SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bertitah mengingatkan rakyat di negeri ini mempelajari dan mendalami sejarah agar dapat menghargai pengorbanan besar anggota-anggota pasukan keselamatan negara.
Dalam masa sama, baginda juga mengingatkan rakyat negeri itu jangan keliru dengan fakta sejarah hingga mengagung-agungkan perjuangan Parti Komunis Malaya.
Berikut titah ucapan Sultan Selangor sempena Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-74.
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdullilah, Beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnia dan rahmatNya, Beta dapat meraikan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Beta yang ke 74.
Pada tahun ini genaplah 18 tahun pemerintahan Beta sebagai Sultan di negeri Selangor ini dan 43 tahun sebagai Raja Muda Selangor.
Sepanjang tempoh pemerintahan Beta, Beta telah melihat pembangunan negeri Selangor bermula sebagai sebuah negeri yang sederhana pembangunannya kemudiannya dibangunkan secara terancang dan berkembang menjadi sebuah negeri yang pesat membangun sehingga menjadi sebuah negeri termaju di Negara ini.
Beta amat berbangga dengan kepesatan perkembangan ekonomi dan infrastruktur di Negeri Selangor serta pembangunan perumahan yang dapat memberikan kehidupan yang selesa kepada rakyat Beta.
Beta percaya kejayaan yang dicapai ini adalah hasil usaha cemerlang pihak kerajaan khususnya kerajaan negeri Selangor, penjawat awam serta sumbangan rakyat yang bekerja di Negeri Selangor secara berterusan.
Beta sentiasa mengharapkan agar segala kemajuan dan kemakmuran yang telah dicapai oleh Negeri Selangor ini akan dapat berterusan dinikmati oleh rakyat. Adalah diharapkan pemimpin masyarakat dari semua peringkat dapat berkerjasama dalam menjalankan tugas dengan penuh jujur dan keikhlasan.
Beta juga mengharapkan agar kerajaan negeri Selangor serta penjawat awam hendaklah sentiasa berkhidmat dengan cekap dan amanah serta sentiasa meletakkan kemakmuran rakyat sebagai matlamat utama.
Sepanjang pemerintahan Beta, Beta juga dapat melihat rakyat Negeri Selangor hidup di dalam suasana kehidupan yang aman dan harmoni.
Sikap bersefahaman dan tolak-ansur antara berbilang kaum yang diamalkan selama ini membolehkan rakyat berkongsi kehidupan di dalam suasana yang tenteram di negeri Selangor yang permai ini.
Perpaduan antara kaum ini amat Beta titikberatkan. Beta ingin melihat rakyat Beta hidup aman damai dengan semangat muhibbah yang tinggi antara kaum yang berlainan bangsa dan agama.
Beta sedar bukan mudah untuk kita membina satu bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu-padu kerana ianya memerlukan pengorbanan yang tinggi dari setiap individu masyarakat.
Untuk kita terus mengecapi perpaduan yang harmoni di kalangan masyarakat berbilang bangsa ini, Beta menyeru agar rakyat berterusan menjalinkan sikap hormat-menghormati antara satu sama lain.
Kita perlu sentiasa memelihara sensitiviti kaum dan tidak mencampuri urusan sesuatu kaum yang lain khususnya apabila melibatkan isu-isu keagamaan.
Keharmonian akan sentiasa terpelihara sekiranya rakyat yang menganut pelbagai agama ini tidak mencampuri urusan agama penganut agama yang lain.
Janganlah perpaduan yang telah kita bina bersama sejak sekian lama ini kita runtuhkan hanya kerana kita mempunyai perasaan syak wasangka antara satu sama lain dan hilang rasa hormat sesama kita yang berlainan agama dan bangsa ini.
Untuk membina sebuah Negara yang berteraskan perpaduan yang utuh, ianya memakan masa yang begitu lama untuk dibentuk, namun jika kita tidak berhati-hati dan mengamalkan sikap bermusuhan antara satu sama lain, Negara akan musnah dan hancur di dalam sekelip mata sahaja.
Di sini Beta ingin menegaskan bahawa di dalam kita meraikan perpaduan yang sedia ada kita tidak boleh sama-sekali melupakan sejarah pembentukan Negara kita.
Beta menyeru kepada semua rakyat Beta untuk belajar sejarah secara mendalam tentang pembentukan Negara dan mengetahui fakta sejarah yang sebenar.
Rakyat di Negara ini perlu tahu sejarah kerana dari sejarah yang pernah dilalui oleh Negara ini, kita boleh menjadikan fakta sejarah itu sebagai panduan kita bagi mencapai kehidupan yang lebih baik dan sempurna.
Tanamkan sikap minat membaca buku-buku yang berteras sejarah Negara agar kita lebih menghargai kehidupan kita di Negara ini.
Beta percaya rakyat di Negara ini masih ingat kepada sejarah hitam Negara tatkala rusuhan kaum yang berlaku pada peringkat awal kemerdekaan Negara.
Pada ketika itu kehidupan rakyat Negara ini berada di dalam keadaan yang amat perit dan huru-hara. Ekonomi Negara juga terjejas teruk akibat rusuhan kaum yang berlaku.
Rakyat Beta tentu tidak mahu peristiwa hitam ini tercetus semula. Oleh itu jadikanlah detik hitam ini sebagai panduan kita agar kita tidak mengulangi kesilapan kita dahulu dan memperbaiki hubungan antara kaum ke arah yang lebih baik dan harmoni.
Kita perlu berhati-hati di dalam kita memberikan pandangan dan pendapat kita. Jika kita ingin memberi sesuatu pandangan perlulah dilakukan secara berhemah dan berperaturan tanpa perlu mempersoalkan apa yang telah dipersetujui dan termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kita perlu memelihara hati dan perasaan antara kaum agar setiap yang kita tuturkan tidak akan menyakitkan hati mana-mana pihak.
Melalui fakta sejarah juga kita dapat menghargai pengorbanan yang begitu besar yang telah dilakukan oleh anggota-anggota pasukan keselamatan Negara samada pasukan PDRM atau pasukan tentera kita terutamanya ketika Negara diancam dengan ancaman Parti Komunis Malaya pada sekitar tahun 40an hingga 70an.
Begitu ramai pasukan keselamatan kita yang telah terkorban di dalam mempertahankan kedaulatan dan maruah Negara kita dari anasir komunis ini.
Di samping itu, ramai rakyat Negara ini yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain juga turut terkorban akibat serangan pengganas komunis. Kehidupan rakyat pada ketika itu sentiasa di dalam ketakutan akibat serangan yang dilakukan oleh anggota Parti Komunis Malaya ini.
Banyak perkampungan dan balai polis telah diserang dan rakyat dan anggota polis dibunuh dan diseksa oleh anggota Parti Komunis Malaya ini.
Perjuangan Parti Komunis Malaya ini walaupun dikatakan turut menentang penjajahan, namun perjuangan ideologi mereka bukan berlandaskan kepada konsep pembentukan sebuah Negara Malaysia yang merdeka berteraskan demokrasi Raja Berperlembagaan.
Fakta perjuangan ideologi Parti Komunis Malaya ini merupakan satu fakta sejarah yang perlu rakyat generasi sekarang memahaminya dengan mendalam agar kita tidak terpesong dengan fakta-fakta yang mengelirukan tentang perjuangan mereka.
Beta berharap janganlah hendaknya ada rakyat Beta yang masih terkeliru dengan fakta sejarah yang sebenar berkaitan perjuangan Parti Komunis Malaya ini sehingga mengagung-agungkan pemimpin-pemimpin mereka.
Tidak ketinggalan juga Beta menegaskan dan menasihati pemimpin-pemimpin politik di negeri Selangor ini agar sentiasa mengambil berat tentang kebajikan rakyat dan menjadikan kepentingan rakyat sebagai satu keutamaan di dalam urusan pentadbiran kerajaan.
Sejak kebelakangan ini rakyat menderita dengan kesempitan hidup akibat dari kenaikan harga barangan dan kos kehidupan yang semakin meningkat dari hari ke sehari.
Beta menyeru kepada pemimpin politik ini untuk turun bersama rakyat bagi melihat masalah rakyat dan berusaha keras ke arah membantu mereka terutama mereka yang berpendapatan rendah dan miskin.
Beta sebagai Sultan di Negeri Selangor mengambil berat terhadap kesejahteraan rakyat Beta dan sentiasa inginkan rakyat Beta dapat hidup dengan aman dan harmoni.
Akhir kata, Beta mengucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan terutama kepada pihak polis dan tentera kerana telah menjalankan tugas-tugas untuk menjaga keselamatan dan keamanan Negara khususnya negeri Selangor dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab.
Beta menyeru kepada pasukan keselamatan supaya terus menjalankan tanggungjawab tersebut dengan baik dan melipat gandakan usaha agar kadar jenayah dapat diturunkan dan ancaman luar dapat dihapuskan.
Beta juga menyeru kepada rakyat di negeri Selangor ini supaya bekerjasama dalam memberikan maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah kepada pasukan keselamatan agar mereka dapat menjalankan tugas dengan lebih lancar dan sempurna.
Beta berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wa Taala agar Negeri Selangor dan rakyat yang Beta kasihi sentiasa dipelihara dari sebarang mala petaka dan musibah. – Astro Awani
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)