HASAN al-Banna menyebut dalam menakrifkan Islam:
إسلام نظام شامل، يتناول
مظاهرالحياة جميعا. فهو:
دولة ووطن أو حكومة وأمة،
وهو خلق وقوة أو رحمة وعدالة،
وهو ثقافة وقانون أو علم وقضاء،
وهو مادة وثروة أو كسب وغنى،
وهو جهاد ودعوة أو جيشوفكرة،
كما هو عقيدة صادقة وعبادة صحيحة، سواء بسواء.
Terjemahan:
Islam adalah sistem yang syumul merangkumi semua lapangan kehidupan; ia adalah daulah dan watan, pemerintah dan ummah, akhlak dan kekuatan atau rahmah dan keadilan, sosial dan perundangan atau ilmu dan kehakiman, kebendaan dan aset atau usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah atau askar dan fikrah sebagaimana ia akidah yang benar dan ibadah yang sahih semuanya sama kedudukan kepentinganya.
Huraian ini menunjukkan Islam adalah sistem yang bersifat mutlak dan bersepadu.
Islam bukan bersifat tempelan atau menjadi satu juzuk daripada sistem yang lain. Kita tidak boleh hanya mengambil satu perkataan sahaja untuk menggambarkan sistem Islam yang menyeluruh.
Sebagai contoh kalau kita ambil perkataan ‘rahmah’ kemudian kita tampal pada sistem ‘sosialis liberal demokratik’ ia tidak menjadikan sistem itu Islam. Bahkan ‘rahmah’ itu juga tidak boleh mewakili Islam.
Sebagaimana Islam sifatnya mutlak, begitu juga sosialis liberal demokratik sifatnya mutlak. Kedua-duanya tidak boleh dicantum. Bahkan kedua-duanya bercanggah antara satu dengan yang lain.
Apabila Islam ‘rahmah’ ditampal kepada sistem sosialis liberal demokratik ia bukan Islam yang asal lagi, kerana sifatnya mutlak tidak boleh menjadi penyempurna atau menumpang kepada sistem yang lain.
Oleh itu, slogan politik Islam yang berkonsepkan ‘rahmatan lil alamin’ bukan sebenarnya daripada ajaran Islam, tetapi merupakan satu helah untuk mempersembahkan sosialis liberal demokratik dengan wajah Islam.
Orang yang memperjuangkan gagasan Islam ‘rahmatan lil alamin’ dalam kerangka sosialis liberal demokratik sebenarnya telah menghancurkan Islam yang sebenar.
Di samping ‘fundamental’ kepada Islam rahmah ini liberal dan sekular, ia juga akan menasakhkan semua ajaran al-Quran dan al-hadis yang bercanggah dengan konsep rahmah yang sebenarnya adalah liberalisme itu sendiri.
Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)