Putrajaya: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melancarkan Bulan Solat Peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, baru-baru ini
JAWI menerusi kenyataan media berkata, majlis perasmian program itu disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary
Turut hadir, Pengarah JAWI Datuk Mohd Ajib Ismail dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.
JAWI berkata, program Bulan Solat itu bertujuan menyeru umat Islam untuk meningkatkan dan memperbaiki kualiti ibadah solat dalam kehidupan serta menghayati hikmah dan kepentingan solat dalam pembentukan akhlak dan sahsiah insan.
Menurutnya, antara pengisian dan aktiviti menarik sepanjang program adalah menyediakan kemudahan surau bergerak yang disediakan di tapak pasar malam yang dikenal pasti sekitar Kuala Lumpur, bengkel solat sempurna serta aktiviti solat berjemaah bersama komuniti seperti mualaf, orang kurang upaya (OKU), pesakit HIV, transgender, rakan gelandangan serta golongan kanak-kanak dan remaja.
Katanya, beberapa masjid dan surau di Wilayah Persekutuan turut menganjurkan program Subuh Perdana, Solat Duha Perdana serta pengajian khas berkaitan ibadah solat sepanjang Mac ini.
“Kursus Pengurusan Ibadah Pesakit juga akan diadakan di hospital dan pusat perubatan bagi mendedahkan ilmu berkaitan rukhsah solat kepada para pesakit,” katanya.
Program Bulan Solat Peringkat Wilayah Persekutuan adalah kesinambungan Sambutan Bulan Solat Peringkat Kebangsaan yang dilancarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad Februari lalu. – My Metro
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM