1. Agama ini adalah nasihat. Apabila ada orang menasihatkan kita agar menuruti syariat Allah, jangan pula kita persendakan mereka. Ini kerana, kita tidak tahu, perkataan yang kita keluarkan akan memberikan kesan buat diri kita.
2. Al-Imam al-Tirmizi menukilkan sebuah hadith berhubung keperluan menjaga perkataan. Sabda Rasulullah:
إِنَّ الرَّجُلَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ لَا يَرَى بِهَا بَأْسًا يَهْوِي بِهَا سَبْعِينَ خَرِيفًا فِي النَّارِا
Maksudnya: Seorang lelaki mengucapkan satu kalimah yang dia memandang remeh dengan kalimah tersebut, yang mana perkataan tersebut boleh membawanya kepada tujuh puluh jarak neraka. (HR al-Tirmizi)
2.1 Al-Imam Ali al-Qari pula meriwayatkan hadith berhubung kecaman Rasulullah terhadap mereka yang bercakap bagi tujuan bergurau tanpa menilai dahulu kesan ucapan tersebut barangkali tidak sesuai untuk dijadikan bahan gurauan. Sabda Rasulullah:
إِنَّ الْعَبْدَ لَيَقُولُ الْكَلِمَةَ لَا يَقُولُهَا إِلَّا لِيُضْحِكَ بِهِ النَّاسَ، يَهْوِي بِهَا أَبْعَدَ مَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ،
Seorang hamba mengucapkan perkataan bagi tujuan bergurau (untuk digelak) sedangkan perkataan tersebut boleh membawanya ke neraka yang jarak keduanya antara langit dan bumi. (Mirqa al-Mafatih)
3. Apatah lagi sekiranya perkataan nasihat itu hadir memperingatkan kita tentang syariat Allah. Antara sifat orang beriman adalah, apabila disebutkan kepadanya tentang Allah, hati mereka akan bergetar kebimbangan. Firman Allah:
إِنَّمَا المُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu, apabila sebutkan kepadanya tentang Allah, bergetar hati mereka (kerana takutkan Allah).
4. Sifat orang beriman sangat patuh kepada syariat Allah. Ia tidak sama dengan sifat orang munafiq yang mempersenda syariat Allah dan memandang rendah orang-orang mukmin.
Ketika Perang Tabuk, terdapat sekumpulan munafiq yang mempersendakan orang-orang yang beriman, malah mempersendakan Rasululullah. Apabila perkara ini disampaikan kepada Rasulullah, mereka berkata: Kami hanya bergurau. Lalu Allah turunkan ayat al-Quran menegur sikap mereka. Firman Allah:
وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنْتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ
Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?”
5. Sekiranya kita tidak mampu untuk melaksanakan syariat Allah, jangan pula kita mempersenda orang yang menasihatkan kita tentang syariat Allah.
Semoga Allah membimbing kita semua.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)