BANGI – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Gombak telah menghantar memo ‘Kempen Komuniti Kita Bebas Arak’ kepada 10 premis kedai serbaneka KK Mart dan 7-Eleven di kawasan itu.
Ketua Perhubungan Negeri ISMA Selangor, Hj Abdul Samad Ashaari berkata, tindakan berkenaan adalah sebahagian daripada aktiviti kempen sejak dilancarkan bersempena sambutan bulan kemerdekaan pada 5 Ogos lalu.
Katanya, ISMA Gombak dengan sokongan komuniti setempat kini dalam proses perbincangan bersama Pihak Berkuasa Tempatan – Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya).
“Kami bersama-sama menyatakan sokongan terhadap peraturan sedia ada, sekali gus akan menyumbang idea bagi memastikan penguatkuasaan peraturan terhadap premis-premis yang didapati melanggar peraturan.
“Kami berharap pihak premis bertanggunjawab, prihatin dan menjaga sensitiviti masyarakat dan kejiranan setempat yang mahu melihat kejiranan kita bebas arak,” katanya.Tinjauan mendapati minuman beralkohol dijual di dalam premis-premis, yang rata-ratanya berada di kawasan majoriti Melayu muslim, berdekatan dengan sekolah, pusat ibadah dan kejiranan.
Berikut adalah peraturan sedia ada di bawah Kerajaan Negeri Selangor dan Pihak berkuasa tempatan menunjukkan terdapat kawalan penjualan khusus terhadap orang Islam:
i. Jarak premis perniagaan dengan kawasan kediaman, pusat ibadah, sekolah dan bangunan kerajaan hendaklah sekurang-kurangnya 200 meter.
ii. Premis juga tidak dibenarkan beroperasi di kawasan majoriti penduduk beragama Islam.
iii. Peniaga dilarang menjual minuman keras kepada pelanggan yang berumur 18 tahun ke bawah dan pelanggan yang beragama Islam.
iv. Pekerja premis hendaklah berumur 21 tahun ke atas dan waktu operasi sehingga pukul 12
tengah malam.
v. Peniaga perlu menampal poster larangan menjual minuman beralkohol kepada orang Islam dan pelanggan yang berumur 18 tahun ke bawah di pintu premis atau dinding depan premis, di kaunter dan peti sejuk.
vi. Peniaga juga dikehendaki mengasingkan tempat pameran minuman beralkohol dengan
minuman dan makanan lain di dalam peti sejuk atau dirak atau di stor.
vii. Peniaga digalakkan merekodkan maklumat pembeli jika meragui status agama pembeli. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)