Minggu ini kita dikejutkan dengan satu berita yang sangat menyayat hati & meruntun jiwa, kes 2 beradik yang bergaduh hingga menyebabkan kematian salah seorang daripada mereka.
- Pertamanya, saya mengucapkan takziah kepada ibu bapa & keluarga 2 beradik tersebut. Saya doakan semoga Allah merahmati arwah mangsa si adik & mengampuni segala dosanya. Semoga Allah juga mengampuni si kakak kerana mungkin dia tersalah melakukannya dalam keadaan kemarahan yang sedang menguasai diri.
- Saya doakan juga, semoga Allah SWT kurniakan keredhaan, ketenangan & ketabahan yang tinggi kepada kedua ibu bapa mereka dalam menghadapi ujian yang sangat berat ini.
- Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak, kita serahkan kepada pihak berkuasa menjalankan tugas mereka. Namun, kita sebagai orang Islam diajar supaya sentiasa memerhatikan & mengambil pengajaran daripada setiap peristiwa yang berlaku.
- Berkaitan insiden ini, Islam mengajar kita supaya menjauhi sesuatu yang boleh membahayakan diri & orang sekeliling. Islam melarang kita daripada menghunuskan senjata tajam atau pisau kepada orang lain sama ada secara serius ataupun bergurau serta mengancam perbuatan itu dengan laknat daripada para malaikat.
- Dari Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :
مَنْ أَشَارَ إِلَى أَخِيهِ بِحَدِيدَةٍ فَإِنَّ الْمَلاَئِكَةَ تَلْعَنُهُ حَتَّى وَإِنْ كَانَ أَخَاهُ لأَبِيهِ وَأُمِّهِ
“Barangsiapa mengacukan senjata tajam kepada saudaranya, maka para malaikat akan melaknatnya sehingga dia meninggalkan perbuatan tersebut, walaupun saudara tersebut adalah saudara kandung sebapa dan seibu.” (HR. Muslim, no. 2616)
- Dari Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :
لاَ يُشِيْرُ أَحَدُكُمْ إِلَى أَخِيْهِ بِالسِّلاَحِ فَإِنَّهُ لاَ يَدْرِى أَحَدُكُمْ لَعَلَّ الشَّيْطَانَ يَنْزِعُ فِي يَدِهِ فَيَقَعُ فِي حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ
“Janganlah seseorang diantara kalian mengacukan senjata kepada saudaranya kerana sesungguhnya kalian tidak tahu boleh jadi syaitan meragut (nyawanya) melalui tangannya sehingga mengakibatkannya masuk ke lubang api neraka.” (HR. Bukhari, no. 7072; Muslim, no. 2617)
- Ibnu Hajar RHM mengatakan : “Dalam hadith ini mengandungi larangan daripada semua perkara yang boleh membawa kepada bahaya, walaupun bahaya tersebut belum pasti terjadi, sama ada perkara itu dilakukan secara serius atau bergurau”. (Fath Al-Bari, 13: 25)
- Begitu juga, kita dilarang menakut-nakutkan muslim yang lain dengan apa cara sekalipun.
- Rasulullah SAW bersabda :لاَ يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يُرَوِّعَ مُسْلِمًا
“Tidak halal bagi seorang muslim menakut-nakutkan muslim yang lain.”
[HR. Abu Daud, no. 5004; Ahmad 5: 362. Al-Hafiz Abu Thahir mengatakan bahawa hadith ini hasan.
Semoga kita semua dibimbing & dirahmati oleh Allah SWT. – FB Ustaz Abdullah Hussen
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM