Jangan nafikan hak wanita bertudung ketika bekerja: WAFIQ

 

BARU-BARU ini kita menyaksikan perdebatan di Dewan Rakyat mengenai hak wanita Islam untuk bertudung di tempat kerja.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Hajah Siti Zailah Mohd Yusoff, bangkit dan mengetengahkan dengan beraninya satu isu yang telah lama kita perkatakan iaitu hak wanita, khususnya yang bekerja dalam sektor penerbangan sebagai pramugari, agar mempunyai pilihan untuk memakai tudung ketika bekerja.

Pada awalnya, isu ini telah disuarakan oleh bekas Ahli Parlimen Kota Raja, Siti Mariah Mahmud dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pada sesi Parlimen lalu, dengan harapan supaya ianya mencapai penyelesaiannya melalui pembentukan kerajaan baru.

Namun, lidah jahat sesetengah media serta respon beberapa orang Ahli Parlimen amat mengecewakan apabila isu ini diputarbelitkan dan natijahnya – satu polisi yang menurut mereka ‘memaksa’ semua wanita untuk mengenakan hijab.

Mereka terdiri daripada pejuang yang aktif serta konsisten dalam memperjuangkan serta mengadvokasikan hak-hak asasi manusia untuk memperkasakan hak masyarakat yang dipinggirkan serta menghapuskan segala bentuk diskriminasi terhadap wanita berpandukan Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW).

Hakikatnya, apabila idea untuk mempertimbangkan pemakaian tudung bagi wanita di tempat kerja diketengahkan di Parlimen, mereka kaku, kelu dan senyap. WAFIQ berpandangan perbuatan mereka ini jelas memperlihatkan hipokrasi dan satu bentuk percanggahan kognitif (cognitive dissonance) di antara mereka.

Pejuang hak asasi manusia sering memetik artikel-artikel daripada Deklarasi Hak Asasi Manusia (UDHR) sehingga terlupa bahawa prinsip syarak adalah lebih utama bagi seorang muslim. Oleh itu, kami ingin memetik Artikel 18 dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia untuk rujukan semua:

“……dan kebebasan, sama ada secara bersendirian atau secara bersama-sama dengan orang-orang lain dan secara terbuka atau bersendiri, menganuti agama atau kepercayaannya melalui pengajaran, amalan, pemujaan dan pematuhan.”

Hak asasi manusia membenarkan agama diamalkan dan dimanifestasikan dalam suasana awam mahupun peribadi. Hal ini termasuk pemakaian hijab oleh wanita Islam sebagai satu bentuk pemanifestasian seorang Muslim adalah hak seorang wanita seperti yang dimandatkan dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia.

Bukankah kita sedang memperjuangkan untuk menghapuskan apa jua bentuk diskriminasi dan untuk memperkasakan wanita agar mereka juga mempunyai hak untuk memilih?

Hari ini kita diperlihatkan, lebih ramai golongan feminis yang giat mengadvokasi agar wanita mempunyai hak untuk memakai apa jua jenis pakaian mengikut kehendak mereka. Namun, mengapakah pemakaian hijab tidak termasuk dalam perjuangan ini?
Jelaslah, ia memperlihatkan percanggahan dalam prinsip golongan feminis dalam kerja-kerja pengadvokasian dan pemerkasaan wanita.

Menyelusuri komen-komen netizen terhadap isu ini, seorang netizen yang digelar Ria Rz di halaman Facebook menyatakan bahawa anak-anak kapal telah memperjuangkan hak mereka secara berterusan bertahun-tahun lamanya untuk mempunyai pilihan memakai tudung ketika bekerja, namun tiada hasil yang memberangsangkan.

Pihak kami tertanya-tanya, mengapakah perjuangan ini tidak didengari oleh pihak pengurusan syarikat? Adakah pemakaian hijab akan mengurangkan produktiviti anak-anak kapal wanita ketika bekerja, walaupun mempunyai pengalaman yang luas dan bertahun-tahun lamanya dalam bidang pramugari?

Selain itu, pada awal tahun yang lalu, kita telah menyaksikan satu laporan yang menggemparkan negara dan mendedahkan bahawa wanita yang berhijab sering didiskriminasi dan ditolak untuk bekerja dalam sektor pelancongan dan hospitaliti, terutama sebagai barisan hadapan (frontliners), walaupun mempunyai kompetensi dan kelayakan hanya kerana mereka memilih untuk bertudung.

Wanita diarahkan untuk mematuhi polisi syarikat supaya menanggalkan tudung, walaupun mereka mempunyai hak untuk memakainya ketika bekerja.

WAFIQ sentiasa memperjuangkan hak wanita bertudung ketika bekerja. Ini kerana, WAFIQ percaya bahawa wanita akan diperkasakan sepenuhnya apabila mereka mempunyai pilihan untuk memakai tudung ketika bekerja tanpa mengira latar pekerjaan mereka.

WAFIQ tidak percaya terhadap objektifikasi wanita melalui pemakaian yang mencolok mata. Oleh itu, WAFIQ menyeru agar syarikat penerbangan Malaysia supaya mencontohi syarikat penerbangan nasional Hong Kong, Cathay Pacific, yang telah memutuskan untuk mengakhiri peraturan pemakaian skirt bagi staf wanita beruniform dan membenarkan mereka mengenakan seluar.

Sejak tahun 2014, anak-anak kapal wanita Cathay Pacific telah menyuarakan permohonan pengubahsuaian uniform mereka. Ini kerana anak-anak kapal wanita merasakan bahawa diri mereka terdedah kepada gangguan seksual, dek kerana pemakaian skirt pendek.

Sehubungan itu, Kami menggesa pihak kerajaan serta jabatan-jabatan berkaitan agar meneliti isu ini.

Sesungguhnya, kita hidup dalam sebuah negara yang mengangkat Islam sebagai agama Persekutuan. Oleh itu, mana-mana polisi syarikat hendaklah menghormati Perlembagaan Persekutuan dan membenarkan wanita bebas memakai tudung ketika bekerja.
Jika. polisi pemakaian syarikat mengongkong cara wanita berpakaian di tempat kerja dan menghalang kebebasan mereka memilih untuk memakai tudung, bagaimanakah dapat kita memperkasakan hak wanita Islam di Malaysia?

Menafikan pemakaian tudung dalam mana-mana sektor pekerjaan adalah diibaratkan sebagai menafikan hak wanita untuk bekerja dan menyumbang kepada negara di samping menghormati kepercayaannya.

Oleh yang demikian, barisan Ahli Parlimen wanita – kerajaan mahupun pembangkang – diseru agar berganding bahu dan menggembleng tenaga bagi menyelesaikan isu ini buat selama-lamanya.

Amal Annuar
Ahli Exco
Ikatan Wanita Antarabanga Bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts