Islamofobia: Usah dibiarkan menjadi tragedi

Mutakhir ini, Islamofobia merupakan salah satu topik hangat diperkatakan di seluruh dunia. Bahkan sejak zaman Rasulullah SAW lagi isu ini sudah timbul, yang mana perjuangan dakwah Baginda mendapat tentangan yang hebat daripada masyarakat Arab di Mekah. 

Malah, beberapa sahabat Baginda seperti Ammar ibn Yasir, Khabbab ibn al-Arat, dan Bilal ibn Rabah telah menjadi mangsa seksaan kejahatan mereka.

Namun apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘Islamofobia’?  Islamofobia adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan ketakutan, kebencian, prasangka, atau diskriminasi terhadap Islam atau umat Islam. 

Ia merangkumi pelbagai sikap, kepercayaan, dan tingkah laku yang didorong oleh persepsi negatif terhadap Islam dan penganutnya. Sikap ini boleh terdiri daripada ketidakselesaan ringan dan syak wasangka kepada kebencian dan permusuhan yang terang-terangan.

Islamofobia boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk, termasuk ucapan benci, keganasan fizikal, dan diskriminasi di tempat kerja, perumahan atau pendidikan.

Ia juga boleh dalam bentuk stereotaip, penyebaran maklumat palsu dan laporan berat sebelah dalam media. 

Dalam sesetengah kes, ia boleh membawa kepada peminggiran dan penyisihan masyarakat Islam, serta kepada dasar dan undang-undang yang menyasarkan umat Islam secara khusus. 

Kebangkitan Islamofobia telah dikaitkan dengan beberapa faktor, termasuk peristiwa 9/11 di Amerika Syarikat dan konflik yang berterusan di Timur Tengah. 

Sejurus daripada insiden-insiden tersebut, agama Islam telah dianggap sebagai ‘terrorist’ atau pengganas kerana sering dikaitkan dengan kes pembunuhan massal di negara Barat. 

Walau bagaimanapun, adalah penting untuk menyedari bahawa Islamofobia mempunyai sejarah yang panjang dan telah digunakan dalam masa yang panjang untuk menunjukkan diskriminasi dan rasisme terhadap umat Islam.

Melalui catatan sejarah, Islamofobia di Barat bermula secara serius pada tahun 1063 apabila Paus Alexander II memberi kebenaran kepada masyarakat Kristian di Iberia untuk melancarkan perang terhadap orang Islam. 

Ia dilakukan sebagai tanda dan pengampunan khusus kepada mereka yang terbunuh dalam perang. Perang Salib Pertama terjadi sebagai bukti ketaatan, dan turut memberikan kesan yang mendalam kepada seluruh penganut Kristian, memicu rasa spiritual dan keteguhan yang kuat terhadap agama. 

Ini dikuatkan lagi dengan propaganda keagamaan dan sokongan terhadap ‘Perang Yang Adil’ untuk merampas kembali Tanah Suci, termasuk Baitulmuqaddis, setelah Kerajaan Islam menguasai dan membuka wilayah-wilayahnya di Eropah. 

Pembukaan kerajaan Islam sejak abad ke-7 di wilayah Eropah menjadi alasan tambahan untuk melanjutkan perang terhadap agama Islam. 

Sementara itu, kemajuan Barat juga merupakan hasil dari ilmu pengetahuan, ajaran, dan kepemimpinan Islam. 

Islam membawa Barat dari era kegelapan ke era kejayaan. Perang Salib terus berlanjut melalui sembilan perang utama. 

Eropah menganggap pembukaan itu sebagai alasan utama menyebarkan sentimen Islamofobia meskipun sudah berlalu 100 tahun lalu. 

Terkini, kes pembakaran kitab suci al-Quran di Sweden merupakan tindakan kontroversial yang telah mendapat kecaman keras oleh umat Islam dari seluruh dunia. 

Tindakan tersebut dianggap sebagai tindakan yang tidak bermoral kerana pembakaran mana-mana teks agama, termasuk al-Quran, dilihat sebagai serangan langsung terhadap kepercayaan agama dan nilai agama yang dianutinya.

Ia turut dianggap sangat tidak menghormati dan menyinggung perasaan. Susulan tindakan membakar al-Quran oleh ahli politik ekstrimis Denmark-Sweden, Rasmus Paludan di hadapan kedutaan Turkiye di Stockholm telah menyebabkan kemarahan dan kebimbangan yang meluas dalam  kalangan masyarakat Islam. 

Ada yang berpendapat bahawa perbuatan itu mewakili trend Islamofobia dan sentimen anti-Muslim yang semakin meningkat di Eropah dan di seluruh dunia. 

Sebagai tindak balas kepada insiden itu, ramai pengguna di media sosial mengajak rakyat Malaysia untuk mengecam perbuatan mereka secara terbuka dan memboikot produk keluaran dari Sweden.

Namun sebagai umat Islam, Islam adalah agama yang menganjurkan perdamaian termasuklah kepada orang bukan Islam. 

Jadi, kita mestilah berusaha untuk memerangi ideologi Islamofobia ini. Terdapat beberapa strategi yang boleh digunakan untuk menangani dan mengatasi Islamofobia. 

Antaranya ialah menyediakan pendidikan tentang Islam dan pengalaman masyarakat Islam boleh membantu menghilangkan mitos dan salah faham serta menggalakkan pemahaman dan rasa hormat yang lebih besar. 

Selain itu, menggalakkan pemeriksaan kritis terhadap perwakilan media arus perdana mengenai pembuatan akhbar dan liputan berita tentang agama Islam supaya dapat mempromosikan liputan yang lebih tepat dan seimbang. 

Kemudian, membina jambatan antara komuniti agama yang berbeza melalui dialog, kerjasama dan sokongan bersama supaya boleh membantu memupuk persefahaman dan rasa hormat antara masyarakat yang mempunyai kepercayaan yang berbeza. 

Akhir sekali, menyokong undang-undang dan dasar kerajaan yang menggalakkan kebebasan beragama, melindungi daripada jenayah kebencian dan menangani diskriminasi. Ini boleh membantu mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif dan adil untuk semua.

Konklusinya, adalah penting untuk kita ambil perhatian bahawa menangani Islamofobia memerlukan pendekatan jangka masa panjang melalui pelbagai aspek yang melibatkan individu, komuniti dan masyarakat yang lebih luas. 

Kerjasama dan usaha antara pelbagai agama dan kaum yang berterusan akan menjadi kunci untuk menangani bentuk kebencian dan prasangka ini dengan berkesan. 

Ini termasuk berusaha untuk mendidik orang ramai tentang Islam dan kepentingan menghormati kepercayaan dan nilai moral serta mengukuhkan undang-undang dan dasar kerajaan yang bertujuan untuk melindungi kebebasan beragama dan mencegah tindakan kebencian. 

Semua usaha ini bertujuan untuk menjadikan dunia ini sebagai tempat yang lebih harmoni tanpa wujudnya kebencian terhadap mana-mana agama dan kepercayaan.

Mohd. Roslan Mohd. Nor merupakan Profesor, manakala Wan Ahmad Najib Wan Mohd. Nazirin ialah mahasiswa di Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. – HARAKAHDAILY

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts