Isu Kalimah Allah: Apa kita boleh buat?

 

SELESAI dengan jayanya malam tadi Usrah Bulanan secara online dengan rakan-rakan SMAP Batch SPM 88. Tajuk menarik iaitu kalimah Allah. Perbincangan pun panjang dari jam 9.15 dan berlarutan hingga melebihi jam 12 tengah malam. Pelbagai sudut dibincangkan, dari asal usul kalimah Allah, dalil-dalil yang disalahfahami, strategi kontekstualisasi, pekeliling KDN 1986, isu The Herald, isu semakan kehakiman Jill Ireland, ‘basic structure doctrine’ dan lain-lain lagi. Tiga jam yang amat bermanfaat.

2. Yang paling menarik pada saya adalah perbincangan berkenaan respon umat Islam; parti politik, NGO, tokoh-tokoh masyarakat, pemimpin negara dan masyarakat terhadap isu kalimah Allah ini. Dapat disimpulkan bahawa isu ini tidak mendapat tentangan hangat dari ramai pihak seperti yang berlaku dalam isu tentangan terhdap ICERD. Apakah yang telah berlaku sehingga ia menjadi seperti itu?

3. Dari sisi pihak kerajaan, nampaknya pihak kerajaan pun setakat boleh mengemukakan rayuan sahaja. Itu pun belum tahu lagi apakah keputusannya. Dan nampaknya perjalanannya masih panjang sedangkan di pihak Kristian mereka telah bersorak menyambut kemenangan boleh menggunakan kalimah Allah. Tindakan lain yang dilakukan oleh kerajaan, wallahu a’lam. Mungkin saya yang tidak tahu. Atau mungkin mereka tidak mahu hebahkan.

4. Di pihak parti-parti Melayu Islam; mereka nampaknya telah pun menggesa kerajaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dan menggesa kerajaan mengambil inisiatif menyegerakan pelaksanaan pengharmonian sistem perundangan negara dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan. Persoalannya, takkanlah itu sahaja? Parti-parti itu pun dalam kerajaan juga. Tidak padan untuk menggesa diri sendiri.

5. Di pihak keselamatan, dua hari selepas keputusan Mahkamah Tinggi, PDRM mengeluarkan amaran bahawa Akta Hasutan menanti individu yang melakukan demonstrasi membantah keputusan terhadap isu kalimah Allah tersebut. Bahkan sehingga hari ini, sudah ada pun seorang wanita yang disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana kecenderungan menghasut serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

6. Di pihak pertubuhan bukan kerajaan, saya rasa kebanyakan NGO menerima nasib yang sama seperti ISMA; iaitu ‘dijemput’ oleh pihak keselamatan untuk ‘membincangkan’ isu kalimah Allah. Pun begitu Alhamdulillah satu persidangan tergempar berlaku di antara NGO-NGO Islam pada 14 Mac 2021 bagi membantah keputusan Mahkamah Tinggi tersebut. Resolusinya boleh dibaca di https://pembela.com.my/resolusi-persidangan-tergempar-ngo-ngo-islam-dalam-kes-kalimah-allah-2-0/. Kesannya kepada masyarakat masih lagi kita tidak tahu.

7. Di pihak tokoh masyarakat, ahli akademik, ulamak dan cendekiawan, kita melihat mereka banyak menganjurkan forum-forum perbincangan. Kebanyakannya secara online. Tulisan-tulisan juga banyak dikongsikan. Tetapi sejauh mana sampai kepada masyarakat, kita masih tidak pasti.

8. Di pihak masyarakat awam, saya rasa apa yang kita lihat hanyalah keresahan pada sebahagian. Dan sebahagian yang besar jumlahnya pula tidak tahu pun isu kalimah Allah yang terbaru ini. Sama ada mereka sudah jadi manusia yang tidak melihat dan mendengar. Atau pun sudah jadi manusia yang tidak peduli.

9. Jiwa seorang mukmin adalah jiwa yang sensitif. Melihat kemungkaran dengan jiwa yang bergetar. Seperti Umar Abd Aziz yang melihat maksiat kecil di zamannya sebagai musibah.

إني أعالج أمراً لا يُعين عليه إلا الله، قَدْ فَنِيَ عليه الكبير، وكبر عليه الصغير، وفصح عليه الأعجميّ، وهاجر عليه الأعرابيّ، حتى حسبوه ديناً لا يرون الحقّ غيره

“Aku memperbaiki satu urusan yang tidak ada sesiapa pun yang mampu membantu kecuali Allah. Urusan yang mematikan orang tua, menjadikan budak kecil menjadi tua, menjadikan orang bukan Arab tiba-tiba fasih berbahasa Arab dan menjadikan orang Arab mengasingkan diri. Hinggakan perkara yang salah itu dipandang sebagai hakikat agama yang dianggap tiada kebenaran kecuali padanya.”

10. Satu gerak kerja yang lebih serius sepatutnya dirancang bagi menangani isu kalimah Allah ini. Kita secara umum sudah mengenal pasti masalahnya, iaitu:

a. Gerakan Kristianisasi yang semakin agresif dan sentiasa mencari ruang dalam apa juga kesempatan untuk mengubah cara hidup muslim dan mengubah status negara sama ada melalui perjuangan mengubah Perlembagaan atau perjuangan di sudut perubahan budaya.

b. Umat Islam yang semakin rapuh amalan Islamnya lalu terdedah secara kuat kepada proses normalisasi sehingga mengubah cara fikir berkenaan apa itu benar dan salah.

c. Usaha segelintir pihak yang sedikit tetapi kuat pengaruhnya untuk menjadikan hak asasi manusia sebagai asas dan neraca pertimbangan dalam semua perkara termasuklah keputusan penghakiman dan keputusan serta polisi kerajaan.

d. Kelesuan sebahagian pertubuhan-pertubuhan Islam samada parti atau ngo sehingga seolah-olah hilang taringnya. Sama ada kerana keliru akibat suasana politik negara yang tidak stabil atau kerana mereka sendiri sekarang ini di ‘zon stabil’.

11. Ini adalah perkara yang perlu dirawat untuk jangka panjang dan sederhana. Jika tidak, umat Islam tidak akan mampu untuk mengurus isu kalimah Allah dan yang seumpamanya seperti isu Rosliza, isu Iki Putra dan lain-lain isu yang akan timbul dari semasa ke semasa.

12. Untuk jangka pendek, saya tidaklah berniat untuk mencadangkan demokrasi besar-besaran seperti Himpunan Membantah ICERD. Kita pun dalam suasana COVID-19, demokrasi seumpama itu sukar untuk dilakukan. Tetapi apa yang boleh dibuat selain dari memorandum dari badan-badan Islam dan rayuan dari pihak kerajaan, saya mencadangkan yang berikut:

a. Pihak keselamatan tidak menakut-nakutkan umat Islam untuk menyuarakan pandangan dan bantahan secara aman terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut. Dalam sebuah negara demokrasi, biarlah rakyat menyuarakan pandangan mereka secara bebas dan aman.

b. Siri-siri dialog antara Islam-Kristian dilakukan sama ada secara terbuka atau tertutup berkenaan isu kalimah Allah ini. Pihak Kristian sudah tentu bersedia untuk itu demi membuktikkan kebenaran dakwaan mereka. ISMA sedia menghantar wakil mewakili umat Islam untuk dialog tersebut.

c. Pihak kerajaan memohon supaya keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan kebenaran pihak Kristian menggunakan kalimah Allah ditangguhkan sehinggalah ada keputusan terhadap rayuan pihak kerajaan terhadap kes ini.

Moga Allah kembalikan kemuliaan dan izzah kepada umat Islam di Malaysia.

Allahul Musta’an

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Presiden ISMA 

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
1 comment
  1. Betapa lemah jiwa umat ialam di Malaysia sekarang hanya sedikit gertakan dari pihak atasan untuk berdemontrasi sudah cukup menakutkan ttp gertakan dari Allah akan lebih dahsyat lagi. Bangkit lah untuk mempertahan kalimah Allah moga Allah membantu kita asbab kita bantu Allah tapi Allah tidak akan bantu kalau kita tidak berbuat apa apa.
    Moga Allah beri hidayah kepada kita semua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts