Sejarah kemasukan Islam ke Korea boleh dijejak seawal kurun ke-9 dengan kemasukan pelayar serta pedagang Parsi dan Arab ke negara itu yang di bawah kuasa kerajaan Silla Bersatu, namun amalan Islam tidak bertahan.
Islam diperkenalkan semula di Korea Selatan oleh tentera Turki yang bertugas sebagai pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ketika Perang Korea 1950 hingga 1953. Orang Islam kemudian menubuhkan Persatuan Muslim Korea pada tahun 1955 yang menyaksikan penubuhan masjid yang pertama.
Ada lebih 135,000 orang Islam di Korea Selatan, 35,000 daripadanya rakyat tempatan dan selebihnya pendatang dari luar negara. Jumlah itu berkembang pesat mutakhir ini akibat kemasukan pekerja asing yang beragama Islam terutamanya dari Indonesia, Bangladesh, Uzbezkistan dan Kazakhstan.
Pada tahun 1962, kerajaan Malaysia bersama Arab Saudi dan negara Arab lain menyediakan bantuan sebanyak USD33,000 (RM145,216) untuk membina sebuah masjid di Seoul, ibu negara Korea Selatan. Masjid Pusat Seoul di Itaewon siap dan dibuka pada tahun 1976. Jumlah penganut Islam di Korea makin bertambah sehingga Persatuan Muslim Korea menjadi Kesatuan Muslim Korea pada tahun 1967.
Salah faham terhadap Islam
Kehidupan muslim di Korea amat mencabar atas banyak sebab dan paling utama ialah wujudnya salah faham terhadap Islam ekoran liputan negatif dalam media. Orang Islam dilabel sebagai pengganas dan mereka digeruni.
Lagipun, bagi rakyat Korea yang bersifat satu bangsa tunggal, ia mempunyai adat dan tradisi Konfunisma, sebelum kepercayaan agama Buddha dan Kristian menjadi antara anutan utama di sana.
Hari ini, kemasukan pekerja asing yang menetap dan berkahwin dengan rakyat tempatan, kepelbagaian etnik adalah suatu fenomena baharu di Korea Selatan. Bagaimanapun, aspek asimilasi budaya tetap menjadi cabaran.
Jika dulu, untuk mendapatkan makanan halal mungkin agak sukar tetapi kini terdapat banyak restoran halal di sekitar kawasan masjid di bandar utama Korea Selatan seperti Seoul, Busan, Daegu, Daejon, Kwangju, Jeonju dan Ansan.
Begitu juga dengan aktiviti dakwah yang semakin diterima sekarang apabila fenomena kepelbagaian sudah mula diterima di negara ekonomi keempat terbesar di Asia itu. Namun, cabaran menanti umat Islam di Korea Selatan tetap ada.
Masjid bawa perubahan
Salam Nuri, sebuah persatuan yang bernaung di bawah Kesatuan Muslim Korea, saban tahun menganjurkan program dakwah di Masjid Pusat Seoul yang mengumpulkan golongan muda muslim dan bukan muslim untuk saling memahami antara satu sama lain.
Masjid Pusat Seoul terletak di atas bukit di daerah Itaewon. Asalnya, kawasan itu dipenuhi dengan kelab malam dan disko. Kerajaan Korea Selatan berbesar hati memberikan sebidang tanah untuk pembinaan masjid di atas bukit itu.
Kuasa Allah SWT, pembinaan masjid yang tersergam indah di atas bukit itu lama-kelamaan mengubah wajah kawasan sekelilingnya. Jika dulu dipenuhi pub dan kelab malam, kini dibarisi kedai menyediakan makanan halal dari pelbagai negara termasuk Turki, Pakistan dan India.
Hampir setiap hari, Masjid Pusat Seoul dikunjungi pelawat daripada kalangan rakyat tempatan bukan Islam. Mereka berminat untuk mengetahui apa yang ada di masjid dan mendalami ajaran Islam yang sering dilabel sebagai ‘pengganas’ itu.
Lawatan mereka lazimnya akan disambut kakitangan masjid, diberikan penerangan dan taklimat selain berpeluang menonton video dokumentari mengenai Islam.
Islam terus berkembang
Alhamdulillah, secara purata setiap bulan ada sahaja warga Korea Selatan memeluk agama Islam di Masjid Pusat Seoul. Ia adalah satu petanda sangat baik bagi umat Islam yang menjadi masyarakat minoriti di negara itu.
Mohd Syukri Hajinoor
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan
Universiti Kebangsaan Malaysia
Sumber: Berita Harian 28 April 2017, halaman b2
www.indahnyaislam.my