SABAN tahun umat Islam menyambut peristiwa Israk Mikraj sebagai memperingati perjalanan agung baginda Rasulullah ﷺ dari Mekkah ke Baitulmaqdis dan kemudian dari Baitulmaqdis, Baginda ﷺ diangkat hingga ke langit ke-7.
Pelbagai peristiwa bersejarah yang berlaku sepanjang perjalanan yang memberi beberapa mesej yang besar kepada sejarah umat Islam dan bahkan lanskap kemanusiaan secara keseluruhannya.
Antaranya ialah apabila Rasulullah ﷺ tiba di Baitulmaqdis, Allah SWT telah menghimpunkan kesemua roh para anbia untuk bersolat di dalam masjid Al-Aqsa, dan solat itu diimamkan oleh baginda .
Ia menjadi isyarat besar bahawa risalah yang dibawa oleh Rasulullah ﷺ adalah risalah yang memimpin keseluruhan umat manusia. Perkara ini dikuatkan lagi dengan satu riwayat hadis yang menyatakan apabila Nabi Isa AS turun ke bumi untuk menentang dajjal, beliau akan menjadi makmum kepada Imam Mahdi.
Dalam erti kata lain, walaupun Nabi Isa AS merupakan seorang Nabi, beliau tetap menjadi makmum kepada Imam Mahdi yang merupakan salah seorang daripada umat Muhammad ﷺ.
Umat Islam harus sedar ketinggian nilai risalah nubuwwah ini, lalu mengangkatnya dengan menghayati seruan kepimpinan atas jalan nubuwwah ini yang merupakan penyelamat kepada kemanusiaan sejagat.
Ia juga adalah seruan yang jelas kepada para pemimpin umat Islam untuk mencontohi kepimpinan Rasulullah ﷺ, khususnya dalam aspek memikul beban tanggungjawab dan amanah, serta menggarap perpaduan ummah secara keseluruhannya, bukan terhad kepada kepentingan pihak-pihak tertentu.
Sudah tiba masanya untuk kita merenung kembali perjalanan umat Islam khususnya di Malaysia ini, dan menilai semula, sejauhmana perjalanan kita selari dengan ‘manhaj’ nubuwwah ini, selaras dengan firman Allah SWT :
“Dan demikianlah Kami menjadikan kamu (umat Islam) sebagai umat pertengahan agar kamu menjadi saksi ke atas manusia,” – Surah Al-Baqarah, ayat 143
Moga sambutan Israk Mikraj kali ini mampu memberi kita nafas baru, dalam mengorak langkah mengangkat manhaj nubuwwah di atas persada alam ini.
Sahibus Samahah
Datuk Hj Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak
Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)