IPOH: Industri perfileman di negara ini dianggap menjadi alat menormalisasikan perkara mungkar dan dosa untuk diketengahkan kepada masyarakat.
Ketua PAS Teluk Intan Nurhafizul Badrul Hisham berkata, perancangan halus tersusun kumpulan tertentu pada hakikatnya untuk normalisasi perkara dosa melalui filem-filem di mana sebelum ini dilihat sudah berjaya.
Katanya, beberapa tahun ke belakang ini usaha normalisasi perkara mungkar semakin ekstrem.
“Mereka cuba normalisasikan adegan lucah, dialog seksis atau perkara yang menghina Islam secara langsung mahu pun tidak langsung baik melalui plot cerita, dialog atau poster.
“Normalisasi perkara mungkar yang lebih ekstrem masih tidak berjaya namun awas jika suara menentang makin perlahan tidak mustahil ia juga bakal menjadi perkara normal kepada generasi akan datang,” katanya pada kenyataan di sini.
Semalam media melaporkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) mengarahkan Golden Screen Cinemas (GSC) pengedar filem seram terbitan syarikat produksi Indonesia, Sijjin menarik balik dan membuat penukaran poster.
Poster rasmi yang dikeluarkan sebelum ini dilihat menyentuh sensitiviti umat Islam apabila memaparkan kalimah ‘Allah’ dalam bahasa Arab pada kain hitam yang membaluti seorang wanita dipercayai dirasuk.
Nurhafizul juga berkata, situasi itu belum dikira lagi fikrah songsang yang dibawa selebriti yang agak terkenal.
Kata beliau pemikiran halus itu meresap dalam masyarakat yang lemah pegangan agamanya. – Harakahdaily
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM