Isu persembahan lawak menghina Islam

  1. Pihak Jabatan Agama Islam Wilayah telah pun mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung video yang tular mengenai penampilan seorang wanita yang menanggalkan pakaiannya dalam sebuah acara persembahan komedi di TTDI.
  2. Tindakan wanita berkenaan mengundang kemarahan khalayak kerana dilihat mempersendakan perintah aurat selain mengaitkan diri beliau sebagai seorang yang telah menghafaz 15 juzuk al-Quran. Beliau seakan-akan bukan sekadar menanggalkan pakaian semata bahkan membuang sekali sikap malu yang sepatutnya menghiasi diri wanita Muslimah.
  3. Dalam isu lawak gurauan, Rasulullah memberikan kita peringatan agar tidak mempersenda isu yang mengundang bencana yang lebih besar. Sabda Rasulullah ﷺ:

إِنَّ الرَّجُلَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ لَا يَرَى بِهَا بَأْسًا يَهْوِي بِهَا سَبْعِينَ خَرِيفًا فِي النَّارِا

“Seorang lelaki mengucapkan satu kalimah yang dia tidak merasakan apa-apa masalah dengannya (memandang remeh dengan kalimah tersebut), yang mana ianya boleh membawanya kepada tujuh puluh jarak neraka.” (HR al-Tirmizi)

  1. Al-Imam al-Mubarakfuri menjelaskan bahawa sebahagian manusia memandang remeh perkataan yang diucapkannya sehingga dia tidak menyangka perkataan tersebut menjadi penyebab kepada dia dihumban ke neraka. (Tuhfah al-Ahwazi)
  2. Al-Imam Ali al-Qari pula meriwayatkan hadith berhubung kecaman Rasulullah ﷺ terhadap mereka yang bercakap bagi tujuan bergurau tanpa menilai dahulu kesan ucapan tersebut barangkali tidak sesuai untuk dijadikan bahan gurauan. Sabda Rasulullah ﷺ:

إِنَّ الْعَبْدَ لَيَقُولُ الْكَلِمَةَ لَا يَقُولُهَا إِلَّا لِيُضْحِكَ بِهِ النَّاسَ، يَهْوِي بِهَا أَبْعَدَ مَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ،

Seorang hamba mengucapkan perkataan bagi tujuan bergurau (untuk digelak) sedangkan perkataan tersebut boleh membawanya ke neraka yang jarak keduanya antara langit dan bumi. (Mirqa al-Mafatih)

  1. Sebagai Muslim, kita seharusnya boleh membezakan perkataan atau tindakan kita yang boleh dijadikan gurauan dan mana yang tidak sesuai untuk dijadikan bahan gurau sehingga boleh memberikan kesan kepada syariat Islam itu sendiri.
  2. Inilah bahananya pemikiran Liberal yang memberikan kebebasan mutlak kepada manusia sehingga membiarkan tindakan mempersenda perkara yang telah disyariatkan oleh Islam. Pihak Kelab Komedi tersebut juga wajar dikenakan tindakan kerana membiarkan wanita berkenaan memperlakukan dirinya sedemikian. Mereka hanya mengeluarkan kenyataan kecaman setelah video tersebut menjadi viral di seluruh negara.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts