KOTA BHARU – Dari aspek sejarah, Perlembagaan, undang-undang dan polisi, Malaysia adalah negara Islam, bukannya sekular seperti yang didakwa segelintir pihak, demikian tegas Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni.
Buktinya, beliau berkata, sesiapa sahaja pelancong atau orang luar datang ke negara ini, mereka tidak menolak untuk mengatakan Malaysia negara Islam.
“Bila orang luar datang, mereka sendiri dapat rasa ini negara Islam, keluar sahaja dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), mereka akan lihat masjid, surau. Bila buka televisyen, mereka akan dengar azan, tazkirah dan kuliah agama.
“Mereka lihat sendiri orang Islam menutup aurat, banyak restoran makanan halal, mereka akan tengok syiar-syiar Islam.
“Jika datang waktu perayaan, mereka akan lihat penyembelihan korban…orang boleh rasa denyut nadi Islam itu di negara ini. Sebab itu kalau kita sendiri yang nafikan ini negara Islam, kita memang rugi,” katanya dalam satu sesi ceramah bertajuk ‘Malaysia Negara Islam’ di Masjid Sultan Ismail Petra di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Ustaz Fauzi berkata, Malaysia sebagai negara Islam juga disebut jelas dalam Perlembagaan, yang mana termaktub Islam adalah agama Pesekutuan.
Katanya, hakikat yang perlu diketahui, kedudukan Islam berjaya dipertahankan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan, sehingga membentuk Islam sebagai agama Persekutuan tanah air.
“Perkara itu tiada dalam mana-mana Perlembagaan di negara yang pernah dijajah British. Misalnya British menjajah India, British menjajah banyak negara lain, bila digubal Perlembagaan, tiada perkataan Islam sebagai agama Persekutuan, yang ada hanya di Tanah Melayu dan juga di Brunei.
“Jika kita lihat, kedudukan Islam itu berjaya dipertahankan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan dahulu ketika penggubalan Perlembagaan, sehingga akhirnya termaktub dalam Perlembagaan itu, apa yang disebut sebagai Islam agama Persekutuan,” katanya.
Justeru, Ustaz Fauzi berkata, sekiranya orang Melayu Islam itu sendiri membuang identiti Malaysia sebagai negara Islam atau menidakkannya, dan mendakwa tanah air ini negara sekular, mereka sebenarnya telah membuka ruang kepada pihak tertentu untuk menghakis sedikit demi sedikit identiti negara.
“Kita (di Malaysia) sebenarnya telah mencapai satu tahap, yang sebenarnya dicemburui oleh banyak negara umat Islam yang lain. Maka, janganlah kita berlonggar dalam isu tersebut.
“Akuilah Malaysia negara Islam, walaupun tidak sempurna kita perlu sempurnakan. Bidang kuasa yang ada kita kena pertahan, perkukuhkan. It roh dan semangat kita,” katanya. – ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)