JAKIM hulur bantuan pusat pengajian Islam terjejas banjir

RANTAU PANJANG: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyampaikan sumbangan bernilai RM146,000 kepada 200 mangsa banjir serta pengurusan pondok yang terkesan bah di sekitar Rantau Panjang.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Ruslan Said, berkata sumbangan berkenaan adalah di bawah agensi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang diselaras oleh JAKIM termasuk Lembaga Tabung Haji, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Al Hijrah Media Corporation serta Yayasan Taqwa.

Katanya, sudah menjadi tanggungjawab JAKIM untuk membantu mangsa banjir di seluruh negara melalui pelbagai sumbangan dengan tujuan meringankan beban penduduk yang terjejas dengan fenomena Monsuk Timur Laut (MTL).

“Kali ini kami menyantuni mangsa khususnya di Rantau Panjang yang sedia maklum paling terkesan dengan banjir dengan membawa sumbangan seperti wang tunai, barangan kering, peralatan kebersihan serta beg sekolah khusus buat anak-anak.

“Manakala, sembilan buah pondok dan pusat tahfiz yang turut dilanda banjir menerima sumbangan wang tunai dengan nilai berbeza mengikut keperluan di tempat masing-masing.

“Sumbangan ini disampaikan setiap kali berlaku bencana di seluruh negara dengan objektif meringankan beban mangsa serta sebagai bukti kecaknaan kerajaan terhadap mereka yang terkesan dengan banjir,” katanya dalam sidang media di Program Misi Bantuan Banjir di Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra, di sini, hari ini.

Ruslan berkata, pihaknya akan meneruskan misi bantuan kepada mangsa banjir di Terengganu bermula esok dengan tujuan serta misi yang sama.

“JAKIM sentiasa peka untuk membantu kebajikan mangsa banjir selain mengharapkan agar keselamatan penduduk terus terjaga bagi mengelak daripada sebarang musibah yang tidak diingini.

“Kami bersedia menghulurkan bantuan sejajar dengan tanggungjawab JAKIM yang bukan sahaja menggubal dan menyeragamkan undang-undang syarak di Malaysia, tetapi berperanan membantu rakyat dalam apa situasi sekali pun.

“Malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar, sendiri turun padang sebelum menyantuni mangsa banjir,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts