Indonesia negara perjuangan

 

ANTARA negara yang saya suka lawati adalah Indonesia. Mungkin sebab budaya dan sejarahnya dekat di hati saya atas banyak faktor.

2. Acheh, Medan dan terus ke Riau laut sudah saya lawati. Jakarta dan terus hingga ke Jawa Tengah dan Timur di Semarang, Magetan, Surabaya juga sudah saya jejaki. Kalimantan Tengah dari Samarinda hingga ke Kalimantan Timur di Bontang juga sudah sampai. Begitu juga Sulawesi dari Makassar naik ke utara di Palu juga sudah saya jelajahi. Warganya lemah lembut dan peramah. Makanannya unik dan bervariasi. Pemandangannya cantik dan semula jadi.

3. Dari satu sudut Indonesia hari ini tidak sama dengan Indonesia 10 tahun lepas. Lebih maju dari segi pembangunan, boleh dilihat dengan jelas pada mata kasar sesiapa yang biasa berkunjung ke sana. Bahkan ada yang menjangkakan Indonesia akan meninggalkan Malaysia dalam beberapa puluh tahun akan datang.

4. Ada perkembangan yang saya rasa menarik dalam beberapa minggu ini. Saya lontarkan sebagai bahan fikir-fikir dan renung bukan sebagai kesimpulan kerana masih terlalu awal untuk disimpulkan.

5. Indonesia selepas Pilpres (Piliharaya Presiden) pada April 2019, menyaksikan kemenangan Jokowi sebagai Presiden dengan menguasai 75 peratus DPR bersama parti-parti gabungannya. Pembangkang ketika itu hanya empat parti sahaja iaitu, Gerindra (Prabowo), Pks (Sohibul Iman), Demokrat (Agus Harimurti – anak Susilo Bambang Yudhoyuno) dan Pan (Zulkifli Hasan – besan Amin Rais).

6. Ketika Jokowi naik semula sebagai Presiden Indonesia April 2019 itu, kehangatan semangat 212 hasil dari demo dan bantahan besar terhadap isu Ahok pada 2 Disember 2016 masih panas dan masih dirasai. Bahkan sebahagian penganalisa mengatakan kalaulah pilihanraya itu bersih, mungkin Jokowi akan jatuh dan Prabowo yang didukung oleh Pks dan ramai Islamis lain akan naik.

7. Masa berlalu dengan pantas dan banyak peristiwa berlaku dalam tempoh itu:

a. Bermula dari halangan terhadap Habib Rizq, penggerak utama gelombang 212 yang dihalang dari pulang ke Indonesia setelah menunaikan umrah pada Julai 2017;

b. Kemenangan Jokowi dalam pilihanraya yang digelar sebagai pilihanraya berdarah pada April 2019;

c. Anis Matta (mantan Presiden Pks) keluar dari Pks membawa sebahagian ahli Pks lalu menubuhkan parti Gelora pada Mei 2019 dan melihatkan kecenderungan kepada Jokowi;

d. Prabowo yang menentang Jokowi dalam pilihanraya Presiden diberikan jawatan Menteri Pertahanan lalu membawa parti Gerindra masuk ke gabungan parti pemerintah bersama Jokowi pada Oktober 2019.;

e. Parti Pan menunjukkan kecenderungan menyokong pemerintah pada Julai 2020;

f. Sebahagian aktivis di Dewan Dakwah Indonesia mengisytiharkan untuk menghidupkan semula Parti Masyumi pada bulan ini;

g. Kepulangan Habib Rizq semula ke Indonesia pada 11 Nov 2020.

8. Dengan apa yang berlaku, hanya tinggal dua parti sahaja yang ‘solid’ menjadi pembangkang menentang Jokowi iaitu Pks dan Demokrat. Demokrat adalah parti mantan Presiden Indonesia iaitu Susilo Bambang Yudhoyuno dan pernah menjadi parti pemerintah. Pks adalah sebuah parti Islam yang membawa pendekatan dan perubahan Islam di dalam gerak kerja mereka.

9. Ada lagi kumpulan-kumpulan Islam yang kuat di Indonesia tetapi tidak muncul sebagai parti seperti Muhammadiah, Nahdhatul Ulamak, gabungan Gontor, Hidayatullah dan seumpamanya. Tetapi dua yang lain yang lebih besar capaiannya adalah Dewan Dakwah Indonesia dan PA 212 (Persaudaraan Alumni 212) yang merupakan jelmaan pengaruh FPI (Front Pembela Islam).

10. Perkembangan berlaku kepada dua kumpulan ini dalam beberapa minggu ini.

a. Dewan Dakwah Indonesia bertukar kepimpinan dari Dr Muhammad Sidiq kepada Dr Adian Husaini, seorang pakar rujukan utama di dalam isu Islam liberal. Selang tidak lama selepas itu, sebahagian aktivis Dewan Dakwah mengumumkan akan menghidupkan semula Parti Masyumi, sebuah parti Islam yang dibangunkan oleh Pak Nasir satu ketika dahulu. Dewan Dakwah adalah gerakerja parti Masyumi (Majelis Syura Muslimin Indonesia) setelah parti itu diharamkan pada 1960. Dewan Dakwah Indonesia dibangunkan pada 1967 juga oleh Pak Nasir. Dari segi sejarah, pengaruhnya sangat besar.

b. Kepulangan Habib Rizq, Ketua Umum FPI ke Indonesia. Auranya boleh dirasai jika kita menonton video sambutan rakyat Indonesia di lapangan terbang terhadap kepulangannya. PA 212 sudah tentunya amat menantikan kepulangan tokoh dan pimpinan agong mereka ini.

11. Dua perkembangan ini diharapkan akan memberi kesan positif kepada golongan Islamis. Moga Pks yang kini bersendirian bersama Demokrat akan mendapat sokongan dan rakan baru dari perkembangan yang berlaku di Dewan Dakwah dan FPI. Jokowi sudah tentunya juga akan ‘memancing’ dan harapnya pancingannya itu dapat dipintas. -Ismaweb

Wallahu a’lam.

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts