‘Jangan tinggal agama’

Kuala Lumpur: Jangan tinggal agama. Itu satu-satunya pesanan ibu kandung Rohana Abdullah, gadis yang dijaga wanita berbangsa Cina, Chee Hoi Lan sejak 22 tahun lalu.

Salimah Osman, 52, berkata, pesanan itu diberikannya kepada Chee, 83, ketika dia terpaksa pulang ke negara asal kerana permit tamat tempoh.

Katanya, dia tidak ada pilihan pada waktu itu kerana tidak mahu disenaraihitamkan kerana tinggal lebih masa di negara ini menyebabkan dia menyerahkan anaknya untuk dijaga wanita terbabit.

“Saya tidak ada jalan lain. Ketika itu, Laoshi (Chee) memberitahu dia sanggup menjaga Rohana kerana saya tiada sesiapa lagi di sini.

“Selepas berfikir, saya setuju. Walaupun berat hati, saya terpaksa. Apa yang saya pesan ialah jangan tukar agama (anaknya). Itu sahaja,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Salimah berkata, dia kembali semula ke negara ini tidak lama kemudian dan lega selepas mendapati anaknya itu dijaga dengan baik.

Menurutnya, dia berterima kasih kepada Chee kerana menggantikan tempatnya sebagai ibu selama ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Laoshi kerana gantikan tempat saya.

“Apa boleh buat, saya nak datang tengok anak saya selalu pun tak boleh kerana saya bukan orang senang.

“Alhamdulillah, dia sudah besar dan masih kekal di dalam Islam. Terima kasih Laoshi kerana jaga anak saya dengan baik,” katanya.

Menurutnya, selama tempoh itu, dia bimbang jika anaknya bertukar akidah kerana tinggal bersama orang bukan Islam.

Katanya dia hanya mampu berdoa agar kehidupan anaknya dipermudahkan dan dipelihara Allah SWT.

“Emak mana tak sayang anak. Tapi nak buat macam mana, saya mahu bawa dia balik ke Indonesia tak boleh.

“Saya terhutang budi dengan rakyat dan kerajaan Malaysia yang membantu selama anak saya di sini.

“Jika semuanya selesai, saya akan pulang semula ke Bandung, tinggal di sana dan usahakan tanaman kecil-kecilan. Sekurang-kurangnya saya tahu masalah anak saya sudah selesai,” katanya.

Rohana berkata, dia menyayangi kedua-dua ibunya dan berterima kasih kerana mereka memberikan kasih sayang kepadanya.

Katanya, dia berharap dapat membalas jasa kedua-dua mereka selepas ini dan meneruskan kehidupan bersama.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan saya, Laoshi dan ibu.

“Saya mendoakan kebaikan kepada semua pihak juga. Semoga kita semua dipermudahkan urusan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon Batu, Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim berkata, pihaknya sedang menjejaki bapa Rohana yang dikatakan mempunyai alamat terakhir di Taman Koperasi Polis Fasa 2, dekat sini.

Katanya, bagaimanapun usaha itu setakat ini belum berhasil.

“Dengan adanya maklumat mengenai bapanya, ia akan memudahkan urusan nanti,” katanya merujuk kepada usaha mendapatkan kewarganegaraan untuk Rohana. – My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts