Jangan zalimi dan herdik anak yatim

AL-QURAN menyebut perihal anak yatim tidak kurang 22 kali dalam pelbagai konteks. Memberi penekanan dan perintah kepada Muslimin untuk menyantuni, membela dan melindungi anak yatim.


Mereka bukan sahaja kehausan kasih sayang, malah nasib dan masa depan mereka seakan tidak menentu tanpa ada insan yang tampil membantu sebagaimana dituntut agama Islam.


Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Pembangunan Insan Kelantan (PKPIK), Datuk Mohd. Nazry Mohamad Nor berkata, pembelaan bukan hanya mencakupi kesempurnaan fizikal yang cukup setakat memberi makan minum, malah perlu merentasi keperluan rohaniah dan hakikat kesempurnaan hidup duniawi dan ukhrawi.


Menurutnya, perjuangan membela nasib anak yatim termasuk golongan miskin yang dikategorikan sebagai ‘Dhuafat’ merupakan jaminan kerukunan dan kesejahteraan hidup bermasyarakat dalam konteks yang berkemampuan membantu golongan miskin dan yatim.


“Allah melarang manusia berbuat zalim terhadap mereka. Malah, seseorang yang berlaku zalim, tidak menjaga hak dan memberi makan anak yatim dianggap sebagai mendustakan agama sebagaimana termaktubnya firman Allah dalam surah al-Ma’uun ayat 1 hingga 3.


“Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama? Itulah orang yang mengherdik anak yatim dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia baru-baru ini.


Mohd. Nazry berkata, perlunya pembelaan anak-anak yatim turut terkandung dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud; “Aku dan pengasuh anak yatim (kelak) di syurga seperti dua jari ini (Rasulullah SAW menunjuk jari telunjuk dan jari tengah dan merapatkan keduanya.” (Hadis Riwayat Bukhari) dan “Demi yang mengutus aku dengan hak, Allah tidak akan menyeksa orang yang mengasihi dan menyayangi anak yatim, berbicara kepadanya dengan lembut dan mengasihi keyatiman serta kelemahannya.” (Hadis Riwayat At-Tabhrani)


Justeru katanya, penubuhan PKPIK sejak 2008 berusaha memastikan anak-anak yatim dan anak Dhuafat yang hilang pergantungan hidup turut tidak haus akhlaknya, kental dengan amalan agama, mantap pencapaian akademik dan dipenuhi segala keperluan yang sepatutnya.


Menurut beliau, matlamat utama mencapai visi dan misi membela nasib anak yatim terus diusahakan PKPIK yang setakat ini telah menubuhkan 13 rumah anak yatim, pondok warga emas, pusat perlindungan wanita Gua Musang dan sebuah pusat pemulihan akhlak wanita di Pasir Puteh.


“Pembelaan tidak hanya membabitkan anak yatim yang kehilangan ibu bapa malah mencakupi usaha membantu anak-anak keluarga miskin untuk mendapat pembelaan sewajarnya.


“Alhamdulillah, mereka telah mencapai kejayaan kerana ramai yang sudah menjejak kaki ke universiti tempatan dan sebahagiannya ke Universiti al-Azhar.

Mereka mampu berdikari kerana wang yang disedekahkan orang ramai secara individu disimpan di dalam akaun peribadi mereka. Pengurusan PKPIK tidak ganggu hak mereka yang akhirnya boleh dijadikan modal belajar atau memulakan kehidupan baru dalam komuniti,” katanya.


Antara di bawah pengurusan PKPIK adalah 13 rumah anak yatim dan pusat tahfiz di Tumpat, Pasir Puteh, Machang, Pasir Mas dan Bachok yang ketika ini menempatkan 315 anak yatim dan anak dhuafat meneruskan pengajian agama, hufaz al-Quran dan pendidikan akademik di sekolah-sekolah berdekatan.


Mohd. Nazry berkata, di dalam surah al-Maa’uun, Allah SWT jelas menampilkan janji pembalasan dan siksaan neraka terhadap orang yang telah kehilangan kepekaan sosial mereka dalam masyarakat yang berkaitan pembelaan nasib anak yatim dan orang miskin.


“Dengan kehadiran Ramadan, kita kikiskan sikap kikir untuk membantu sesama manusia. Buang sikap kedekut dan bakhil dengan amalan sedekah yang ikhlas. Jangan sesekali mengherdik anak yatim dan tidak memberi makanan kepada fakir miskin,” ujarnya. – Utusan Malaysia

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts