SEREMBAN – “Islam melarang kita meratap apabila berlaku kematian,” itu tegas pendakwah di Pusat Pengajian Imtiyaz, Ustaz Nor Azman Mohamad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penglibatan segelintir individu dipercayai beragama Islam dalam perhimpunan di tepi Sungai Klang berhampiran Masjid Jamek, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.
Perhimpunan disertai kira-kira 100 peminat K-Pop yang berbilang kaum dan agama itu bertujuan mengingati pemergian artis kesayangan mereka, Kim Jong-hyun pada 18 Disember lalu selepas meragut nyawa sendiri.
“Perkara ini disebutkan dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud, ‘Dari Abdullah Bin Umar RA, ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya mayat akan diseksa kerana tangisan keluarganya padanya’.
“Hadis riwayat Muslim pula menyatakan, ‘Dari Abi Hurairah RA, ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Dua hal yang ada pada manusia dan keduanya menyebabkan mereka kafir: Mengingkari keturunan dan meratapi kematian’.
“Sedangkan meratap kematian dalam kalangan orang yang kita sayang pun dilarang, apatah lagi melibatkan mereka yang bukan beragama Islam. Maka lebih berat lagi keadaannya,” katanya.
Selain itu, kata Nor Azman, perbuatan mendoakan kerahmatan dan keampunan untuk individu bukan Muslim yang telah mati juga sama sekali dilarang dalam Islam.
“Disebut dalam Surah at-Taubah ayat 113: ‘Dan tidaklah layak bagi Nabi dan orang-orang beriman memohon ampun (kepada ALLAH) bagi orang-orang musyrik, sekali pun mereka itu orang-orang itu kerabatnya, setelah jelas bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu penghuni neraka jahanam’.
“Bagaimanapun, kita dibolehkan berdoa untuk bukan Muslim yang masih hidup dengan harapan mereka mendapat petunjuk dan hidayah. Memang ada hukum untuk perkara ini yang disepakati ulama.
“Contohnya hadis Muttafaq ‘alaih mengenai Rasulullah SAW yang mendoakan Kabilah Daus agar diberikan hidayah, selepas mendapat perkhabaran daripada At-Thufail dan para sahabatnya bahawa kabilah berkenaan telah kufur dan menolak dakwah Islam,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Justeru, beliau menyeru semua pihak supaya memainkan peranan untuk mengisi jiwa manusia terutama generasi masa kini dengan perkara sewajarnya berlandaskan ajaran Islam.
“Apabila jiwa kosong, ia akan diisi dengan perkara disukai. Macam dalam hal ini, jiwa mereka dimasukkan dengan elemen K-Pop.
“Maka tidak hairanlah kecenderungan mereka, serta rasa kasih dan sayang mereka terarah pada perkara sebegitu. Artis itu yang ada dalam hati mereka.
“Seperti kata pepatah Arab, mata akan jadi buta dan telinga akan jadi pekak apabila seseorang sudah mengasihi sesuatu benda. Ini kita kena fikirkan sama-sama,” katanya yang merupakan bekas Ketua Pemuda Pas Negeri Sembilan.
Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria sebelum ini berkata, perbuatan membawa belon dan lilin adalah budaya kafir dan tidak harus menjadi ikutan terutama kepada golongan muda beragama Islam.
“Tidak boleh. Haram kalau buat kerja macam itu. Kalau artis atau individu itu orang Islam, kita hadiahkan al-Fatihah. Kalau bukan Islam, takkan hendak doakan syurga pula?
“Sudahlah dia bunuh diri, kenapa hendak ikut budaya kafir? Buat apa?” – Sinar Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)