Jaga adab ziarah ketika beraya, usah intai keburukan orang

Masyarakat Melayu kaya dengan pelbagai tradisi berasaskan ajaran Islam. Antaranya adalah tradisi ziarah menziarahi ketika meraikan Aidilfitri. Tradisi berakar kuat dalam masyarakat Melayu ini diinspirasikan daripada sunah Nabi Muhammad SAW.

Bagi masyarakat Islam, sambutan Aidilfitri adalah kemuncak kepada berpuasa sebulan sepanjang Ramadan. Ia diraikan dengan penuh kemeriahan, diwarnai dengan solat Aidilfitri beramai-ramai, disusuli menziarahi pusara insan tersayang dan menziarahi sanak-saudara, rakan-taulan, di samping saling bermaafan antara satu sama lain.

Pada dasarnya tujuan aktiviti kunjung mengunjungi bukan sekadar bertanya khabar, bahkan merapatkan silaturahim saudara jauh dan dekat, di samping mengelak terputusnya hubungan kekeluargaan, persaudaraan dan persahabatan.

Generasi muda masa kini ramai yang tidak mengenali sanak-saudara mereka dan hubungan ini biasanya terputus selepas kematian ibu bapa. Senario ini bertambah buruk, terutama ketika pandemik COVID-19, menyebabkan tradisi ini tertangguh selama dua tahun pada 2020 dan 2021.

Pada asasnya dalam tradisi ziarah menziarahi ini akan membabitkan dua pihak iaitu pihak menziarahi atau tetamu dan pihak diziarahi yakni tuan rumah.

Dalam hadis Nabi Muhammad SAW menegaskan orang menziarahi orang lain kerana Allah tanpa sebarang kepentingan peribadi akan dicintai Allah SWT.

Nabi SAW bersabda: “Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung ingin ditujui. Apabila lelaki itu mendekati, malaikat bertanya: Ke manakah engkau hendak pergi? Lelaki itu menjawab: aku ingin menziarahi saudaraku di kampung ini. Malaikat bertanya: Apakah kenikmatan kamu inginkan darinya? Lelaki itu menjawab: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah Azza Wa Jalla. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu. (HR Muslim)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW mengingatkan kepada orang diziarahi atau tuan rumah supaya memuliakan dan menghormati tetamunya. Ia dikaitkan dengan keimanan kepada Allah dan hari akhirat.

Islam galak budaya ziarah

Berdasarkan hadis di atas, Islam sangat menggalakkan budaya ziarah menziarahi antara umat Islam dan tidak terhad hanya ketika sambutan perayaan semata-mata.

Namun, dalam mengamalkan tradisi ini, terutama ketika sambutan Aidilfitri, ada beberapa adab perlu dijaga, terutama tetamu dan juga tuan rumah. Adab ini bagi memastikan tradisi dilakukan ini beroleh pahala sunah, bukan kebiasaan yang sia-sia dan berdosa.

Sebagai tetamu, terdapat beberapa adab sopan perlu dijaga dan diamalkan antaranya:

* Meminta izin atau memaklumkan kepada tuan rumah sebelum bertandang ke rumahnya. Namun, ia bergantung kepada keadaan setempat.

Bagi sesetengah tuan rumah, hari raya ibarat rumah terbuka dan kehadiran tetamu dialu-alukan tanpa sebarang temu janji dan makluman awal. Sebaliknya, ada segelintir tuan rumah menjaga privasi, tetamu harus membuat temu janji atau memaklumkan lebih sebelum bertandang.

Adab Islam bertandang ke rumah orang, tetamu perlu memberi salam maksimum sebanyak tiga kali, namun jika tiada jawapan daripada tuan rumah, tetamu boleh beredar.

* Adab kedua perlu dijaga tetamu adalah menghormati tuan rumah dan tidak berkelakuan kurang sopan.

* Ketiga, memakai pakaian sesuai dan sopan bagi mengelakkan suasana tidak selesa di dalam rumah.

* Keempat, memilih masa ziarah sesuai supaya tidak mengganggu tuan rumah terutama pada waktu makan, waktu rehat, solat dan tidur.

* Kelima, berkomunikasi dengan kesantunan budi Melayu supaya kedua pihak berasa selasa. Dalam hal ini, elakkan topik sensitif boleh menyebabkan terasa hati seperti membincangkan isu politik, membicarakan kisah rumah tangga orang lain dan topik mengaibkan atau menjatuhkan maruah serta tidak mengumpat.

* Keenam, menikmati minuman dan juadah makanan dihidangkan tanpa merungut.

* Ketujuh, memanfaatkan masa ziarah dengan tidak terlalu lama sehingga menimbulkan ketidakselesaan dan kegelisahan kepada tuan rumah.

* Kelapan, memantau dan mengawal pergerakan anak masih kecil supaya tidak ada insiden menyebabkan kerosakan harta benda tuan rumah.

* Kesembilan, tidak masuk ke kawasan peribadi tuan rumah seperti dapur atau bilik tidur tanpa kebenaran.

* Ke-10, meminta izin tuan rumah jika ingin menggunakan bilik air atau tandas.

* Ke-11, bertemu dengan tuan rumah sebelum pulang dan mengucapkan terima kasih di atas layanan diberikan. Tegasnya, adab ini perlu dijaga tetamu bagi mewujudkan suasana kondusif dalam tradisi ziarah menziarahi.

Adab sebagai tuan rumah

Di samping itu, sebagai tuan rumah pula, terdapat beberapa adab perlu dijaga antaranya:

* Meraikan tetamu dengan senyuman, ramah dan menjemput mereka masuk ke dalam rumah.

* Menempatkan tetamu pada tempat sesuai di dalam rumah supaya mereka berasa selesa, tidak kekok dan dialu-alukan kehadiran mereka.

* Mengelakkan komunikasi negatif, menyakitkan hati dan mengundang dosa.

* Menjamu tetamu dengan minuman dan juadah bersesuaian dengan kemampuan.

* Tidak menunjukkan reaksi tidak senang dengan kehadiran tetamu.

* Tidak ‘memilih bulu’ melayani tetamu sama ada berdasarkan status sosial, kaya dan miskin, pangkat tinggi dan rendah

Hakikatnya, banyak adab dan amalan wajar diamalkan ketika berziarah. Bagi tuan rumah, mereka perlu sedar kehadiran tetamu membawa berkat dalam kehidupan, maka sewajarnya mereka dimuliakan dengan layanan baik.

Kehadiran tetamu juga memberi peluang kepada tuan rumah meraih pahala. Begitu juga dengan tetamu, mereka perlu menjaga adab dengan tuan rumah dengan sebaiknya supaya ia meninggalkan kenangan baik.

Bagi tetamu, amalkan formula ‘masuk rumah orang ibarat seorang buta dan keluar rumah ibarat seorang bisu’. Pendek kata, jangan bertamu untuk mengintai keburukan dan keaiban tuan rumah yang kemudian dicanangkan kepada pihak lain.

Ini bagi memastikan objektif tradisi ziarah menziarahi pada musim perayaan tercapai, mengukuhkan hubungan persaudaraan dan persahabatan, seiring dengan semangat digalakkan Islam.

Penulis adalah Pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts