JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengeluarkan Kit Panduan Sambutan Aidilfitri di Rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Kit itu mengandungi amalan yang dituntut dilakukan umat Islam ketika menyambut Aidilfitri.
Ketua Pengarah Jakim Datuk Paimuzi Yahya berkata, ia susulan sambutan Aidilfitri tahun ini berlangsung dalam tempoh PKPB dan pengumuman kerajaan yang menyarankan umat Islam supaya menyambut Aidilfitri secara sederhana dengan mengutamakan amalan dituntut dalam syariat Islam saja.
“Amalan sambutan perayaan yang berbentuk tradisi boleh ditangguhkan demi menjaga keselamatan dan kesihatan yang lebih utama.
“Kit ini mempunyai panduan umum sambutan Aidilfitri seperti amalan sunat dan wajib sempena hari raya, panduan takbir, solat dan khutbah hari raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Paimuzi berkata, ia boleh dimuat turun dari portal rasmi Jakim, www.islam.gov.my atau klik di pautan bit.ly/KitRayaJAKIM
Antara yang dikongsi di dalam kit berkenaan termasuk khutbah hari raya yang disampaikan seperti biasa sebelum ini.
Khutbah di rumah, tidak perlu kepada mimbar dan tongkat, memadai kerusi atau tempat duduk bagi imam duduk sebentar antara dua khutbah.
Sementara, teks khutbah boleh di muat turun melalui portal Jakim di www.islam.gov.my atau portal Jabatan Agama Islam Negeri-negeri (JAIN) di seluruh Malaysia.
Selain itu kit itu juga menyentuh mengenai prosedur operasi standard (SOP) ziarah yang dihadkan hanya pada hari raya pertama saja dan membabitkan ahli keluarga terdekat saja dan tidak melebihi 20 orang sehari mengikut saiz kediaman.
Jakim juga mengingatkan umat Islam supaya sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan dan amalan kesihatan seperti penggunaan pelitup muka dan pensanitasi tangan.
“Sentiasa menjaga penjarakan sosial satu meter dan manfaatkan teknologi maklumat (IT) bagi menggantikan amalan ziarah menziarahi,” katanya. – hmetro
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)