Jangan cepat jatuhkan hukum

 

Pada bulan Ramadan setiap tahun, masjid-masjid akan menyampaikan sumbangan kepada fakir miskin dan mereka yang memerlukan. Sumbangan ini sama ada dari masjid itu sendiri atau dari Pusat Zakat. Selalunya satu majlis akan diadakan. Ketika saya menjadi wakil rakyat dahulu, saya kerap dijemput ke majlis seperti itu untuk memberi ucapan dan menyampaikan sumbangan.

Ketika majlis penyampaian tersebut, kadang-kala terdetik juga di hati-hati kami yang hadir untuk bertanya, “Betulkah mereka fakir miskin?” Pertanyaan ini timbul kerana ada yang pakaiannya tidak seperti fakir miskin. Walaubagaimanapun, tidak wajar untuk membuat apa-apa rumusan berdasarkan pakaian di badan mereka. Sudah tentu mereka akan mengenakan pakaian yang terbaik kerana hadir di satu majlis yang besar. Mungkin majlis terbesar yang mereka hadiri pada tahun itu. Adakah kita mahu mereka berpakaian yang paling buruk atau yang koyak rabak semata-mata kerana mereka adalah fakir miskin? Mungkin itu sahaja pakaian terbaik yang mereka miliki. Mungkin juga pakaian itu dipinjam, diberikan kepada mereka atau dibeli dengan harga yang murah dari kedai “bundle”.

Justeru itu, tidak wajar untuk menjatuhkan hukum jika kita tidak mengetahui kisah yang sebenar. Pakaian, peralatan yang dimiliki seperti telefon bimbit, kenderaan yang digunakan atau kediaman yang didiami tidak dapat memberi gambaran yang tepat kedudukan kewangan seseorang. Ketika pandemik COVID-19, ramai yang memohon bantuan sama ada bantuan kewangan atau bantuan bahan makanan asas. Kalau kita hanya menilai seseorang secara luaran mungkin lebih separuh yang memohon akan ditolak. Kita tidak akan dapat merasakan kesusahan yang dihadapi sehingga kita berada di kedudukan mereka.

Dari pengalaman saya, adalah lebih baik tersilap memberi bantuan kepada seorang yang tidak layak dari menahan bantuan untuk mereka yang amat memerlukan. Memberi bantuan kepada yang tidak layak tidak akan memudaratkan sesiapa, tetapi menahan bantuan mungkin bermakna satu keluarga akan terpaksa berlapar. Mereka yang mengendalikan pengagihan sumbangan perlu memudahkan urusan dan bukan menyulitkan. Kebanyakan dari mereka mungkin berusaha untuk memastikan seramai mungkin yang menerima, tetapi mungkin ada yang terlalu berhati-hati sehingga ada yang tercicir.

Rasulullah ﷺ telah bersabda yang diriwayatkan oleh Imam Muslim bermaksud: “Barangsiapa mempermudah kesulitan orang lain, maka Allah akan mempermudahkan di urusannya di dunia dan akhirat”. Sentiasa ingat hadith ini apabila kita memegang kuasa atau bertanggungjawab mengagihkan bantuan.

Tidak dapat dinafikan pandemik ini telah menyebabkan ramai yang ditimpa kesusahan akibat kesannya terhadap ekonomi. Ia lebih buruk daripada krisis kewangan atau kemelesetan ekonomi yang pernah kita alami sebelum ini. Walaubagaimanapun, tahap kesusahan yang perlu diharungi rakyat adalah berbeza-beza. Contohnya mungkin ada yang merasa susah kerana terpaksa menjual kereta mewah buatan Jerman mereka dan hanya memakai kereta buatan Malaysia.

Mungkin ada juga yang terpaksa menjual kereta buatan Malaysia mereka dan hanya menaiki motosikal. Mungkin ada pula yang terpaksa menjual motosikal mereka dan hanya menaiki bas. Ini adalah dilema yang dihadapi oleh mereka yang membuat keputusan, untuk menentukan siapa yang layak.

Baru-baru ini, Menteri Kewangan memberitahu bahawa 80 peratus dari mereka yang mengambil pinjaman bank dapat membayar pinjaman tersebut menurut jadual. Justeru itu, tidak perlu penangguhan pembayaran secara menyeluruh ( blanket moratorium ).

Saya tidak berniat untuk mempertikaikan statistik 80 peratus yang diberikan oleh menteri, tetapi mahu beliau memahami apa yang perlu dikorbankan oleh mereka untuk memastikan pinjaman mereka dapat dibayar. Mereka yang mempunyai pinjaman sudah tentu akan sedaya upaya membayar sebarang asuran bulanan kerana bimbang rumah mereka akan dilelong atau kenderaan mereka akan dirampas. Tetapi, dengan keadaan kewangan semasa adakah mereka dapat terus hidup dengan normal?

Apakah yang mereka perlu korbankan untuk terus membayar balik pinjaman? Ia tidak akan menjejaskan kehidupan harian keluarga jika tidak melibatkan perbelanjaan yang kritikal.

Tetapi, sudah tentu ia akan menimbulkan kemudaratan jika ia adalah perbelanjaan untuk makanan asas harian, pendidikan anak-anak atau perubatan keluarga. Bagaimana jika sebuah keluarga terpaksa makan sekali sehari jika mahu terus membayar pinjaman bank?

Apakah kesannya kepada anak-anak mereka yang membesar? Atau mereka terpaksa sekadar menelan Panadol dan tidak berjumpa doktor apabila jatuh sakit. Atau anak-anak tidak dapat mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah ( PdPR ) sepenuhnya kerana tidak mampu membeli data untuk telefon bimbit. Perkara-perkara ini perlu diambil kira. Menteri perlu meletakkan diri mereka pada kedudukan rakyat biasa untuk memahami masalah yang mereka hadapi. Statistik di atas kertas tidak akan dapat memberi gambaran yang tepat.

Memang benar terdapat ramai yang bermurah hati ketika pandemik dan bersedia menghulurkan sumbangan. Rakyat Malaysia memang prihatin. Mereka yang memungut derma sudah tentu menyedarinya sama ada kaya atau miskin sama-sama membantu. Ada yang membantu kerana bersyukur di atas rezeki yang diterima dan mahu berkongsi dengan orang lain. Ada pula yang membantu kerana memahami erti susah dan tidak mahu orang lain juga susah. Tetapi, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing terutamanya yang memiliki untung berbilion ringgit setahun.

Datuk Iskandar Abdul Samad
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts