Ismail Haniyeh dipilih sebagai Ketua Biro Politik Hamas baharu

 

TEBING BARAT – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), mengumumkan pemilihan Ismail Haniyeh, 54, sebagai Ketua Biro Politik yang baharu, menggantikan Khaled Meshaal.

Anggota Biro Politik Hamas, Osama Hamdan dalam kenyataan kepada media rasmi pergerakan itu, Al-Resalah, berkata Haniyeh menang pilihan raya dalaman Hamas dengan undi majoriti .

Haniyeh dilahirkan di kem pelarian Shati pada 23 Mei 1963, di mana ibu bapanya meninggalkan bandar Ashkelon selepas peristiwa Nakba.

Beliau adalah graduan kesusasteraan Arab dari Universiti Islam Gaza pada 1987, sebelum menerima ijazah kehormat kedoktoran daripada universiti berkenaan pada 2009.

Haniyeh aktif dalam blok Islam – sayap pelajar Ikhwanul Muslimin. Beliau menjadi anggota majlis perwakilan pelajar universiti berkenaan antara 1983 dan 1984, sebelum menjadi presiden majlis berkenaan di mana berlaku perbezaan pendapat antara blok Islam dan Ketua Majlis Belia Fatah, Mohammed Dahlan.

Pada 1989, beliau dipenjara oleh rejim Zionis selama tiga tahun dan kemudian di pindahkan ke Marj al-Zuhour di sempadan Lubnan-Palestin bersama beberapa pemimpin Hamas yang lain.

Selepas tamat hukuman, beliau kembali ke Gaza dan pada 1997 dilantik sebagai ketua pejabat bagi pengasas Hamas, Sheikh Ahmed Yassin.

“Saya ingin mengumumkan bahawa saudara saya Abu al-Abed dipilih sebagai pemimpin baharu Hamas,” kata Khaled Meshaal yang memimpin biro politik Hamas sejak 10 tahun lalu.

Haniyeh dijangka akan terus tinggal di Semenanjung Gaza – wilayah yang ditadbir oleh Hamas sejak 2007. Tidak seperti Meshaal yang tinggal dalam buangan di Doha, Qatar.

Hamdan berkata, perubahan pemimpin dalam Hamas bukan disebabkan kegagalan kepimpinan, sebaliknya ia adalah peraturan dalaman pergerakan itu yang mengehadkan tempoh seseorang mengetuai biro politiknya. – Agensi

Februari lalu, Hamas menamakan Yehiya Sinwar – seorang komander militan kanan – mengetuai operasi sayap bersenjata Hamas di Gaza, menggantikan Haniyeh.

Sayap ketenteraan itu yang mengawal berpuluh-puluh ribu pejuang dan memiliki banyak simpanan roket sudah bertempur dengan Israel dalam tiga peperangan sejak Hamas menawan Gaza, sedekad lalu. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts