GAZA – Dalam ucapan sulung selaku Ketua Biro Politik Hamas baharu, Ismail Haniyah mengumumkan beberapa perkara yang menjadi keutamaan bagi gerakan pembebasan itu bagi fasa akan datang.
Berucap kepada media di sebuah hotel di bandar Gaza, Haniyah berkata, penentangan ke atas penjajahan Israel ke atas Palestin adalah yang paling utama, selain isu kem pelarian, politik tempatan, hubungan dengan negara-negara Arab dan antarabangsa.
“Senjata utama bagi menghadapi Israel ialah kesatuan rakyat Palestin dalam membuat pendirian dan bacaan politik terhadap janji-janji kosong Israel sepanjang siri rundingan,” katanya, lapor laman web rasmi Hamas berbahasa Arab.
Beliau menjelaskan Hamas berusaha sedaya upaya mempertahankan bumi Al-Quds dan Masjid Al-Aqsa dan menentang semua usaha zionisme yang menghalau penduduk asal dan membina penempatan haram untuk orang Yahudi.
“Hamas akan menguatkan generasi muda Palestin supaya menjadi simbol perjuangan jihad umat Islam.
“Semua usaha Zionis ke atas Masjid Al-Aqsa seperti memasukkan Yahudi, menyekat umat Islam mengikut tempat dan masa secara berterusan, membenarkan anggota Knesset Israel memasuki Aqsa tidak akan berhasil. Al-Aqsa akan kekal menjadi masjid umat Islam dengan nilai-nilai keislamannya,” katanya.
Haniyah memberitahu, sejak lawatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke negara-negara Arab, telah berlaku usaha-usaha pantas yang mahu melenyapkan isu Palestin.
Haniyah juga berkata, Hamas menyeru semua pihak dalam negara untuk bersatu menubuhkan satu kerajaan yang memenuhi semua keperluan sama rata rakyat Palestin di Tebing Barat dan Gaza.
Mengulas mengenai hubungan Hamas dengan negara-negara Arab, Haniyah menjelaskan Hamas terbuka dan menghormati semua negara Arab dan Islam tanpa masuk campur isu dalaman negara terbabit.
“Kepada saudara-saudara kami di negara-negara Arab, jangan risau dengan Hamas, kami tidak membawa melainkan kebaikan semata-mata, peperangan kami hanya di bumi Palestin yang dijajah, musuh kami hanya satu iaitu Zionis Israel.
“Hamas menolak ekstremisme dan pengganas dalam apa jua bentuk dan tempat, perjuangan Hamas bukanlah keganasan, bahkan kami menentang pengganas sebenar iaitu penjajah Zionis Israel,” katanya.
Kepada masyarakat antarabangsa dan negara luar, Haniyah berkata: “Hamas bersedia menjalin hubungan dengan pelbagai pertubuhan antarabangsa dan pertubuhan yang memperjuangkan isu Palestin, bertitik tolak atas dasar menjaga hak kami di atas tanah kami.
“Hamas menyeru semua pihak berinteraksi dengan kami atas asas hak rakyat Palestin dan tidak termakan dengan dakyah Zionis Israel.
“Hamas berterima kasih kepada negara-negara yang menolak seruan menghapuskan Hamas seperti seruan Amerika Syarikat, kami juga berterima kasih kepada mereka yang berhubung dengan kami atas asas kami merupakan gerakan pembebasan negara daripada penjajahan, yang datang daripada rakyat Palestin sendiri dan kami mendapat kepercayaan majoriti dalam pilihan raya yang bersih,” kata Haniyah. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my