Bahasa mencerminkan budaya hidup sesuatu masyarakat, sekali gus menjadi pengukur keperibadian individu. Ia bukan setakat alat berkomunikasi, bahkan mencerminkan akhlak seseorang penutur.
Bahasa baik dan bersopan membawa makna perilaku atau tingkah laku baik dari segi gerak-geri, tutur kata dan sikap. Bahasa boleh dijelmakan dalam pelbagai bentuk seperti tulisan, gambar dan isyarat yang boleh tersebar dengan pantas dalam pelbagai media sosial.
Bahasa boleh memberi maklumat dan manfaat kepada masyarakat tetapi ia juga boleh menjadi fitnah serta konfrontasi dalam masyarakat jika tidak menepati realiti.
Sudah menjadi tradisi Islam, ulama sufi memberi peringatan untuk menjaga lidah. Pada hari ini, di samping menjaga lidah, masyarakat perlu menjaga jari-jemari yang menjadi alat penulisan dalam media sosial.
Secara verbal mungkin masyarakat berasa berat menuturkan bahasa tidak baik, sebaliknya melalui penulisan, mereka bebas dan lancar mengungkapkan sesuatu tersirat dalam pemikiran tanpa berfikir panjang dan malu dengan tindakan berkenaan.
Justeru, media sosial menjadi wadah bagi meluahkan perasaan dan pemikiran yang negatif.
Abu Hurairah RA pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya si fulan rajin solat sunat malam, puasa pada siang hari, mengerjakan pelbagai kebaikan dan bersedekah. Pada masa sama, dia suka mengganggu jiran dengan bahasanya?”
Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Tiada kebaikan padanya, dia termasuk penghuni neraka.” Mereka bertanya lagi: “Sesungguhnya si fulan (lain) mengerjakan hanya solat wajib dan bersedekah dengan sepotong keju, namun tidak pernah mengganggu seorangpun?
Rasulullah SAW bersabda: “Dia termasuk penghuni syurga.” (Hadis Riwayat Bukhari dalam al-Adab al-Mufrod)
Pada hari ini, dosa bahasa banyak digantikan dalam bentuk tulisan kadang-kala lebih kesat, buruk, penuh dengan tohmahan, adu domba, umpatan, kejian dan fitnah yang lebih mudah ditularkan dalam media sosial.
Ingatlah amaran Allah SWT kepada pengumpat, pembuat fitnah dan pencela dalam surah al-Humazah: “Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji.”
Menurut Abu Hayan dalam Tafsir al-Bahrul Muhith, perkataan ‘lumazah’ bererti hinaan dengan isyarat mata, tangan dan sebagainya.
Bertolak daripada balasan disebutkan ini, marilah kita sama-sama memelihara bahasa dengan tidak mengira bentuk penyampaiannya sama ada secara verbal atau tulisan. Dosa bahasa lisan mungkin hanya didengar beberapa orang sahaja, namun dosa tulisan berkekalan dan tersebar meluas ke seluruh dunia tanpa sempadan.
Abu Hurairah RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Siapa beriman kepada Allah dan Hari Akhir, hendaklah berkata baik atau diam. Siapa beriman kepada Allah dan Hari Akhir, hendaklah memuliakan jirannya. Siapa beriman kepada Allah dan Hari Akhir, hendaklah memuliakan tetamunya.” (HR Bukhari dan Muslim)
Islam ialah agama rahmat kepada umatnya yang mengajar mereka tidak menyalahgunakan bahasa seperti mengumpat, membuka aib, atau memfitnah orang lain. Siapa menutup aib saudaranya sesama Muslim, nescaya Allah SWT akan menutup aibnya di dunia dan akhirat.
Rasulullah bersabda: “Sesiapa menutupi aib seorang Muslim, maka Allah akan menutupi aib orang berkenaan di dunia dan akhirat.” (HR Ibnu Majah)
Orang gemar membicarakan keaiban orang lain, sebenarnya tanpa disedari sedang memperlihatkan keperibadiannya sendiri. Semakin banyak aib disebarkan, semakin jelas keburukan diri si penyebar.
Allah SWT mengingatkan golongan ini dengan firman-Nya: “Sesungguhnya orang suka menghebahkan tuduhan buruk dalam kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” (An-Nur: 19)
Berhubung penjagaan bahasa, Allah SWT memberi panduan dengan menggambarkan bahasa sebagai sepohon kayu subur. Akarnya padat dan kuat mencengkam bumi dan dahannya rendang menegak ke langit serta mengeluarkan buah baik untuk kebaikan makhluk di dunia.
Firman Allah: “Tidakkah engkau melihat bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu kalimah baik adalah sebagai sepohon baik, akar tunjangnya tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buahnya pada setiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah membuat perbandingan itu untuk manusia supaya mereka beringat.
“Dan perbandingan kalimah buruk seperti pohon tidak berguna yang terjungkit akar-akarnya dari bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup.” (Ibrahim: 24-26)
Perkara perlu terdapat dalam bahasa ialah realiti jujur. Ini bermakna setiap bahasa dituturkan hendaklah menepati sesuatu realiti atau fenomena benar serta jelas dengan hakikat berlaku, sekali gus memberi maklumat.
Peribahasa Melayu ada menyebut, kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
Penulis adalah Profesor Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) – Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)