BEBERAPA minggu lalu Arthur Wagner, seorang ahli politik Jerman menjadi perhatian umum kerana mengisytiharkan memeluk Islam. Beliau dikatakan tidak bersetuju dengan tindakan gereja mengiktiraf perkahwinan sejenis. Parti nasionalis yang diwakilinya memenangi kerusi Parlimen Jerman diakui anti-Islam malahan menggunakan slogan ‘Islam tiada tempat di Jerman’ dalam kempen pilihan raya.
Beliau dilaporkan memeluk Islam pada Oktober tahun lalu, namun merahsiakannya. Beliau mula terfikir memeluk Islam ketika mengunjungi bandar Ufa, Rusia pada 2015 yang majoriti penduduknya masyarakat Islam Tatar. Beliau dilaporkan melepaskan semua jawatan dalam parti selepas memeluk Islam.
Hidayah kurniaan Allah SWT. Allah melapangkan hati beliau menerima Islam. Dengan hidayah kehidupan berubah kepada iman dan ketaatan. Firman Allah bermaksud :
“Sesiapa yang Allah kehendaki untuk diberi hidayah kepadanya, nescaya Allah melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam. Sesiapa yang dikehendaki (oleh Allah) kesesatan, nescaya Allah menjadikan dadanya sesak dan sempit seolah-olah sedang mendaki ke langit,” (Surah al-Anam: 125).
Menurut Yusuf al-Hajj Ahmad dalam Ensiklopedia Kemukjizatan Sains dalam al-Quran dan Sunah, pada 1648 ilmuwan terkenal, Blitz Pascal membuktikan tekanan udara semakin berkurangan jika sesuatu semakin naik di atas permukaan laut, kepadatan udara berkurangan dengan drastik setiap kali naik pada ketinggian yang sangat tinggi, kepadatan udara mencapai titik sangat rendah. Keadaan semakin parah jika ketinggian semakin bertambah. Inilah perumpamaan kesempitan golongan yang tidak mendapat hidayah dan sebaliknya.
Sunah merakamkan Rasulullah SAW memberikan bendera perang kepada Sayidina Ali bin Abi Talib k.w. dalam Perang Khaibar, Baginda bersabda:
“Demi Allah, apabila Allah memberikan hidayah kepada seorang lelaki dengan perantaraan usahamu, maka hal itu lebih baik daripada engkau memiliki unta-unta merah,”- Riwayat Muttafaq ‘Alaih.
CERITA HIDAYAH
- Unta merah diumpamakan sebagai harta paling berharga. Hidayah sesuatu yang amat berharga, malah lebih bernilai daripada isi dunia. Dalam setiap rakaat solat, diwajibkan berdoa bermaksud:
“Tunjukkan kami jalan yang lurus,” (Surah al-Fatihah: 6).
- Sirah merakamkan perjuangan Nabi Nuh a.s. menegakkan tauhid umatnya. Umur yang panjang tidak menjadikan umat Baginda mendapat hidayah seperti yang dirakamkan dalam Surah Hud, ayat 42-46.
- Nabi Ibrahim a.s. berada dalam masyarakat yang menyekutukan Allah, Baginda termasuk mereka yang mendapat petunjuk. Allah SWT memberikan hidayah kepada mereka yang dikehendaki-Nya, padahal tiada seorang pun yang mengajar dan menerangkan kebenaran kepada Baginda seperti dirakamkan dalam Surah al-An’am, ayat 75-79.
- Rasulullah SAW pernah berdoa memohon petunjuk, kebaikan dalam urusan dunia serta pengampunan, antaranya :
- Ufayl bin Amru dari Kabilah Bani Daus memohon Baginda SAW mendoakan keburukan untuk kabilah mereka yang melampaui batas menentang Islam. Baginda tidak menunaikan permintaan tersebut sebaliknya memohon petunjuk Allah dengan lafaz doa bermaksud: “Ya Allah, berikanlah hidayah kepada Kabilah Daus dan datangkanlah mereka (kepadaku),” – Riwayat Bukhari.
- Mendoakan hidayah individu berpotensi besar dengan ketokohan mereka untuk mengukuhkan Islam. Baginda SAW memohon Islam diperkuat dengan pengislaman seorang daripada tokoh Mekah iaitu Abu Jahal dan Umar al-Khattab dengan lafaz doa bermaksud:
“Ya Allah, muliakanlah Islam melalui seorang daripada dua Umar (Umar bin Hisyam dan Umar al-Khattab) yang Engkau cintai,” – Riwayat Tirmizi.
- Memohon keampunan individu bukan Muslim berdasarkan tindakan Rasulullah SAW yang memohon penangguhan azab dan keampunan kepada kaum Musyrikin atas kekerasan mereka sewaktu Perang Uhud sehingga mencederakan Baginda walaupun Baginda menyedari kemurkaan Allah di atas insiden tersebut tetapi mendoakan keselamatan buat golongan tersebut dengan lafaz bermaksud:
“Ya Allah, ampunilah kaumku kerana mereka sesungguhnya tidak mengetahui,” – Riwayat Tabrani.
- Mendoakan golongan bukan Islam dalam urusan kebaikan kehidupan. Diriwayatkan kaum Yahudi Madinah pernah memperdaya Rasulullah SAW iaitu berpura-pura bersin di hadapan Baginda dengan harapan didoakan beroleh rahmat Allah SWT. Rasulullah menyedari hakikat ini, lalu mendoakan penurunan hidayah dan kebaikan kehidupan mereka dalam urusan sebagaimana hadis yang bermaksud:
“Semoga Allah memberi hidayah kepada kalian dan memperbaiki keadaan kalian,” – Riwayat Tirmizi.
- Diriwayatkan bahawa Abu Said al-Khudri r.a. membacakan doa kesembuhan (ruqyah) kepada pemimpin bukan Muslim yang disengat kala jengking. Beliau dihadiahkan 30 ekor kambing setelah menyembuhkan pemimpin tersebut. Rasulullah SAW membenarkan tindakan beliau menerusi kenyataan mengiktiraf Surah al-Fatihah sebagai ayat penyembuh dan keizinan menerima ganjaran tersebut berdasarkan sabda bermaksud:
“Daripada mana kau tahu bahawa (al-Fatihah) itu ruqyah? Terimalah kambingnya dan berilah aku bahagian daripadanya,” – Riwayat Tirmizi.
Dalam sesetengah keadaan, Rasulullah SAW ada mendoakan keburukan kepada pihak yang melakukan kejahatan dan permusuhan yang nyata dengan umat Islam. Namun dalam situasi yang aman, Baginda mendoakan mereka untuk mendekati Islam.
SITUASI MALAYSIA
Dalam konteks Malaysia, Perkara 11 Perlembagaan Malaysia menyatakan setiap orang mempunyai hak untuk mengamalkan agama mereka, namun negeri-negeri boleh menggubal undang-undang mengawal atau menyekat penyebaran apa-apa agama dalam kalangan orang Islam.
Faktor pemelukan agama Islam dialami secara berbeza oleh individu terlibat. Individu yang memeluk Islam kerana kesedaran dan hidayah mendepani pelbagai cabaran kehidupan dengan hati terbuka serta reda dengan apa yang berlaku meskipun pahit. Kebanyakan mereka turut dibantu dengan perkhidmatan kaunseling dan bantuan kewangan agensi berkaitan.
Namun sesetengah mualaf yang memeluk Islam kerana faktor perkahwinan, bantuan dan seumpamanya, ada dalam kalangan mereka menghadapi cabaran getir dalam kehidupan. Mereka memerlukan perhatian masyarakat, agensi kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan membantu menghadapi realiti kehidupan.
Petunjuk dan hidayah membentuk warganegara yang baik. Kebaikan dicapai melalui kemantapan akidah, peningkatan ilmu dan kerohanian, sifat terpuji dan ikatan persaudaraan.
Kita berdoa agar Allah SWT tidak membolak-balikkan hati kita setelah diberikan hidayah dan petunjuk-Nya.
Semoga Arthur Wagner menjadi insan yang istiqamah. – Utusan
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)