KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang mengusulkan pindaaan terhadap Perlembagaan Persekutuan supaya jawatan Perdana Menteri mestilah dikhususkan hanya kepada rakyat Malaysia beragama Islam.
Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, tindakan itu sama seperti yang termaktub dalam undang-undang tubuh negeri di Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Perlis dan Pahang yang mengkhususkan jawatan Menteri Besar mestilah daripada rakyat beragama Islam.
“Ini bukan rasis, ini adalah kerana menghormati orang Islam adalah masyarakat majoriti di dalam negara ini. Saya percaya, atas semangat Perlembagaan Persekutuan serta prinsip Rukun Negara, cadangan ini adalah idea yang tidak asing dalam negara kita.
“Selain itu, adalah sangat mudah untuk difahami, diterima serta didokong oleh rakyat Malaysia yang terdiri pelbagai jenis kaum, budaya dan agama,” katanya semasa membahaskan Usul Titah Diraja, di Dewan Negara.
Sementara itu, beliau juga berharap agar pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mempercepatkan usaha penyelarasan undang-undang oleh Kerajaan Persekutuan dengan semua Kerajaan Negeri.
Beliau merujuk kepada undang-undang untuk menyemak semula status menukar agama kanak-kanak bukan Islam di bawah 18 tahun yang memasuki agama Islam.
“Seruan saya, ahli politik muslim di negara ini mestilah bermuafakat bersama dengan perjuangan yang diusahakan oleh Menteri Agama kita semua,” katanya. – HARAKAHDAILY
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM