ISTANBUL – Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai Baitulmaqdis menyeru masyarakat antarabangsa berjuang demi keamanan, dan mengenakan sekatan ekonomi serta politik sebagai tindak balas terhadap keputusan Amerika Syarikat (AS).
Sambil menggesa AS menarik balik pengiktirafan Al-Quds (Baitulmaqdis) sebagai ibu kota Israel, OIC turut mengutuk dan menolak pengiktirafan oleh Presiden AS, Donald Trump yang juga akan memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.
OIC mengatakan pentadbiran AS bertanggungjawab sepenuhnya ke atas semua akibat yang akan berlaku, sekiranya enggan menarik balik pengiktirafan itu yang bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah meletakkan AS sebagai enggan lagi menjadi perantara proses damai Palestin-Israel.
Deraf kenyataan bagi sidang kemuncak itu juga menolak langkah AS sebagai ‘hadiah’ kepada Israel, kerana OIC menganggap rejim Israel sentiasa menolak mengadakan perjanjian damai dan secara terang-terang melanggar undang-undang antarabangsa.
Pemimpin-pemimpin OIC juga diminta mengenakan sekatan ekonomi dan politik pada peringkat negara, kakitangan, Parlimen, syarikat dan individu yang mengiktiraf pencerobohan Israel ke atas Baitulmaqdis, atau terbabit dalam apa juga bentuk serta langkah yang bertujuan mengekalkan penjajahan Israel ke atas wilayah-wilayah Palestin.
Bagi keperluan keamanan sejagat, sidang kemuncak itu menggesa semua pihak mempromosikan politik pelbagai hala, untuk menyambung semula proses damai tajaan antarabangsa bagi mencapai keamanan yang berpanjangan berasaskan penyelesaian pembentukan dua negara.
Setiausaha Agung OIC, Dr Yousef Al-Othaimeen pula menegaskan bahawa sidang kemuncak itu menunjukkan negara-negara Islam memberi perhatian penting mengenai Baitulmaqdis, memandangkan keputusan AS itu adalah satu serangan agresif ke atas identiti yang suci, karakter Arab dan umat Islam.
Beliau juga berkata, OIC tanpa kompromi menolak dengan tegas tindakan AS kerana menganggap langkah itu adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa, menjejaskan hubungan antarabangsa dan bertentangan dengan semangat piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta resolusinya.
“Dengan mengambil langkah ini, Amerika melanggar konsensus antarabangsa mengenai status politik, undang-undang dan sejarah Al-Quds Al-Sharif,” katanya.
Pada masa sama, OIC turut meminta mana-mana negara yang belum lagi mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara supaya segera berbuat demikian. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)