Israel berikrar mahu mengekalkan kawalan ketenteraan ke atas Semenanjung Gaza, meskipun selepas perang berakhir.
Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant berkata, negara haram itu akan mengawal Gaza secara ketenteraan tetapi bukan bagi tujuan dasar awam.
“Selepas perang, apabila ia berakhir saya rasa sudah jelas bahawa Hamas tidak akan mengawal Gaza.
“Apabila kita bercakap mengenai kebebasan operasi tentera, lihat seperti yang berlaku di Jenin,” kata Gallant merujuk pembunuhan tiga rakyat Palestin di Hospital Ibn Sina pada Selasa.
Dalam kejadian itu, pasukan operasi khas Israel bertindak menyamar sebagai doktor, jururawat dan orang awam serta menembak mati tiga warga Palestin dalam serbuan ke atas hospital berkenaan.
“Ini adalah kebebasan operasi tentera di peringkat tertinggi, namun kita tidak mengawal kawasan itu dalam erti kata awam.
“Ini boleh dicapai di Gaza juga, dan ia akan mengambil masa,” kata Gallant kepada Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negeri dan Pertahanan Knesset.
Pada masa sama, Gallant mendakwa tentera Israel semakin berada di hadapan dalam perang di Gaza, apabila pihaknya yakin sudah mendedahkan dan memusnahkan infrastruktur ketenteraan Hamas termasuk terowongnya.
Israel menjajah Semenanjung Gaza berikutan perang Timur Tengah 1967 , namun berundur dari kawasan itu pada 2005.
Sejak Oktober lalu, Israel tanpa henti melancarkan serangan ganas ke atas Gaza dan membunuh sekurang-kurangnya 26,751 rakyat Palestin setakat ini.- Agensi
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM