Jadikan ibadat sebagai konten satu tindakan tidak beretika

Sejak akhir-akhir ini, tular di media sosial berkenaan tindakan seorang pempengaruh tanah air yang memuat naik satu video berkenaan perihal beliau mengerjakan umrah bersama rakan-rakannya. Dalam video berkenaan terlihat seakan-akan beliau sedang berasak-asak untuk membantu rakan-rakannya khususnya rakan wanita untuk mencium hajar aswad. Tindakan tersebut telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam masyarakat baik dari agamawan mahupun pengguna media sosial yang lain yang tidak mencerminkan adab sebagai tetamu Allah SWT. 

Etika dan Adab Pempengaruh Muslim dalam Media Sosial

Pempengaruh atau lebih dikenali sebagai influencer perlu lebih berhati-hati dalam memuat naik sebarang konten yang boleh memberikan kesan negatif terhadap masyarakat. Konten yang dicipta itu sebaiknya perlu melihat kepada situasi dan tempat lebih-lebih lagi pada perkara yang terkait dengan ibadat agama kerana ia merupakan perkara yang sensitif terhadap umat Islam. 

Golongan ini sepatutnya mengambil peluang untuk menghasilkan konten yang bermanfaat dan boleh mendidik follower mereka. Hal ini kerana setiap perkara yang ditonjolkan pasti akan menjadi ikutan para pengikutnya. Tuntutan ini selari dengan riwayat yang berbunyi:

وَخَيْرُ النَّاسِ ‌أَنْفَعُهُمْ ‌لِلنَّاسِ

Maksudnya: “Sebaik-baik manusia ialah mereka yang boleh memberi manfaat kepada orang lain.”

(Riwayat al-Tabrani) 

Tidak semua hal dalam kehidupan ini perlu ditayangkan pada khalayak umum. Antara perkara penting yang perlu diambil kira sebelum membuat apa-apa kandungan media sosial ialah perlu memastikan setiap isi kandungan itu adalah sahih dan bermanfaat serta tidak menimbulkan fitnah. Oleh itu, maklumat kandungan yang boleh menimbulkan keburukan, kekeliruan dan fitnah sepatutnya tidak dikongsikan apatah lagi dijadikan sebagai kandungan media sosial bagi meraih perhatian ramai.

Etika dan Adab  Berkelakuan di Tanah Suci

Sebelum menunaikan ibadah haji atau umrah, umat Islam dinasihatkan untuk meninggalkan perkara-perkara yang dilarang, ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Imam al-Nawawi: 

إِذا اسْتَقَرَّ عَزْمه بَدَأَ بالتوْبَةِ مِنْ جَمِيعِ المَعَاصِي وَالمَكْرُوهَاتِ

Maksudnya: “Apabila seseorang itu telah berazam (untuk mengerjakan haji), hendaklah dia memulakan dengan bertaubat daripada segala maksiat dan perkara-perkara yang makruh.”

Kesempatan menjejakkan kaki di tanah suci Mekah adalah suatu peluang yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya. Justeru, tidak sepatutnya seseorang itu mengerjakan sesuatu ibadah dengan tujuan meraih kemasyhuran duniawi. Bahkan sepatutnya menggunakan peluang ini untuk menginsafi segala kesalahan dan dosa yang telah dilakukan kerana tidak semua umat Islam mampu serta berpeluang untuk mengerjakan ibadah berkenaan.

Selain itu, umat Islam perlu menjaga kesucian kawasan tawaf kerana ia berada dalam kawasan masjid. Justeru, setiap umat Islam perlu menjaga etika dan adab ketika berada dalam kawasan tawaf. Sekalipun hendak melakukan amalan sunat maka perlu melakukannya dalam keadaan yang tertib dan tidak mencemarkan kehormatan masjid dan bukan seperti di pasar. Benar setiap amalan bergantung kepada niat namun jangan dilupakan sabda Nabi SAW:

يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ يَتَحَلَّقُونَ فِي مَسَاجِدِهِمْ وَلَيْسَ هِمَّتُهُمْ إِلاَّ الدُّنْيَا لَيْسَ لِلَّهِ فِيهِمْ حَاجَةٌ فَلاَ تُجَالِسُوهُمْ

Maksudnya: “Akan tiba satu masa di mana manusia akan berkumpul di masjid dan keinginan mereka hanya dunia semata-mata. Allah tidak memerlukan kepada apa yang mereka lakukan dan janganlah kamu duduk bersama mereka.”

(Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak) 

Hukum Mencium Hajar Aswad 

Sebagai insan yang terpilih untuk menjadi tetamu Allah, para jemaah seharusnya membuat persediaan khususnya dari sudut ilmu berkaitan ibadat umrah supaya ibadat yang dikerjakan itu memenuhi rukun dan syarat-syarat sahnya. Dalam hal mencium hajar aswad, ia bukan satu kewajipan yang perlu dikerjakan oleh jemaah umrah mahupun haji. Sebaliknya menciumnya hanyalah sunat sebagaimana yang diceritakan dalam riwayat saidina Umar RA: 

إِنِّي ‌أَعْلَمُ ‌أَنَّكَ ‌حَجَرٌ، لَا تَضُرُّ وَلَا تَنْفَعُ، وَلَوْلَا أَنِّي رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يُقَبِّلُكَ ما قبلتك   

Maksudnya: “Sesungguhnya aku mengetahui kamu ini hanyalah sebongkah batu, engkau tidak mampu mendatangkan bahaya dan tidak juga memberikan manfaat. Kalaulah tidak kerana aku pernah melihat Nabi SAW mencium engkau, pastinya aku tidak akan mencium engkau.”

Riwayat Bukhari (1597)

Berdasarkan hadis di atas, dapat difahami bahawa tiada kewajipan untuk mencium hajar aswad bahkan Imam al-Nawawi turut menyatakan bahawa hukum bagi wanita mencium hajar aswad adalah tidak sunat sebagai mana dalam kitabnya: 

وَلَا يُسْتَحَبُّ لِلنِّسَاءِ اسْتِلَامٌ، وَلَا تَقْبِيلٌ إِلَّا عِنْدَ خُلُوِّ الْمَطَافِ فِي اللَّيْلِ أَوْ غَيْرِهِ

Maksudnya: “Tidak disunatkan bagi wanita melambai, menciumnya melainkan dalam keadaan aman daripada orang yang bertawaf pada waktu malam atau seumpamanya.”

Tambahan lagi, dalam situasi yang sesak dan boleh mendatangkan kemudaratan kepada jemaah sebaiknya tidak perlu merisikokan diri untuk menciumnya sebaliknya memadai dengan menghulurkan tangan daripada jauh kemudian mengucupnya melalui tangan berdasarkan pandangan Sheikh Zakaria al-Ansari. 

Kesimpulan: 

i. Pempengaruh atau pencipta konten seharusnya berpada-pada dalam memuat naik konten terutama sekali dalam perkara yang berkaitan dengan ibadat. 

ii. Menjadikan ibadat umrah sebagai konten oleh mana-mana pempengaruh media sosial adalah sesuatu yang tidak manis untuk tontonan masyarakat kerana ibadat ini dilakukan di tanah suci yang lebih dikenali dengan tanah haram. 

iii. Setiap etika ketika mengerjakan ibadat umrah seharusnya dipatuhi dan diikuti dengan baik supaya ibadat umrah yang dikerjakan dapat dilakukan secara aman dan tertib tanpa sebarang kemudaratan.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts