda sentiasa menyalakan ruh jihad kepada umat Islam bahkan impian besarnya ialah membebaskan seluruh alam ini dari penguasaan syirik dan kufur. Ungkapannya “ Apabila Allah memberikan kemudahan kepada ku untuk sampai ke semua ceruk alam ini, nescaya aku akan ke sana sehingga tidak tersisa lagi di atas permukaan bumi ini mereka yang kufur kepada Allah ataupun aku mati di dalam perjuangan ini.

Umat Islam di Malaysia mesti mempunyai impian besar yang satu. Di samping mempunyai impian masing-masing yang lebih bersifat peribadi , kita umat Islam di Malaysia mesti mengimpikan bahawa tanah air yang kita sayangi ini agar dapat meneruskan amanahnya berkurun-kurun sebelum ini iaitu sebagai watan yang menyediakan kepada Islam satu tapak untuk Islam memerintah dengan segala sistem yang ada.

Parti-parti politik umat Islam, badan-badan dakwah dan persatuan-persatuan Islam mesti mempunyai impian yang satu iaitu mendaulatkan Islam di tanah air tercinta dan jangan terkeliru dengan agenda-agenda yang lebih bersifat tersendiri.

Watan muslim dalam ertikata menghayati dan menterjemahkan makna kedaulatan Islam sebagai agama persekutuan negara ini. Setiap daripada kita mesti rasa cemburu terhadap apa jua halangan ke arah merealisasikan impian bersama ini. Mendaulatkan Islam jangan hanya dilihat ia kerja dunia sahaja tetapi ia juga berkait rapat dengan kesudahan kita nanti di akhirat.

Impian ini perlu dibuktikan dengan keazaman yang benar dan kesungguhan yang kuat. Firman Allah SWT: Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang ia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya. (QS al Isra’ :19)

Sahibus Samahah Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts