MELAKA – Israel dan sekutunya mencabar keamanan dan keharmonian di Baitulmaqdis yang didambakan masyarakat dunia, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, hakikatnya masyarakat dunia mahukan keamanan dan keharmonian dikekalkan di Baitulmaqdis, namun ini dicabar Israel yang memindahkan ibu kotanya ke bandar itu.
“Pertubuhan Bangsa Bersatu telah adakan perhimpunan luar biasa yang mana usul menolak Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel telah diterima 128 negara, masyarakat dunia mahukan keamanan dan keharmonian beragama.
Namun, negara kecil ini (Israel) mencabar hak orang beragama Islam, beragama Kristian untuk berada di sana (Baitulmaqdis),” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2017 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Bandar Hilir di sini, malam tadi.
Justeru, beliau berkata rakyat Malaysia terutama generasi muda perlu mempertahankan keamanan, keharmonian, kecintaan dan semangat kekitaan yang dikecap sejak sekian lama.
“Keharmonian memang sukar untuk dicapai tetapi keharmonian tetap menjadi tonggak perpaduan rakyat kita, ini uniknya Malaysia dan kita semua harus bersyukur dengan terus pertahankan keamanan dan keharmonian ini,” katanya. – Bernama
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)