JAIS tidak kompromi isu rasuah babit guru KAFA

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak berkompromi sekiranya terdapat guru Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) di negeri ini yang terbabit dalam gejala rasuah.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, perbuatan rasuah dan salah guna kuasa tidak seharusnya berlaku di JAIS yang merupakan agensi kerajaan negeri bagi menguruskan hal ehwal Islam.

Menurutnya, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyanjung tinggi prinsip integriti dan ketulusan perkhidmatan awam di negeri ini.

“Baginda dukacita dengan perlakuan rasuah, pelanggaran peraturan atau undang-undang sekiranya ada mana-mana penjawat awam terbabit dalam isu rasuah.

“Dari segi prinsipnya, mana-mana guru KAFA didapati bersalah mengamalkan rasuah perlu menerima hukuman sewajarnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Bagaimanapun, Mohd Shahzihan berkata, orang awam dinasihatkan tidak membuat sebarang telahan selagi individu itu masih disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita menjunjung prinsip ketulusan dalam proses siasatan dan dalam undang-undang seseorang itu tidak bersalah sehingga dia dibuktikan bersalah,” katanya.

Pada 15 Mac lalu, dua guru termasuk seorang guru besar sebuah Sekolah Rendah Agama (SRA) direman bagi membantu siasatan berhubung kes berkomplot dalam rasuah projek naik taraf 27 bangunan SRA. – Sinar Harian


www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts