KEMERIAHAN pesta Piala Dunia Qatar 2022 menyaksikan sindiket perjudian dalam talian menjadikan pertandingan berkenaan sebagai lubuk emas mengaut keuntungan mudah dan lumayan.
Dilaporkan, taruhan yang diterima sindiket perjudian mencecah jutaan ringgit ekoran ramai kaki judi terpikat dengan pulangan lumayan yang ditawarkan.
Dengan serendah RM2, taruhan judi dalam talian Piala Dunia boleh dilakukan dan menjanjikan pulangan sehingga 300 peratus. Bertaruh RM2 dapat RM600, tentunya kaki judi akan kabur mata dengan tawaran lumayan ini.
Jika kalah pada permainan kali pertama, kaki judi akan terus menerus mencuba dengan harapan untuk mendapat kemenangan. Apabila ia beroleh kemenangan, ia akan menjadi bertambah seronok dan menjadikan judi itu sebagai sumber pendapatannya pula.
Kalau sudah jadi kaki judi, soal kalah dan rugi tidak menjadi masalah kepada mereka, mereka sanggup bergadai atau berhutang dengan rakan-rakan, saudara-mara dan lebih teruk lagi berhutang dengan along asalkan dapat wang segera untuk dijudikan.
Sepanjang musim Piala Dunia ini, entah berapa banyak barang kemas isteri telah digadaikan si suami yang kaki judi. Sinar Harian pada Isnin juga melaporkan seorang lelaki kini berhutang hampir RM60,000 dengan along gara-gara judi dalam talian Piala Dunia.
Bukan itu sahaja, apabila sudah terlalu ghairah untuk menang, kaki judi ini sanggup pula melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan akidah termasuk berjumpa bomoh untuk meramal pasukan mana yang bakal beroleh kemenangan.
Walaupun agama Islam awal-awal lagi telah mengharamkan judi dan menjelaskan kesan-kesan yang tidak baik daripadanya, tetapi masih ada dalam kalangan orang Islam yang ingkar dan gemar berjudi.
Rasulullah SAW telah mengingatkan, setiap suap yang dimakan daripada sumber yang haram itu, api neraka adalah lebih utama baginya.
Berhati-hatilah dalam mencari rezeki, carilah yang halal. Ingatlah salah satu sumber yang tidak halal itu ialah judi.
Bersyukurlah, walaupun rezeki hanya sedikit, asalkan halal dan mendapat keberkatan daripada ALLAH.
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM