Jauhi sikap ekstrem dan melampau dalam kempen boikot

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Baru-baru ini tular sebuah video berkaitan tindakan beberapa orang individu yang mengaibkan dan mengganggu pelanggan yang sedang menunggu giliran membeli makanan secara pandu lalu (drive thru) di sebuah restoran rangkaian makanan segera yang termasuk dalam senarai syarikat yang diboikot. Selain daripada itu, terdapat juga perkongsian di media sosial memaparkan gambar anjing yang makan di restoran tersebut dengan ulasan yang berbentuk penghinaan terhadap pelanggan. Berdasarkan perkembangan semasa berkaitan isu ini, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil tindakan dengan menahan tiga orang lelaki tempatan kerana didakwa melakukan provokasi dan ugutan terhadap pelanggan di restoran tersebut.[1]

Berkaitan hal ini, kami telah menjelaskan hukum berkaitannya dengan terperinci dalam artikel Bayan Linnas Siri Ke-281: Boikot Ekonomi Sebagai Strategi Melawan Zionis: Nasihat Dan Panduan. Antara nasihat yang ditekankan dalam artikel ini ialah memboikot dengan ilmu dan akhlak, bukan memboikot dengan terburu-buru tanpa berfikir panjang sehingga mendatangkan kemudaratan yang tidak sepatutnya. Selain daripada itu, dinasihatkan juga agar tidak bertindak dengan cara ekstrem dan melulu seperti memaki hamun pekerja di syarikat yang terlibat memandangkan mereka sekadar mencari rezeki, mensabotaj dengan merosakkan infrastruktur atau mengambil gambar pelanggan yang sedang makan dan menularkannya ke media sosial dengan tujuan menjatuhkan imej. Tindakan-tindakan begini adalah di luar batasan akhlak dan undang-undang yang berkuatkuasa di negara ini.

Sikap Ekstrem Dan Melampau Dalam Beragama Bukan Satu Perbuatan Terpuji

            Salah faham yang timbul dalam sesetengah orang adalah mereka menyangka bahawa sikap ekstrem dan berlebihan dalam mengamalkan agama adalah sesuatu yang terpuji. Hal ini dalam semua bentuk termasuk perbuatan seperti ibadah, adat, rutin seharian dan sebagainya. Perbuatan didasari oleh perasaan dan emosi yang membuak-buak untuk menunjukkan ketinggian keberagamaan seseorang berbanding yang lain sehingga menyimpang daripada pertimbangan ilmu yang benar dan akal yang rasional.

Hal ini ditunjukkan dalam satu hadis Nabi SAW yang panjang berkaitan tiga orang Sahabat yang menetapkan perkara yang wajib bagi mereka berdasarkan emosi tanpa berpandukan kepada ilmu dan akal yang benar. Salah seorang daripada mereka ingin mendirikan solat malam dan tidak akan tidur selamanya. Seorang sahabat yang lain pula berazam untuk berpuasa setahun penuh dan tiada hari yang dia tidak puasa. Manakala sahabat yang terakhir pula berazam untuk menjauhkan diri daripada wanita dan tidak berkahwin buat selama-lamanya. Namun Baginda SAW memperbetulkan salah faham mereka yang melampau tersebut dengan bersabda:

أَنْتُم الَّذِينَ قُلْتُم كَذَا وَكَذَا؟ أَمَا وَاللهِ إِنِّي لَأَخْشَاكُم للهِ وَأَتْقَاكُم لَهُ، لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِر، وَأُصَلِّي وَأَرْقُد، وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ، فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي

Maksudnya: Adakah kalian yang berkata begitu dan begini? Bahkan, demi Allah SWT, sesungguhnya aku (Rasulullah SAW) ialah yang paling takut kepada Allah SWT dan paling bertaqwa kepada Allah SWT, namun aku berpuasa kemudian aku berbuka puasa, aku mendiri solat (malam) kemudian aku tidur. Sesiapa yang tidak suka kepada sunnah-ku, maka bukanlah dia daripada (golongan)-ku.

(Riwayat al-Bukhari)

Bahkan sebaliknya Rasulullah SAW menasihati kita agar tidak bersikap melampau dalam beragama dan menegaskan bahawa ia adalah punca binasanya umat-umat terdahulu. Sabda Nabi SAW:

وإياكم والغلو في الدين، فإنما أهلك من كان قبلكم ‌الغلو في الدين.

Maksudnya: Janganlah kamu berlebih-lebihan dalam agama, maka sesungguhnya yang telah membinasakan umat sebelum kamu itu sikap berlebih-lebihan dalam agama.

(Riwayat al-Nasa’ie)

Nabi SAW juga bersabda:

هلك المتنطعون، قالها ثلاثا.

Maksudnya: Celakalah orang yang melampaui batas (Baginda menyebutnya sebanyak tiga kali).

(Riwayat Muslim)

Ini juga sepertimana kata hikmah yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi daripada Sufyan al-Tsauri RA dalam mukaddimah kitabnya, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, bahawa beliau RA berkata:

إِنَّمَا الفِقْهُ الرُخْصَة مِن ثِقَةٍ فَأَمَّا التَشْدِيدُ فَيَحْسُنُهُ كُلُّ أَحَدٍ

Maksudnya: Kefaqihan yang sebenar itu ialah rukhsah yang diberikan daripada seorang yang tsiqah (berilmu). Adapun sikap syadid (keras) pula, setiap orang (awam) sangat baik dalam melakukannya. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1:46)

Bersikap berkeras dan berlebih-lebihan dalam beragama merupakan amalan yang bertentangan dengan roh dan maqasid syarak itu sendiri. Ia bukan lahir daripada ilmu pengetahuan, bahkan ia sebenarnya timbul daripada maklumat sedikit yang didapati secara tidak matang, kemudian diikuti sikap terburu-buru dan semangat yang berkobar-kobar. Sikap ektrem dan melampau ini bukan suatu perbuatan yang terpuji dan tidak dianjurkan oleh Islam. Perbuatan ini terhasil dari kejahilan terhadap agama dan sikap terburu-buru mengikut emosi.

Sikap Berhemah dan Berhikmah dalam Berdakwah

Di samping itu, matlamat yang baik yang ingin dicapai oleh seseorang pelaku tidak menjadikan perbuatan haram yang dilakukannya menjadi halal. Bahkan perbuatan yang haram adalah tetap haram walaupun digunakan untuk mencapai matlamat yang baik. Ini berdasarkan prinsip dan kaedah yang menyebutkan bahawa:

الغَايَةُ لَا تُبَرِّرُ الوَسِيلَةَ.

Maksudnya: Tujuan (yang baik) tidak menghalalkan cara (haram) yang digunakan seseorang.

Justeru itu, niat seseorang untuk menghalang orang ramai membeli daripada restoran yang diboikot dengan menggunakan cara memprovokasi dan mengaibkan pelanggan tersebut adalah suatu perbuatan yang tidak dibenarkan dalam Islam. Rasulullah SAW memerintahkan kita agar berdakwah dan mengajak orang kepada kebaikan dengan cara yang berhikmah dan nasihat yang baik. Firman Allah SWT:

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ

Maksudnya: Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.

(Surah al-Nahl: 125)

Selain itu, seseorang perlulah mempunyai sifat sabar dan tenang kerana kedua-duanya merupakan satu sifat yang mulia dan menjamin keselamatan. Sebaliknya, sifat yang bertentang iaitu tergesa-gesa dan melulu adalah sifat yang tercela dan membawa kepada kecelakaan. Sabda Rasulullah SAW:

التَّأَنِّي مِنَ اللهِ، وَالْعَجَلَةُ مِنَ الشَّيْطَانِ

Maksudnya: Ketenangan datangnya daripada Allah, sedangkan sikap tergesa-gesa itu datangnya daripada syaitan.

(Riwayat al-Baihaqi)

            Oleh yang demikian, cara yang berhikmah dan berilmu serta tenang dalam berdakwah lebih mendekatkan orang ramai kepada kebaikan dan kebenaran. Bahkan sebaliknya jika ditegur dengan keras dan kasar itu akan menyebabkan pelaku-pelaku maksiat lebih cenderung memilih untuk kekal dengan maksiatnya dan menjauhi para pendakwah.

Larangan Sengaja Mencari Kesalahan dan Menyebarkan Aib

Tambahan pula, isu ini juga berkait dengan dua larangan yang lain lagi iaitu perbuatan sengaja mengintip kesalahan orang lain (tajassus) dan menyebarkan aib individu kepada khalayak ramai. Allah SWT menegaskan larangan terhadap perbuatan-perbuatan ini dalam firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

(Surah al-Hujurat: 12)

Menurut al-Baghawi dalam tafsirnya, perbuatan tajassus ini ialah perbuatan sengaja mencari kesalahan dan maksiat orang lain yang tersembunyi. Allah SWT melarang kita untuk melakukan perbuatan yang sedemikian supaya kita tidak menyerlahkan dosa yang Allah SWT tutupnya daripada manusia.Apatah lagi, dalam isu yang diperbincangkan ini, jika ia sesuatu dosa sekalipun maka tidak patut untuk disebarkan dan ditularkan di media-media sosial. Oleh yang demikian, sikap sesetengah pihak yang mengambil gambar dan menyebarkan adalah sesuatu yang dilarang dalam agama. Lebih-lebih lagi apabila ia menimbulkan persepsi yang buruk dan komen-komen yang negatif terhadap individu-individu yang ditularkan tersebut.

Larangan Menghina Dengan Bentuk Memanggil Dengan Panggilan Binatang

Selain itu, sikap menggambarkan pelanggan restoran dengan gambar yang menghinakan seperti anjing dan seumpamanya juga merupakan suatu perbuatan yang dilarang dalam agama. Hal ini sama seperti memanggil pelanggan-pelanggan tersebut dengan panggilan binatang yang digambarkan tersebut. Dalam perkara ini, seorang ulama dalam kalangan tabi’in, Sa’id Ibn Musayyab pernah menyebutkan bahawa:

لا تقل لصاحبك يا حمـار، يا كلــب، يا خنزيـر، فيقول لك يوم القيامة: أتراني خُلقت كلباً أو حماراً أو خنزيراً!

Maksudnya: Jangan kamu berkata kepada sahabatmu: Wahai keldai, wahai anjing, wahai khinzir, kerana kelak akan dikatakan kepadamu pada hari Kiamat, ‘Kamu tahukah siapa yang menciptakan anjing, keldai dan khinzir ini?!’(Rujuk Musannaf Li Ibn Abi Syaibah, 14:358)

Di samping itu, Imam al-Nawawi menjelaskan perkara yang sama dan menambah bahawa ia merupaka lafaz yang tercela kerana ia adalah perkataan dusta dan menyakitkan hati orang lain. Beliau menyebutkannya dalam kitab al-Adzkar bahawa:

ومن الألفاظ المذمومة المستعملة في العادة قوله لمن يخاصمه: يا حمار، يا تيس، يا كلب، ونحو ذلك، ‌فهذا ‌قبيح ‌لوجهين. أحدهما: أنه كذب، والآخر: أنه إيذاء.

Maksudnya: Antara lafaz-lafaz tercela yang biasa digunakan seseorang kepada orang yang memusuhinya ialah wahai keldai, wahai kambing, wahai anjing dan seumpamanya. Perkataan ini perkataan yang keji kerana dua sebab iaitu, pertama ia adalah satu dusta dan kedua ia menyakiti hati orang tersebut.(Rujuk al-Adzkar, 365)

Begitu juga dalam fatwanya, Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa perbuatan menggelarkan orang lain dengan panggilan tersebut merupakan suatu dosa kerana termasuk daripada perkataan yang tercela, bahkan boleh dihukum dengan hukuman takzir. Kata beliau:

مسألة: ماذا يجب على من يقول للمسلم: يا كلب، أو ‌يا ‌خنزير، ونحوه من الألفاظ القبيحة هل يأثم؟. الجواب: يأثم، وُيعزَّر، وعليه التوبة “والله أعلم”. (فتاوى النووي)

Maksudnya: Perbahasan: Apakah yang wajib dilakukan ke atas orang yang mengatakan kepada muslim yang lain dengan panggilan wahai anjing atau wahai khinzir dan panggilan yang keji lain seumpamanya? Adakah dia berdosa? Jawapannya: Ya, dia berdosa dan perlu dihukum takzir, selain dia juga perlu untuk bertaubat. (Rujuk Fatawa al-Nawawi, 224)

Justeru itu, elakkan menggunakan cara ini dalam apa jua percakapan yang diucapkan, termasuklah dalam menegur sesuatu perbuatan yang dianggap salah pada pandangan kita. Hal ini kerana ia bukan sahaja tidak membawa kepada kebaikan, bahkan membawa kepada dosa dan permusuhan yang tidak sepatutnya.

Kesimpulan

i. Kita hendaklah menjauhi sikap ekstrem dan melampau dalam kempen memboikot ini yang akhirnya tidak membawa apa-apa kebaikan, bahkan menimbulkan kemudaratan yang tidak perlu kepada diri sendiri dan orang lain. Apatah lagi perbuatan tersebut melibatkan perbuatan yang diharamkan oleh syarak seperti mengintip kesalahan orang lain dan menyebarkannya kepada khalayak ramai yang mana sama sekali tidak dianjurkan oleh syarak.

ii. Marilah kita mengambil sikap berhemah dan berhikmah dalam mengajak orang kepada kebaikan dengan didasarkan ilmu pengetahuan dan pertimbangan akal yang waras. Sesungguhnya cara tersebut adalah lebih baik dan lebih mendekatkan orang yang diseru kepada kebaikan dan kebenaran.

Waallahu a’lam. – Mufti Wilayah

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts