Islam tidak seru kepada pluralisme agama: Mufti Wilayah

 

SESETENGAH pihak mengatakan, dalam konteks masyarakat majmuk kita perlu menerima pluraliti atau kepelbagaian agama yang ada. Penerimaan tersebut pula tidak sempurna kecuali dengan mengakui kesamarataan dan kesaksamaan semua agama. Ini bagi menjamin sikap toleransi yang benar-benar ikhlas dalam kalangan penganut antara agama. Ia juga bertepatan dengan konsep Rahmatan Lil-‘Alamin yang dianjurkan oleh Islam. Adakah kenyataan ini bertepatan dengan ajaran Islam?

Pencerahan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Sememangnya tidak boleh dinafikan bahawa Islam merupakan agama yang bersifat universal (‘alamiyyah). Ia diturunkan oleh Allah SWT kepada seluruh umat manusia tanpa membeza-bezakan antara lelaki dan wanita, antara yang berkulit putih dan gelap, antara bangsa Arab dan bukan Arab dan seterusnya. Islam tidak pernah sekali-kali mengajak kepada ‘asabiyyah dan perkauman bahkan Islam mengizinkan bukan Islam untuk bersama-sama tinggal di dalam tanahair yang sama dengan penuh aman dan bahagia.

Al-Qur’an al-Karim dengan jelas menyatakan secara berulang kali bahawa Islam merupakan agama yang bersifat ‘universal’ sehingga mengulang sebanyak lebih 70 kali kalimah al-‘alamin yang membawa maksud alam sejagat atau sekalian alam. Menurut Qatadah sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Qurtubi dalam tafsirnya kalimah al-‘alamin merupakan perkataan jamak bagi alam yang bermaksud semua yang wujud melainkan Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 1/138)

Antara sumber wahyu yang merakamkan kenyataan ini adalah firman Allah SWT di dalam surah al-Anbiya’ ayat 107 yang bermaksud:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Dan tidaklah kami mengutuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam”.

Menurut Ibnu Kathir dalam tafsirnya, di dalam ayat ini Allah SWT mengkhabarkan bahawa Dia menjadikan Muhammad sebagai rahmat bagi mereka (umat) semua, barangsiapa yang menerima rahmat ini lalu beriman dan membenarkannya maka dia beroleh rahmat dan sesiapa yang melakukan sebaliknya maka dia akan kerugian di dunia dan akhirat. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 5/338)

Ini jelas menunjukkan bahawa pengertian Rasulullah SAW sebagai pembawa rahmat sekalian alam bukan membawa maksud menyeru kepada pluralisme agama. Sebaliknya ia suatu penegasan daripada Allah SWT, bahawa Baginda membawa rahmat Islam yang boleh menjamin kebahagian dan keamanan manusia dan alam jagat. Maka merugilah kepada manusia yang tidak menerima dan menjadikannya sebagai pegangan hidup sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Kathir di atas.

Pluralisme agama pula adalah satu istilah yang merujuk kepada fahaman yang menyamakan semua agama dalam erti kebenaran ada dalam semua agama, dan keselamatan (syurga) boleh dicapai menerusi mana-mana agama.

Sebahagian umat Islam masih terkeliru dengan perbezaan antara pluraliti agama dan pluralisme agama. Pluraliti agama adalah fakta kewujudan kepelbagaian dan perbezaan agama-agama di dunia. Sebagai fakta, pluraliti merupakan ketentuan Tuhan atau Sunnatullah, oleh kerana itu ia adalah sesuatu yang tidak mungkin dinafikan. Manakala pluralisme agama adalah pandangan, fikiran, sikap dan pendirian seseorang terhadap realiti kepelbagaian dan fakta perbezaan tersebut.

Secara khususnya pluralisme agama adalah pandangan, fikiran, keyakinan bahawa agama-agama yang pelbagai dan berbeza-beza itu mempunyai kesamaan dari segi ontologi, soteriologi dan epistemologi. Seperti dikemukakan Peter Byrne, professor di King’s College London UK, pluralisme agama merupakan persenyawaan tiga tesis. Pertama, semua tradisi agama-agama besar dunia adalah sama, semuanya merujuk dan mengisyarat kepada suatu realiti tunggal yang transcendent dan suci. Kedua, semuanya sama-sama menawarkan jalan keselamatan. Dan ketiga, semuanya tidak ada yang final. Ertinya, setiap agama mesti senantiasa terbuka untuk dikritik dan diteliti kembali.

Antara tokoh-tokoh yang mengembangkan fahaman pluralisme agama adalah seperti Raimundo Panikkar (seorang paderi Katolik kelahiran Sepanyol), Wilfred Cantwell Smith (pengasas dan mantan pengarah Institute of Islamic Studies di McGill University Canada), Fritjhof Schuon (bekas penganut Kristian yang pergi mengembara dan keluar masuk pelbagai macam agama) dan John Hick (profesor teologi di Claremont Graduate School California USA). (Lihat Prolegomena to Religious Pluralism, 191)

Pluralisme agama juga bukan bermakna toleransi agama. Islam sememangnya agama yang toleran dan mengajarkan toleransi kepada umatnya sejak dari awal. Malah, Islam sama sekali tiada masalah dengan toleransi agama. Apa yang menjadi masalah adalah apabila ajaran toleransi Islam cuba dikaitkan dengan pluralisme agama, lalu disimpulkan bahawa Islam adalah agama yang mengajarkan persamaan semua agama. Sedangkan tokoh-tokoh pluralis sendiri menafikan toleransi agama itu sebagai pluralisme agama. Ini sebagaimana yang dinyatakan Diana L. Eck:

“Pluralism is not just tolerance, but the active seeking of understanding across lines of difference. Tolerance is a necessary public virtue, but it does not require Christians and Muslims, Hindus, Jews, and ardent secularists to know anything about one another. Tolerance is too thin a foundation for a world of religious difference and proximity.”[1]

Oleh itu, anggapan bahawa pluralisme agama adalah sama dengan toleransi agama merupakan anggapan yang subjektif, sangat semberono dan kurang cermat berpunca daripada kegagalan seseorang untuk memahami hakikat doktrin pluralisme agama. Malah, tanggapan ini ditolak mentah-mentah pendukung pluralisme agama sendiri sebagaimana dinyatakan di atas.

Justeru, bagi membenteng diri daripada terjebak ke dalam kekeliruan pluralisme agama, terdapat lima perkara yang menjadi prinsip aqidah seorang muslim yang wajib difahami. Kelima-lima prinsip ini penting bagi memastikan seseorang muslim itu mengekalkan jati dirinya walaupun dia berada di tengah-tengah masyakarat yang berbilang kaum dan agama. Prinsip-prinsip tersebut adalah seperti berikut:

Pertama: Hanya Islam Agama Yang Haq

Berkeyakinan teguh bahawa hanya Islam agama yang benar manakala agama lain adalah tertolak di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 19 :

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّـهِ الْإِسْلَامُ

Maksudnya: “Sesungguhnya agama di sisi Allah adalah Islam”.

Implikasinya, mereka yang menganut agama lain tidak diterima oleh Allah SWT dan mereka di akhirat kelak adalah golongan yang rugi. Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 85 :

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maksudnya: “Dan barangsiapa yang mencari agama lain selain Islam, maka dia tidak akan diterima daripadanya, dan dia di akhirat kelak daripada orang yang rugi”.

Ini menafikan dakwaan doktrin pluralisme agama yang mengatakan bahawa tiada agama memiliki kebenaran mutlak. Nas syarak jelas menunjukkan hanya Islam agama yang benar dan diterima Allah SWT.

Kedua: Tiada Titik Pertemuan Antara Islam dan Agama Lain di Akhirat Kelak

Berkeyakinan teguh bahawa agama selain Islam adalah kufur. Kufur bermaksud “naqidh al-iman” iaitu “lawan iman” atau “kontra-iman”. (Lihat Tafsir al-Maturidi, 1/ 168) Orang yang kufur digelar kafir. Itu adalah istilah yang diberikan al-Qur’an bagi membezakan seorang muslim dengan bukan muslim dan seharusnya bukan muslim menghormati doktrin yang terkandung di dalam kitab suci umat Islam.

Di samping itu tiada titik pertemuan akan berlaku antara orang Islam dan orang kafir di akhirat kelak. Ini seperti yang sering dicanangkan oleh golongan pluralis bahawa kononnya manusia pelbagai agama sebenarnya bersatu pada titik metafiziknya. Hal ini tidak benar dan amat bertentangan dengan logik akal. Hakikatnya Islam dan kufur adalah amat bertentangan dan tiada titik pertemuan di akhirat kelak. Ia seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Bayyinah ayat 6 :

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ وَالْمُشْرِكِينَ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدِينَ فِيهَا ۚ أُولَـٰئِكَ هُمْ شَرُّ الْبَرِيَّةِ ﴿٦﴾ إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَـٰئِكَ هُمْ خَيْرُ الْبَرِيَّةِ ﴿٧﴾ جَزَاؤُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ جَنَّاتُ عَدْنٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۖ رَّضِيَ اللَّـهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ ۚ ذَٰلِكَ لِمَنْ خَشِيَ رَبَّهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang kafir dalam kalangan ahli kitab dan musyrikin itu di dalam neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya dan mereka itu adalah seburuk-buruk kejadian. Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh itu, mereka adalah sebaik-baik kejadian. Balasan mereka di sisi Allah adalah syurga-syurga Adnan yang mengalir di bawahnya sungai-sungai mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, Allah redha terhadap mereka dan mereka redha terhadap-Nya, demikian itu bagi sesiapa yang takut kepada Tuhannya”.

Bermakna, tiada titik pertemuan antara Islam dan kufur di akhirat kelak. Ini kerana, Islam akan membawa seseorang itu kekal di dalam syurga buat selama-lamanya, manakala kekufuran akan membawa seseorang itu kekal abadi di dalam neraka.

Ketiga: Islam Adalah Syarat Amal Kebaikan Diterima Allah SWT

Amalan perbuatan baik yang dilakukan oleh orang kafir adalah sia-sia (tidak beroleh pahala) dan tidak diterima oleh Allah SWT di akhirat kelak termasuk orang Islam yang murtad keluar dari agama Islam. Ini sebagaimana firman Allah dalam surah al-Nur ayat 39:

وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَعْمَالُهُمْ كَسَرَابٍ بِقِيعَةٍ يَحْسَبُهُ الظَّمْآنُ مَاءً حَتَّىٰ إِذَا جَاءَهُ لَمْ يَجِدْهُ شَيْئًا وَوَجَدَ اللَّـهَ عِندَهُ فَوَفَّاهُ حِسَابَهُ ۗ وَاللَّـهُ سَرِيعُ الْحِسَابِ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang kafir pula, amal-amal mereka adalah umpama riak sinaran panas di tanah rata yang disangkanya air oleh orang yang dahaga, (lalu ia menuju ke arahnya) sehingga apabila ia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu; (demikianlah keadaan orang kafir, tidak mendapat faedah dari amalnya sebagaimana yang disangkanya) dan ia tetap mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah meyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya); dan (ingatlah) Allah Amat segera hitungan hisab-Nya.”

Ini menolak doktrin pluralisme agama yang mendakwa bahawa kepercayaan semua agama boleh membawa kepada keselamatan atau penerimaan Allah SWT di akhirat kelak. Sedangkan jelas menunjukkan bahawa Allah SWT tidak mengurniakan pahala atas amal kebaikan golongan bukan Islam.

Keempat: Islam Bukan Kelangsungan Daripada Agama Lain

Islam bukan suatu agama yang terhasil daripada kesinambungan agama-agama terdahulu seperti Hindu, Buddha, Yahudi dan Kristian. Sesetengah umat Islam terpengaruh dengan dakwaan kononnya ajaran-ajaran agama tersebut semuanya merupakan ajaran nabi-nabi terdahulu. Oleh itu, Islam tidak lain hanyalah satu kelangsungan terhadap apa yang dibawa oleh agama-agama tersebut. Kenyataan ini adalah tidak benar sama sekali. Apa yang benar adalah semua nabi terdahulu hanya membawa agama Islam yang mentauhidkan Allah SWT. Ia jelas melalui nas-nas al-Qur’an seperti dalam surah Ali-Imran ayat 67:

مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا وَلَـٰكِن كَانَ حَنِيفًا مُّسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “Dan tidaklah Ibrahim itu seorang Yahudi dan juga Nasrani tetapi dia adalah seorang hanif dan muslim dan tidaklah dia daripada kalangan musyrikin”.

Demikian juga Allah SWT menjelaskan bahawa dasar agama yang dibawa oleh setiap nabi itu adalah sama dan menegah hamba-hamba-Nya daripada berselisih dalam perkara tersebut. Firman Allah SWT dalam surah al-Syura ayat 13:

شَرَعَ لَكُم مِّنَ الدِّينِ مَا وَصَّىٰ بِهِ نُوحًا وَالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ وَمَا وَصَّيْنَا بِهِ إِبْرَاهِيمَ وَمُوسَىٰ وَعِيسَىٰ ۖ أَنْ أَقِيمُوا الدِّينَ وَلَا تَتَفَرَّقُوا فِيهِ ۚكَبُرَ عَلَى الْمُشْرِكِينَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَيْهِ ۚ اللَّـهُ يَجْتَبِي إِلَيْهِ مَن يَشَاءُ وَيَهْدِي إِلَيْهِ مَن يُنِيبُ

Maksudnya: “Allah telah menerangkan kepada kamu – di antara perkara-perkara agama yang Ia tetapkan hukumnya – apa yang telah diperintahkan-Nya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya. Berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima agama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendakiNya untuk menerima agama tauhid itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada agama-Nya itu sesiapa yang rujuk kembali kepada-Nya (dengan taat).”

Maka bagaimana agama tauhid yang dibawa oleh para nabi terdahulu boleh dikaitkan dengan agama-agama kufur yang ada pada hari ini? Ini adalah salah satu jarum halus golongan pluralis untuk merosakkan aqidah Islam dan menyamaratakannya dengan agama lain.

Kelima: Kewajipan Bara’ah daripada Memperakui Kepercayaan dan Peribadatan Agama Lain

Perlu meletakkan segala kesetiaan dan ketaatan hanya kepada agama Islam dan berlepas diri (bara’ah) daripada sebarang unsur-unsur yang mengiktiraf kepercayaan dan peribadatan agama lain.

Firman Allah SWT dalam surah al-Kafirun ayat 1-6 :

قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ ﴿١﴾ لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ ﴿٢﴾ وَلَا أَنتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ ﴿٣﴾ وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَّا عَبَدتُّمْ ﴿٤﴾ وَلَا أَنتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ ﴿٥﴾ لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ

Bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku”.

Menurut Imam Ibn Kathir, surah ini merupakan surah al-Bara’ah (pelepasan diri) daripada amalan yang diamalkan oleh orang musyrikin. Ayat tiga yang bermaksud “Dan tidaklah aku menyembah apa yang kamu sembah” bermakna aku tidak beribadat dengan ibadat kamu iaitu tidak mengambil jalan itu dan mengikutinya, sebaliknya aku menyembah Allah SWT berdasarkan cara yang disuruh dan diredhainya. Manakala ayat empat yang bermaksud “Dan tidaklah kamu menyembah apa yang aku sembah” bermakna kamu tidak mengikut perintah-perintah Allah SWT dan syariat-Nya dalam beribadat bahkan kamu telah mereka-reka sesuatu daripada diri kamu sendiri.

Ianya bersamaan dengan firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 41:

وَإِن كَذَّبُوكَ فَقُل لِّي عَمَلِي وَلَكُمْ عَمَلُكُمْ ۖ أَنتُم بَرِيئُونَ مِمَّا أَعْمَلُ وَأَنَا بَرِيءٌ مِّمَّا تَعْمَلُونَ

Bermaksud: “Dan sekiranya mereka membohongi kamu maka katakanlah bagiku amalanku dan bagi kamu amalan kamu, (ibadat) kamu tidak berkaitan dengan amal (ibadat) ku dan aku berlepas diri dengan segala (ibadat) yang kamu kerjakan.”

Begitu juga dengan ayat 15 surah al-Syura:

لَنَا أَعْمَالُنَا وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ

Maksudnya: “Bagi kami amal (ibadat) kami dan bagi kamu amal (ibadat) kamu.” Yang bermakna kami berlepas diri daripada (ibadat) kamu. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 4/103 & 532)

Ayat-ayat ini menunjukkan bahawa kita tidak boleh menyamakan kepercayaan dan peribadatan agama lain dengan kepercayaan dan peribadatan dalam Islam seperti yang diyakini oleh golongan pluralis. Oleh itu, umat Islam diwajibkan berlepas diri daripada segala kepercayaan dan peribadatan mereka dalam memelihara keimanan kita kepada Allah SWT.

Kesimpulan

Kami sekali lagi ingin menegaskan bahawa, Islam adalah agama rahmat yang bersifat universal, penuh toleransi dan menerima hakikat wujudnya pelbagai agama (pluraliti) di muka bumi ini. Namun demikian, ia bukan bermakna Islam menyeru kepada kesamarataan agama seperti yang dipercayai dalam ajaran pluralisme agama. Justeru, kami menyokong penuh keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke 74 pada 25 – 27 Julai 2006 berkenaan gerakan pemikiran liberal yang mengandungi fahaman-fahaman menyeleweng termasuk konsep pluralisme yang disenaraikan sebagai salah satu doktrin yang sesat lagi menyesatkan. Muzakarah menyimpulkan bahawa pluralisme agama adalah satu konsep yang berpendirian bahawa setiap agama mempunyai konsep, persepsi dan respon yang tersendiri terhadap Realiti Yang Agung (ultimate reality), bererti semua agama adalah sama tarafnya merujuk kepada Realiti Yang Agung. Akhirnya, semoga Allah mengurniakan taufiq dan hidayah-Nya buat kita semua agar sentiasa berada di atas jalan-Nya yang lurus, dan menjauhkan kita daripada jalan yang menyimpang. Wallahu a’lam.

Nota Hujung:

[1] http://pluralism.org/what-is-pluralism/

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts